Selasa, Disember 05, 2017

KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA 1



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah persatuan mahasiswa Islam yang sangat menitikberatkan perkara-perkara kebajikan ahli termasuk hal ehwal berkaitan pendidikan.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa pertama bagi sesi 2017/2018 sedang rancak berlangsung dalam tempoh menuju tarikh peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi. Mahasiswa dan mahasiswi juga sedang bertungkus lumus membuat persiapan dari pelbagai sudut seperti menghadiri kuliah, menghadiri kelas tutorial dan membuat  ulang kaji pelajaran bagi mendapatkan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 6 Disember 2017 adalah tarikh penangguhan bagi semua program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Hal ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Usaha dan tawakkal itu kunci kepada kejayaan. Oleh yang demikian, diharapkan agar kita semua dapat mempertingkatkan prestasi dan berikan sepenuh usaha dalam menyiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.

Disamping itu, kita juga mestilah menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana Dialah Yang Maha Berkuasa memberikan dan menentukan segalanya. Maka, teruskan bermunajat dan bertawakkal kepada-Nya.

Akhir kata, semoga semua mahasiswa dan mahasiswi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperolehi menjadi penyebab bertambahnya takwa kita kepada Allah SWT.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "


Khairul Adha bin Hamdzani
Timbalan Yang Dipertua I (Lajnah Perancang I)
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan