SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Disember 14, 2017

PEMIMPIN UMAT YANG DIRINDUI - Nukilan Siswa Siri 2



“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara , sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua duanya , nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku“
     Dunia sekarang semakin hangat dengan pelbagai fitnah. Fitnah-fitnah besar mahupun kecil turut dilemparkan kepada agama Islam itu sendiri. Tambahan pula,  gejala sosial yang berlaku seperti masyarakat yang taksub dengan hiburan yang melalaikan sehingga tidak mempedulikan krisis yang melanda umat Islam pada masa kini.
   Jika kita singkap keperibadian Rasulullah  SAW, baginda adalah seorang manusia yang telah dilahirkan ketika seluruh dunia benar-benar memerlukan petunjuk dari Allah SWT, setelah ajaran para Rasul terdahulu yang tidak didengari lagi. Wahyu yang diterima oleh Rasulullah SAW telah menjadi suatu keistimewaan kepada baginda untuk menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat jahiliah. Bermula dengan dakwah secara rahsia selama tiga tahun diikuti dengan dakwah secara terbuka.
   Sebagaimana yang diketahui, Rasulullah SAW digelar sebagai “al-Amin” kerana sikap kejujurannya dalam segenap aspek seperti bermuamalat dengan manusia. Baginda SAW juga mewujudkan piagam Madinah untuk menjadikan panduan pembentukan sebuah negara Islam yang berdaulat. Lebih-lebih lagi, Rasulullah SAW telah menjalankan musyawarah ketika mewujudkan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar serta Aus dan Khazraj sekaligus berjaya mengasaskan sistem musyawarah dalam hal-hal politik. Seterusnya, Baginda SAW juga adalah seorang pemimpin tentera Islam yang menyertai beberapa perang untuk mempertahankan kesucian agama Islam daripada serangan musuh.
   Bertepatan dengan syariat Islam, hidup dalam satu organisasi bukanlah perkara yang diibaratkan sebagai debu-debu yang berterbangan yakni perkara yang sia-sia. Kepentingan hidup dalam organisasi telah disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadis akhir zaman yang bermaksud,
“ Hendaklah kamu bersama dengan kelompok Islam dan pemimpin mereka“
   Oleh itu, hadirkanlah rasa taat kepada pemimpin setelah taat kepada Allah dan Rasul, selagimana pemimpin itu membawa acuan Islam secara syumul sekaligus dapat merealisasikan Islam tertegak di muka bumi ini.

“Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh:

Nur Dalilatul Husna Binti Zainuddin,
Timbalan Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2017/2018.

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Disember 10, 2017

[ KENYATAAN YDP | AL-QUDS HAK MILIK UMAT ISLAM ]




Tragedi tragis yang menimpa umat Islam pada zaman ini adalah apabila pengumuman Presiden Amerika Syarikat iaitu, Donald Trump, terhadap bumi suci al-Quds sebagai ibu negara Israel. Tragedi ini merupakan satu ujian yang besar kepada orang yang beriman.

Rampasan secara tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia kepada rakyat Palestin ini perlu disedari oleh semua umat Islam. Tindakan yang diambil oleh Presiden Amerika Syarikat ini adalah satu tindakan diktator yang turut ditohmah oleh sebahagian negara-negara besar sama ada negara Islam atau sebaliknya.

Ketahuilah, sejarah kesucian bumi Palestin ini antaranya ialah merupakan kiblat pertama bagi umat Islam dan merupakan tempat berlakunya pelbagai peristiwa khususnya peristiwa mukjizat Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya Isra' dan Mikraj.

Oleh yang demikian, barisan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri dengan ini menyeru kepada seluruh mahasiswa/wi al-Azhar khususnya dan semua umat Islam amnya agar mengecam tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

Justeru, antara tindakan yang perlu dilakukan sebagai orang yang mengecam akan kezaliman ini adalah :

1. Mengetahui dan mengkaji sirah dan sejarah punca berlakunya kejatuhan tanah suci ini dan bagaimana cara untuk mengembalikannya semula.

2. Memperkukuh hubungan dengan Allah SWT dan berdoa agar bumi Palestin ini dapat dibebaskan semula oleh umat Islam.

3. Melaksanakan solat fardu Subuh secara berjemaah dan disusuli dengan bacaan Qunut Nazilah.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Disember 08, 2017

PERTEMUAN BERSAMA Y.B DATO’ DR. HAJI AHMAD YUNUS BIN HAIRI : KERJASAMA DALAM KEBAJIKAN TERUS DIPERKASAKAN



7 Disember 2017, SELANGOR DARUL EHSAN - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 telah mengadakan pertemuan bersama Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) bertarikh 7 Disember 2017 bertempat di Pejabat SUK, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

        Pertemuan bersama Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi diwakili oleh pimpinan BKASM saudara Luqmanulhafiz bin Mohd Amir dan saudara Mohd Azwan bin Abdul Aziz, mantan Penasihat BKASM. Pertemuan ini diadakan bagi membincangkan beberapa perkara antaranya program berkaitan akademik serta kebajikan bagi anak-anak Selangor yang berada di Mesir.

        Di akhir pertemuan, Y.B Dato’ Dr. Haji Ahmad Yunus bin Hairi menasihatkan kepada seluruh anak-anak Selangor yang berada di perlembahan Nil ini agar menuntut ilmu agama dengan sebaiknya agar dapat memberikan manfaat tersebut selepas pulang ke Tanah Air suatu hari nanti. Semoga pertemuan ini membuahkan hasil dan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Disediakan oleh :
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

REALISASI KESYUMULAN ISLAM MELALUI KESATUAN - Nukilan Siswa Siri 1



"Aku telah tinggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang teguh kepada keduaya, itulah Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya".

Begitulah pesan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda.

Perlu kita fahami, berpegang teguh dalam rangka maksud iman adalah dengan mengamalkannya secara menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana bahagian dari keduanya. Maka menjadi suatu kewajiban kepada kita sebagai orang beriman untuk meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai dasar kehidupan kita dalam setiap aspek.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Baqarah, ayat 208 :

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kalian ikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagi kalian adalah musuh yang nyata",

Jelas dinyatakan kepada kita antara syarat kesempurnaan iman adalah mengamalkan Islam secara total. Lalu, perlu kita murnikan pemikiran kita dari apa jua fahaman yang mengasingkan Islam dari urusan dunia sepertimana yang dibawa oleh agen-agen barat melalui prinsip sekularnya. Bukan saja ianya bertentangan dengan prinsip kesyumulan Islam, bahkan ia merupakan punca kepada kerosakan dan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat kini.

Hakikatnya, setiap kempen dan prinsip yang bertentangan dengan kesyumulan Islam seperti islamofobia, sekular dan liberal sengaja dicanangkan dan ditanam dalam kalangan masyarakat muslim oleh musuh-musuh Islam untuk memecahbelahkan kesatuan kita. Kerana tanpa kefahaman tentang Islam yang sebenar mana mungkin akan wujudnya kesedaran untuk bersatu dalam membela agama Islam. Lalu mudahlah musuh menjayakan agenda mereka walaupun bilangan muslim di atas muka bumi ini ramai.

"Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan".

Oleh itu, kita sebagai mahasiswa Islam bertanggungjawab dalam menerapkan kesyumulan Islam dalam setiap laku hidup kita. Meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan akal dalam menilai sesuatu perkara. Menuntut ilmu tanpa meninggalkan kebajikan. Berukhuwah tanpa meninggalkan dakwah. Bergembira tanpa meninggalkan tarbiah. Beribadah tanpa meninggalkan kesatuan. Memahami isu semasa tanpa meninggalkan thaqafah. Hiduplah bersama jemaah, pasti dalil-dalil akan terasa lebih dekat dengan setiap aspek kehidupan kita.

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang menyelesaikan masalah ummah.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan
Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Disember 06, 2017

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK AMALI



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat mementingkan unsur-unsur pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah. Penerapan unsur tarbiah juga merupakan satu keperluan bagi melahirkan generasi Islam yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan jasmani.

Sempena imtihan fasa satu yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 8 Disember 2017.

Semoga kita dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat memanfaatkan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Semoga kita bersama-sama memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini.


"Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Jabatan Fasilitator
Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Selasa, Disember 05, 2017

KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA 1



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah persatuan mahasiswa Islam yang sangat menitikberatkan perkara-perkara kebajikan ahli termasuk hal ehwal berkaitan pendidikan.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa pertama bagi sesi 2017/2018 sedang rancak berlangsung dalam tempoh menuju tarikh peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi. Mahasiswa dan mahasiswi juga sedang bertungkus lumus membuat persiapan dari pelbagai sudut seperti menghadiri kuliah, menghadiri kelas tutorial dan membuat  ulang kaji pelajaran bagi mendapatkan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 6 Disember 2017 adalah tarikh penangguhan bagi semua program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Hal ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Usaha dan tawakkal itu kunci kepada kejayaan. Oleh yang demikian, diharapkan agar kita semua dapat mempertingkatkan prestasi dan berikan sepenuh usaha dalam menyiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.

Disamping itu, kita juga mestilah menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana Dialah Yang Maha Berkuasa memberikan dan menentukan segalanya. Maka, teruskan bermunajat dan bertawakkal kepada-Nya.

Akhir kata, semoga semua mahasiswa dan mahasiswi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperolehi menjadi penyebab bertambahnya takwa kita kepada Allah SWT.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "


Khairul Adha bin Hamdzani
Timbalan Yang Dipertua I (Lajnah Perancang I)
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM