SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Selasa, Januari 31, 2017

BAGAI BULAN DIPAGAR BINTANG : PENYELESAIAN YANG DICARI


28 JANUARI 2017, KAHERAH –Lajnah Kebajikan, HISBAH, dan Unit Bait Muslim di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah berkerjasama bagi mengadakan program ‘Bagai Bulan Dipagar Bintang’ bertempat di Musolla dan Lobi Darul Ehsan, Hayyu Asyir.

          Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada ahli tentang kepentingan menjaga hubungan antara ikhwah dan akhawat. Program ini juga bertujuan untuk memberi pengenalan tentang musyrif dan penerangan tentang kepentingan menggunakannya.

          Program telah dimulakan dengan slot yang pertama iaitu ‘Your Heart vs Yourself’ sekitar jam 6.30 petang. Slot ini disampaikan oleh saudara Muhammad Ezzani bin Ismail, selaku Ketua Unit Bait Muslim. Slot tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh semua ahli.

          Seterusnya, program diteruskan lagi dengan slot yang kedua iaitu ‘Slot Bersama Hisbah dan Musyrif’. Slot ini disampaikan oleh saudara Mohd Nazim bin Bahnan selaku Ketua Hisbah dan saudara Muhammad Fadhlillah bin Mohamad Maarof selaku Ketua Musyrif. Kehadiran ahli sangat baik sehingga memenuhi setiap ruang yang disediakan. Antara intipati slot ini adalah membentangkan etika Hisbah dan teknikal penggunaan musyrif.

          Sebelum berakhirnya program, telah diadakan gimik pelantikan musyrif yang disempurnakan oleh saudara Muhamad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017 serta menyampaikan cenderamata kepada pengisi. Setelah selesai solat Isyak, ahli  menikmati jamuan ringan yang disediakan oleh pihak penganjur program.

          Harapan daripada peringkat BKASM, semoga program yang dijalankan ini dapat memberi kesedaran kepada ahli tentang kepentingan penggunaan musyrif serta kepentingan menjaga hubungan antara ikhwah dan akhawat.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :

Setiausaha
Bagai Bulan Dipagar Bintang
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
          


Ahad, Januari 29, 2017

HARI LPP : PEMANGKIN DAKWAH KREATIF



24 JANUARI 2017, KAHERAH – Lajnah Penerbitan dan Penerangan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi  2016/2017 telah mengadakan program Hari LPP KELAS Adobe Photoshop dan Sony Vegas Pro yang bertempat di Musolla Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir, Kaherah.

            Program Hari LPP ini bertujuan memberi pengenalan dan pendedahan tentang kemahiran mengenai Adobe Photoshop dan Sony Vegas Pro kepada ahli BKASM. Program ini juga bertujuan untuk melahirkan generasi pelapis yang berkemahiran dalam menghasilkan iklan dan video yang menarik dan berkualiti.

            Program ini berjalan selama dua hari iaitu pada 24 dan 26 Januari 2017 bermula pada pukul 7.00 malam sehingga 10.30 malam. Program ini menampilkan dua orang tenaga pengajar iaitu saudara Mohammad Asyraff bin Razali sebagai tenaga pengajar Kelas Adobe Photoshop dan saudara Faidhi Syazmir bin Jamaluddin sebagai tenaga pengajar Kelas Sony Vegas Pro. Para peserta juga dibantu oleh mentor-mentor yang berpengalaman bagi memudahkan pemahaman mereka dalam mempelajari teknik-teknik menghasilkan iklan dan video. Program ini disertai seramai 56 orang peserta termasuk beberapa peserta dari negeri Johor.

            Pihak BKASM amat mengharapkan agar program ini dapat mengasah bakat kreativiti ahli dan melahirkan lebih ramai lagi ahli-ahli BKASM yang berkebolehan dalam menghasilkan iklan dan video yang menarik dan berkualiti serta bermanfaat kepada Islam seterusnya melatih ahli-ahli BKASM menjadi pendakwah yang kreatif dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

“ Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”


Disediakan oleh :

Setiausaha dan Promosi
Hari LPP 1.0
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Khamis, Januari 26, 2017

KEBAJIKAN BERTERASKAN WAHYU ILAHI Nukilan Siswa siri 11


            Pemilihan Mekah sebagai tempat bermulanya penyebaran Islam menjadi tanda tanya ramai pengkaji sejarah. Mana tidaknya, ia kawasan yang tandus malah dipenuhi dengan kehidupan berasaskan jahiliah. Sedangkan Rom dan Parsi pada waktu itu, telah jauh meninggalkan bangsa arab dalam aspek kemajuan Negara. Tapi mengapa nabi tidak dipilih di kalangan bangsa Rom dan Parsi? Bukankah lebih mudah menyebarkan Islam dalam keadaan harta dan segala keperluan mencukupi?

                Sesuatu yang boleh kita perhatikan dalam sejarah Kerasulan Baginda S.A.W, ketamadunan manusia yang sebenar tidak bermula dengan material, tetapi bermula dengan tarbiah berbentuk akidah dan keimanan.

                Maka tidak hairanlah Saidina Umar al-Khattab R.A dengan lantang berkata :

                                “ Kita adalah bangsa yang dimuliakan dengan Islam”

                Tanpa menafikan kepentingan dunia dan harta benda dalam melayari kehidupan yang fana ini, aspek pembanggunan insan perlu lebih diutamakan. Rasulullah sendiri mementingkan pembanggunan ini dalam jati diri umat Islam lebih 10 tahun di bumi Mekah. Seandainya kita merasakan kebajikan itu hanya berbentuk material dan kebendaan, kita akan dapati Baginda sendiri gagal memberikan kebajikan kepada umatnya!

                Namun, ia tidak begitu. Masyarakat yang dahaga dan kelaparan memerlukan makanan untuk melakukan sesuatu perkara ataupun pekerjaan. Peranan kita bukan sahaja memastikan masyarakat kenyang sahaja. Ya, perut yang kosong itu perlu diisi. Tetapi, mereka juga ada hati yang kosong. Ia juga perlu diisi dengan keimanan kepada Ilahi, agar tenaga yang dihasilkan selepas mereka berada dalam keadaan yang kenyang mampu disalurkan ke arah kebaikan.

                Oleh yang demikian, satu perkara yang perlu kita faham bahawa kebajikan yang sebenar bermula dengan menanamkan keimanan kepada Allah. Agar nikmat material yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita selepas itu dapat diuruskan sebaiknya ke arah mencapai keredaanNya.

                Selaras dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud :
             “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu adalah berimannya seseorang kepada Allah S.W.T dan hari akhirat.” (Surah al-Baqarah : ayat 177)
“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Hafiz bin Rasimi
Ketua Jabatan Fasiitator 
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti





WINTER FUTSAL : MEDAN KEBERSAMAAN


22 JANUARI 2017 , KAHERAH –Lajnah Kesenian dan Sukan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan program Perlawanan Winter Futsal yang bertempat di gelanggang futsal El Wafa’ El Amal, Hayyu Sabi', Kaherah.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi  mengeratkan ukhuwah dan kebersamaan ahli melalui medium futsal ini. Futsal ini juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli tentang kepentingan menjaga kesihatan dan untuk meraikan ahli-ahli yang telah menduduki peperiksaan pada fasa pertama yang lepas.Futsal  ini telah dihadiri oleh saudara Muhamad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017.

Seterusnya aktiviti sukan dimulakan pada jam 7.30 malam sehingga jam 11.15 malam. Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh semua ahli dan aktiviti diteruskan dengan ucapan penutup daripada saudara Muhamad Nazif bin Shaari selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2016/2017 . Antara intipati yang disampaikan adalah ucapan tahniah kepada ahli-ahli BKASM setelah bertungkus-lumus dalam menjawab peperiksaan . Seterusnya  sukan merupakan salah satu kaedah untuk mengekalkan kesihatan jasmani dan waktu yang tepat untuk menjalinkan ukhuwah antara ahli. Malah seorang pendakwah juga memerlukan kesihatan daripada segi mental dan fizikal agar dakwahnya berhasil. Aktiviti telah diakhiri pada jam 11:15 malam.

 Harapan dari peringkat BKASM agar program yang dijalankan ini dapat menyatukan ukhuwah dan hubungan silaturrahim antara ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dan dapat melahirkan insan yang hebat daripada sudut jasmani dan rohani untuk Islam pada masa akan datang.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :

Setiausaha
Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2016/2017



#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Selasa, Januari 24, 2017

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK BERMANHAJ PERINGKAT BKASM SESI 2016/2017


Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan daripada segi rohani dan sahhsiah.

Sempena berakhirnya peperiksaan fasa 1, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2016/2017 menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Bermanhaj pada 27 Januari 2017.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Bermanhaj serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dalam melaksanakan aktiviti ini.


"Keunggulan Sahsiah Pemangkin Mahasiswa Bertakwa"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Isnin, Januari 23, 2017

TREMCO IMTIHAN : TERUS MEMBERI KEBAJIKAN


            31 DISEMBER 2016 - 19 JANUARI 2017, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir Sesi 2016/2017 di bawah Lajnah Sambutan dan Rehlah telah berjaya menyediakan Tremco Imtihan sempena imtihan fasa pertama Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir. 

            Antara objektif pelaksanaan perkhidmatan ini adalah untuk memberi kebajikan kepada ahli di samping memudahkan perjalanan ahli yang akan menduduki peperiksaan. Perkhidmatan ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara ahli BKASM.

Tremco Imtihan ini bermula pada 31 Disember 2016 sehingga 19 Januari 2017 yang melibatkan seluruh ahli BKASM yang berada di Hayyu Asyir merangkumi mahasiswa dan mahasisiwi daripada kuliah Syariah Islamiah, Usuluddin, Bahasa Arab, Ulum Islamiah dan kuliah Dirasat Islamiah. Tremco Imtihan ini berpusat di Asrama Rumah Selangor sebelum bergerak ke Universiti Al-Azhar.    

            Peringkat BKASM mengucapkan ribuan terima kasih kepada penggerak Tremco Imtihan ini sama ada secara langsung atau tidak langsung. BKASM juga berharap kebajikan seperti ini dapat diteruskan agar akademik daripada kalangan ahli dapat dipertingkatkan untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh,

Setiausaha,
Lajnah Sambutan dan Rehlah,
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Khamis, Januari 19, 2017

SEJARAH GURU KEHIDUPAN Nukilan Siswa Siri 10


           Pengkajian sejarah dapat mengajar kita bagaimana bertindak dalam menghadapi situasi tertentu. Inilah latar belakang munculnya istilah “Historia Magistra” (sejarah adalah guru kehidupan) walaupun pada hakikatnya di setiap sejarah selalu memiliki peredaran zaman tersendiri, namun dasar ibrah dari sejarah inilah yang seharusnya diambil sebagai tauladan.

          Demikian itu, Islam merupakan agama yang selalu mendidik umatnya untuk tidak pernah melupakan sejarah. Setiap kisah-kisah di dalam al-Quran memiliki makna tertentu bertujuan untuk  kita bergerak. Refleksi dari kisah-kisah tersebut, selain mengajarkan erti hidup bersyariat sebagai makhluk, ia juga menjadi khabar gembira tentang janji-janji Sang Pencipta mengenai pengulangan sejarah atau sebagai visi rabbani yang harus dicapai oleh umat Islam.

            Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “ Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi mereka yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”.(Surah Yusuf : ayat 111)

           Apabila kita mengkaji sejarah ulama termasyhur, kisah silam dan kehebatannya dalam membawa kebenaran Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah hingga mampu mentadbir alam. Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali Ath-Thusi atau lebih dikenali dengan Imam Syafie, ilmu kalamnya menjadi hujah dan usul al-fiqhnya sering menjadi rujukan.

        Akan tetapi satu perkara yang mesti diingatkan, kehebatannya tak datang dengan tiba-tiba. Ulama yang terkenal dengan kitab Ihya’ Ulumuddin ini melalui kehidupan berliku sejak kecil. Setiap detik masa tidak pernah membosankannya kerana dunia ini bukan bahan permainan dan bukan juga tempat bersenang lenang kerana menegakkan Islam itu bukanlah kerja sampingan sekadar mengisi masa lapang bahkan menjadi satu kemestian dan satu kewajipan.

Suatu ketika, Imam Ghazali bertanya kepada anak muridnya

“Apakah yang paling jauh dari kita di dunia ini? “

Murid-muridnya ada yang menjawab Negara China,bulan, matahari dan bintang-bintang.
Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar tetapi yang paling benar adalah “masa lalu”

              Bersesuaian dengan ayat Allah S.W.T yang bersumpah dengan masa dalam surah al-‘Ashr,     terdapat banyak peristiwa yang boleh menjadi bahan renungan dan pelajaran bagi setiap manusia. Itulah jaminan Tuhan meraih ganjaran dan amal soleh bagi orang-orang yang beriman dan kecelakaan bagi orang-orang yang berpaling daripada petunjuk.


           Maka jelaslah, sejarah itu berkait dengan konsep waktu. Peristiwa masa lampau tidak pernah putus dari rangkaian kejadian masa kini dan akan datang kerana masa yang kita lalui akan terhasilnya sejarah yang dilakar sama ada dari lakaran yang bermanfaat atau sebaliknya. Sebagaimana ulama terdahulu mewarnai sejarah mereka dengan pelbagai kehebatan, kita sepatutnya menjadikan mereka contoh ikutan bagi merealisasikan impian setiap mukmin untuk merekodkan sejarah hidup yang bermanfaat kepada diri dan orang lain.

"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh :
Nuramalina Anas binti Razak
Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti 

Ahad, Januari 15, 2017

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR : HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

1) Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Islam bukanlah agama yang melampaui batas bahkan ia melengkapi fitrah manusia serta sesuai dianuti untuk kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Rum : 30)

2) Di dalam segenap aspek kehidupan manusia, Islam mementingkan aspek ilmu  pendidikan yang menjadi tunjang penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, sejak dahulu lagi, negara kita telah banyak terbina institusi-intitusi pendidikan yang berteraskan agama Islam yang menjadi salah satu institusi pilihan bagi rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam.

3) Institusi pendidikan agama seperti pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan berbagai lagi telahpun melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang banyak berjasa kepada negara. Jangan kita lupa kepada jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang merupakan pelajar pondok dan madrasah ini. Lihatlah bagaimana ketokohan mereka seperti Tok Janggut, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanudin Al-Helmy dan ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita hasil daripada institusi pendidikan agama ini.

4) Justeru, institusi pendidikan agama ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng akan kewibawaannya dan perlu dibersihkan segala tanggapan buruk yang boleh mewujudkan salah faham terhadap agama Islam.

5) Oleh demikian itu, kami sebagai Yang Dipertua-yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir (BKAN) mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, baru-baru ini supaya mengkaji semula dasar sekolah agama bantuan kerajaan. Sila rujuk kenyataan beliau pada link http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/12/gerakan-kaji-semula-dasar-sekolah-agama-bantuan-kerajaan/

6) Tanggapan yang dibuat terhadap institusi pendidikan agama ini hakikatnya merupakan satu fakta yang tidak benar dan berunsur hasutan yang mana boleh menimbulkan persepsi buruk sesama rakyat sekaligus mampu memecah belahkan perpaduan.

7) Jika kita meneliti dasar pendidikan di sekolah agama di negara kita ini, ia sama sekali tidak pernah menyeleweng daripada dasar kefahaman Islam yang sebenar bahkan selari dengan apa yang disusun oleh pihak kerajaan.

8) Justeru itu, kami juga menggesa agar beliau menarik balik kenyataan tersebut supaya ia tidak menimbulkan persepsi negatif khususnya terhadap institusi pendidikan agama bahkan kepada agama Islam itu sendiri yang mana merupakan agama persekutuan menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 3 (1).

9) Kami mengharapkan kepada seluruh rakyat dalam setiap lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar menjaga keharmonian dan keamanan negara tanpa menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif yang boleh membawa kepada perpecahan. Kami menyarankan agar kita semua dapat mempertingkatkan kefahaman terhadap Islam dan beramal dengannya sekaligus menjadi mukmin yang sejati.

“Muafakat Asas Kejayaan”

Yang Benar,
Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir
14 Januari 2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Januari 12, 2017

DASAR YANG TERSASAR Nukilan Siswa siri 9


                Kehidupan yang pelbagai (diversity) jenis manusia menyebabkan manusia dalam keadaan celaru terkapai-kapai mencari makna kebenaran yang hakiki. Sehingga muncul pelbagai firqah dari sudut cara berfikir sama ada yang bercanggah dengan Islam atau tidak. Pemikiran yang mengatakan, “there is no absolute truth” sebagai contoh menatijahkan supaya pandangan setiap individu perlu diterima walaupun ada yang bercanggah dengan nilai kemanusiaan. Puncanya apabila sumber yang digunakan hanya mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata.

                Kesatuan dari sudut petunjuk perlu ada dalam menyatukan manusia ke arah yang lebih baik. Allah dengan rahmatNya telah mengutus para rasul membawa risalah yang menerangkan perkara hak dan batil. Melihat kepada sejarah, Islam membuktikan membawa rahmat kepada manusia tatkala manusia menghadapi zaman yang tidak bertamadun; perbezaan taraf warna kulit dan bangsa, maksiat, dan pembunuhan anak

                “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” (AlAnbiya’:107)

                         "Dan Kami turunkan kepadamu kitab (Al-Qur'an) untuk menjelaskan segala sesuatu". (An-Nahl : 89)

                Islam bukan sahaja menjadi rahmat kepada seluruh alam tetapi menerangkan segala sesuatu yang menjadi panduan (guideline) hidup. Menurut Ibnu Mas`ud berdasarkan ayat  dalam Surah An-Nahl di atas menunjukkan semua ilmu, sama ada berkaitan dunia, agama, kehidupan dan akhirat. Sekiranya kita menerima Islam dengan sebenar-benarnya, maka janji Nabi Muhammad S.A.W kita akan selamat di dunia dan akhirat.


”Masuk Islam, niscaya engkau akan selamat” (HR Ibnu Majah 1/95)

                Disebut juga ahli ilmu mutaakhir iaitu Islam sebagai penyelesaian bagi kehidupan (الإسلام هو الحل). Tidak dinafikan akan ada sentiasa cubaan dan dugaan yang akan menampakkan Islam ini bukan satunya penyelesaian sedangkan pengiktirafan daripada Allah bahawa agama yang diterima hanyalah Islam. Ingatlah kepada satu hadis Nabi Muhammad S.A.W:

 


Sesungguhnya Rasulullah S.A.W pernah bersabda : “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduaya, iaitu : Kitab Allah dan sunnah RasulNya”. [HR. Malik]
                Jadilah kita sebagai yang disabdakan Rasulullah S.A.W:

Akan sentiasa ada satu kumpulan dari kalangan umatku yang terus berjuang di atas kebenaran, mereka zahir sehingga hari kiamat. Maka akan turun Nabi Isa dan ketika itu pemimpin kumpulan itu berkata, “Silalah menjadi imam solat kami”. Nabi Isa menjawab, “Tidak, bahkan sebahagian kamu menjadi pemimpin sebahagian kamu, sebagai memuliakan umat ini”. [HR Muslim]

Disediakan oleh :
Aiman Fitry bin Zulkifli
Timbalan Yang Dipertua 1
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Januari 05, 2017

TANPA TARBIAH GERENTI REBAH Nukilan Siswa siri 8


Terkadang kaki kita ingin berlari semahu-mahunya. Segala cabaran dihadapi tanpa peduli apa jua kesan dan akibatnya. Terkadang juga kaki kita lemah untuk berjalan. Merasakan perjalanan seakan terlalu panjang lantas terdiam dan berhenti berjalan.

                Benarlah sabda Nabi S.A.W.:

                                “..Sesungguhnya pada setiap sesuatu itu ada saat kesungguhannya dan setiap kesungguhan ada masa lemahnya..” (Riwayat Tirmizi)

                Musim peperiksaan menyaksikan setiap daripada kita mempunyai cara dan strategi tersendiri. Sekalipun begitu, setiap kita juga menyedari peranan kita di muka bumi ini bukan sahaja sebagai seorang pelajar, segala tanggungjawab yang lain juga kita akan berusaha untuk penuhi.

                Namun kadang-kadang hati kita ini berbelah bahagi, oleh kerana pertembungan tanggungjawab yang terpaksa dihadapi. Malah, terkadang mengakibatkan kita sering merasakan tanggungjawab ini satu bebanan yang merugikan.

                Ulama pernah mengatakan :

                                “..Kewajipan itu lebih banyak daripada masa yang kita ada..”

                Maka hubungan dengan Allah sangat diperlukan dalam menghadapi situasi ini. Agar segala urusan kita dipandu dan dipermudahkan. Hubungan sesama manusia juga perlu ditingkatkan kerana ukhuwah itu kunci kekuatan yang diimpikan.

                Begitulah tarbiah yang perlu kita hadapi. Keberanian kita untuk terus menghadapinya membuat diri kita teguh dan gagah. Ketidakyakinan kita untuk meneruskan jalan ini, pasti membuatkan kita rebah dan kalah.

“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Muhammad Faiz bin Othman
Ketua Lajnah Pendidikan

BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti