SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Selasa, Februari 28, 2017

QUEEN'S VOLLEYBALL : Membentuk Mujahidah Proaktif







25 JANUARI 2017, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 di bawah kelolaan Lajnah Kesenian dan Sukan telah mengadakan aktiviti sukan Queen's Volleyball yang bertempat di Nadi As-Salab, Zahra' khusus untuk akhawat.

Antara tujuan utama pelaksanaan aktiviti sukan ini adalah untuk menjadikan sukan sebagai medium khusus bagi ahli beriadah di samping  merapatkan ukhuwah antara ahli BKASM dan melahirkan ahli yang aktif dan sihat.

Program bermula dengan pembahagian kumpulan diantara peserta. Setelah itu, bermulanya perlawanan persahabatan diantara kumpulan. Aktiviti ini juga telah mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peserta akhawat.

Semoga dengan pelaksanaan aktiviti sukan ini dapat menjalinkan tautan ukhuwah dan melahirkan ahli BKASM yang cergas khususnya mahasiswi bertepatan dengan objektif yang dicapai.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

[ KENYATAAN YDP BKAN : PROGRAM HARI THAQAFAH MAHASISWA (HAMASAH) MEGA BAKAL DILAKSANAKAN ]


Isnin, 27 Feb 2017 - Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan wadah kesatuan anak Malaysia di Mesir yang sentiasa menjaga kebajikan ahlinya dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui mekanisme akademik, thaqafah, tarbiah , kemasyarakatan dan lain-lain.

Bertarikh 27 Februari 2017, satu perjumpaan bersama telah diadakan oleh Majlis Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bertempat Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra,  Asrama Rumah Negeri Perlis. Antara perbincangan yang diutarakan adalah berkaitan inisiatif peningkatan thaqafah mahasiswa dan mahasiswi di Mesir.

Dalam perbincangan tersebut, seluruh YDP bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas secara berpusat dalam menggerakkan program HAMASAH MEGA dengan lebih tersusun.

Antara objektif program ini adalah melahirkan mahasiswa/wi beramal yang memahami dengan jelas 4 perkara iaitu :
1. Penyusunan Aulawiyat dalam kehidupan seharian.
2. Pemilihan dan mengikut kumpulan yang sebenarnya.
3. Prinsip kesatuan di kalangan mahasiswa Islam
4. Ukhuwwah Islamiah

Sebelum berakhirnya pertemuan tersebut, Majlis YDP bersetuju melantik Ustaz Amirul Azamuddin bin Zaharuddin sebagai Pengarah HAMASAH Mega manakala Ustazah Ku Fathin Athifah binti Roseli sebagai Timbalan Pengarah. Sebarang pemakluman berkaitan program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Para YDP juga turut menyuarakan cadangan dan pandangan bagi memastikan program yang direncana ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Semoga dengan usaha yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi thaqafah di peringkat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir dalam mendalami khazanah ilmu Islam dengan sebaiknya.

" Muafakat Asas Kejayaan "
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Februari 23, 2017

HATI YANG PUAS LAGI DIREDAI Nukilan Siswa siri 15

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : 

 “Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu.” (Surah Al Fajr : ayat 27-30)

       Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupannya. Di antara cara-cara memimpin hati adalah ilmu tentang hati atau roh. Tujuannya adalah untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tiada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

Pelbagai perkara dapat kita lakukan untuk mendapatkan hati yang bersih antaranya melalui Mujahadatunnafsi, Istiqamah,Tafakur,bergaul dengan orang yang baik dan pimpinan mursyid.

        Mujahadatunnafsi  itu perlu menempuh tiga peringkat iaitu:

1. Takhalli – mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli  - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli  - terasa kebesaran dan kehebatan Allah S.W.T atau sentiasa rasa bertuhan.

         Seterusnya untuk mendapatkan hati yang bersih perlulah bersikap istiqamah (tetap) beramal adalah merupakan salah satu daripada benteng-benteng iman. Seseorang yang memiliki sikap ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal imannya daripada gangguan musuh. Sebaliknya, tanpa sikap ini seseorang telah membuka satu pintu kepada musuh-musuhnya untuk masuk ke hati dan merosakkan imannya. Bagaimana ini boleh terjadi?

      Yang penting dalam beramal adalah mengekalkan amalan itu. Kalau tidak mampu berbuat banyak amalan, cukuplah sedikit, asal dikekalkan (istiqamah), daripada banyak amalan tetapi tidak kekal. Contohnya, membaca Al-Quran, cukuplah lima baris sahaja tetapi dibuat pada setiap hari daripada lima juz sekali baca tetapi dibuat sebulan sekali. Sembahyang sunat pula, cukuplah dua rakaat tiap-tiap malam daripada seratus rakaat tetapi sebulan sekali. Begitu juga dengan sedekah. Biar hanya 10 sen setiap hari daripada RM10 tetapi setahun sekali.

        Pelbagai manfaat yang bakal kita peroleh dari sikap istiqamah antaranya amalan yang dibuat secara istiqamah akan berkesan. Umpama setitik air kalau terus-menerus memukul batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu tersebut. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.

   Tujuan beramal dan membersihkan hati agar iman dan akhlak subur. Setiap kali kita beramal kita akan merasai nikmat buahnya itu. Jadi kalau sesuatu amalan itu kita kekalkan, maknanya kita akan sentiasa dapat menikmati nikmatnya. Nikmat inilah yang akan memelihara iman kita. Musuh kita terutama nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memusuhi kita. Dengan istiqamah, barulah seimbang pertahanan kita terhadap musuh-musuh itu. Maknanya kita juga tidak pernah berehat mempertahankan iman dan akhlak kita.

Imam Al Ghazali pernah mengingatkan, “Banyakkanlah olehmu akan amalan yang terasa berbekas di hati.”

    Maka sebagai muslim yang menuntut ilmu dan melakukan gerak kerja Islam perlulah mempunyai hati yang bersih agar setiap perkara yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah S.W.T dan jadikan reda Allah adalah matlamat yang utama.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh:

Syaidatul Humaira' binti Mohd Naim
Timbalan Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#Bersatu Berbakti





Rabu, Februari 22, 2017

BENGKEL & PELANCARAN TEAM HUFFAZ : PENCETUS SEMANGAT MENGHAFAZ AL-QURAN



20 Februari 2017 – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2016/2017 di bawah kelolaan Lajnah Pendidikan telah mengadakan Bengkel Teknik Penghafazan Al-Quran yang bertempat di Musolla Darul Ehsan, Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir.

Antara objektif perlaksanaan bengkel ini adalah bagi meningkatkan motivasi kepada mahasiswa-mahasiswi dalam menghafaz Al-Quran serta meningkatkan pencapaian akademik mereka dalam perkuliahan terutama subjek Al-Quran.

Bengkel dimulakan seusai solat Isyak sekitar jam 8.00 malam. Bengkel ini disampaikan oleh saudara Muhd Bazli bin Zakaria, Ketua Unit Bait Muslim BKAWM sesi 2016/2017. Kertas kerja dibentangkan satu persatu oleh pengisi diselangi telatah santai yang menghidupkan suasana bengkel. Setiap peserta memberikan fokus dan penelitian pada setiap pengisian yang diberikan. Antara yang dibincangkan adalah cara mempelajari Al-Quran, masalah dan sebab yang wujud ketika mahu menghafaz, teknik mengulang hafazan dan lain-lain lagi. Bengkel berakhir pada 9.30 malam.

Seterusnya, program diteruskan dengan Pelancaran Team Huffaz BKASM. Ucapan penerangan tentang Team Huffaz BKASM disampaikan oleh saudara Muhammad Alauddin bin Mohd Zulkifli, Ketua Unit Akademik di bawah Lajnah Pendidikan BKASM. Team Huffaz BKASM seterusnya dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua I, saudara Aiman Fitry bin Zulkifli. Penyerahan watikah diserahkan kepada Ketua Team Huffaz BKASM, saudara Muhammad Alauddin bin Mohd Zulkifli. Program diakhiri dengan tayangan video Dana Mahabbah.

Harapan daripada pihak penganjur, kami mengharapkan melalui bengkel dan pelancaran yang dijalankan ini dapat membina semangat yang tinggi dalam menghafaz Al-Quran. Melalui itu, terlahirlah rasa cinta kepada Al-Quran, perlulah bersifat konsisten dan berterusan.


"Ilmu Dimartabat Mahasiswa Bermanfaat"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Setiausaha
Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2016/207


#KITAPMRAM
#MaanNanjah
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

Khamis, Februari 16, 2017

SHELL ’17 : JAULAH TARBAWI DUMYAT


9,11 dan 12 FEBRUARI 2017, DUMYAT - Lajnah Sambutan dan Rehlah di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 telah meganjurkan jaulah musim sejuk di Dumyat.

              Antara objektif pelaksanaan program ini adalah untuk meribatkan ukhuwah dalam kalangan ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir  serta dapat menyemai nilai tarbiah dan thaqafah.Jaulah pada sesi ini telah dinamakan Shita’ El Dumyat (SHELL’17).

             Jaulah kali ini telah diadakan pada 9 Februari 2017 di sebelah akhawat. Seramai 96 orang peserta dalam kalangan ahli telah mengikuti jaulah ini.Pelbagai aktiviti yang menarik  telah diadakan. Antaranya, Senamrobik, Kuiz, Sukaneka, mengutip kerang, pertandingan lensa alam dan juga membeli belah di Port Said. Manakala di sebelah ikhwah pula jaulah tersebut telah diadakan pada 11 Februari 2017 hingga 12 Februari 2017 yang turut disertai seramai 96 orang peserta. Antara aktiviti yang dijalankan adalah Sukaneka, mengutip kerang, Explorace, Photo Boom, membeli belah di Port Said dan lain-lain lagi.

             Pelbagai tempat yang menarik yang dapat dikunjungi. Antaranya Pantai Kerang, Ra’sul Barr dan juga Port Said. Para peserta sangat seronok apabila satu demi satu tempat yang dapat dikunjungi di  samping menikmati ciptaan Allah Yang Maha Esa. Mereka tidak melepaskan peluang dalam menyertai pelbagai pertandingan serta mengambil gambar dari setiap sudut untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan. Tidak lupa juga, tema jaulah pada kali ini turut dikaitkan dengan objektif jaulah iaitu “Dumyat : Uniting The Hearts”.

           Harapan dari pihak penganjur supaya jaulah seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang di samping  dapat menelusuri ciptaan Allah S.W.T, meribat ukhuwah dalam segenap lapisan serta membuka luas minda ahli terhadap tempat-tempat menarik yang mesti dilawati dan tidak lupa juga, kita juga dapat mengenali serba sedikit tempat-tempat bersejarah yang berada di sekitar Mesir.


"Dumyat : Uniting The Hearts"
"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"

Disediakan oleh,

Setiausaha
Jaulah Shita’ El Dumyat
BKASM sesi 2016/2017 

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

MAQASID MAINAN ATAU SYARIE? Nukilan Siswa siri 14



Orientalis barat terkenal dengan sikap mereka yang bermuka-muka dalam agama. Dalam era serangan pemikiran yang semakin menular di kalangan umat Islam, mereka menjadikan maqasid sebagai hujah utama dalam menolak pelaksanaan syariat Islam di negara umat Islam.

  Secara umumnya, maqasid boleh didefinisikan sebagai mewujudkan kebaikan, menolak keburukan, dan menghilangkan kemudaratan. Namun demikian, maqasid perlu difahami berlandaskan nas al-Quran supaya dapat mengelakkan kekeliruan yang berlaku yang akhirnya menjauhkan umat Islam dari landasan yang benar.

   Dalam memahami nas, sama ada dari al-Quran mahupun hadis, terdapat tiga golongan yang membahagikan Fiqh Nusus dari perspektif Al-Maqasid. Golongan pertama dikenali sebagai mereka yang berpegang kuat dengan nusus dan melupakan maqasid. Seterusnya, golongan kedua pula ialah mereka yang melupakan nusus dengan melihat maslahah umum dan maqasid yang menyeluruh, manakala golongan ketiga ialah golongan wasatiyyah yang menghubungkan antara nusus dan maqasid.

   Kesimpulannya, kita mestilah menjadi golongan yang wasatiyyah kerana hukum syariat dibina di atas ‘illah untuk maslahah manusia, dan kerana maqasid itu tidak akan pernah bercanggah dari nas Ilahi.


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:

Khairun Nisa binti Khairulzamal
Timbalan Ketua Lajnah Kesenian dan Kesenian
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

Selasa, Februari 14, 2017

HELWAH ' 17 MERIBAT HATI AHLI BKASM


              7-9 FEBRUARI 2017, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor sesi 2016/2017 telah menganjurkan Hari Keluarga BKASM yang dinamakan Hari Lestari Ukhuwah 2017 (HELWAH ’17) yang  membawa maksud satu hari yang gembira untuk meribatkan ukhuwah.

          HELWAH ’17 kali ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh ahli. Seramai 130 orang ikhwah dan 180 orang akhawat telah mendaftarkan diri untuk menyertai Hari Keluarga BKASM pada tahun ini.

          Dengan konsep kekeluargaan yang bertemakan “Ukhuwah Terpateri Jalinan Di Hati”, pelbagai aktiviti telah dirancang di peringkat pelaksana untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli. Antara aktiviti yang diadakan di peringkat ikhwah adalah Indoor Games, Outdoor Games, Super Spontan, sentuhan qalbu, dan pelbagai lagi. HELWAH’ 17 di peringkat ikhwah ditutup dengan Malam Kebudayaan Islam yang mana di dalamnya diadakan aktiviti Sembang Santai, Pentomen, Nasyid, dan Jamuan BBQ khas untuk semua yang hadir.

         Adapun di peringkat akhawat, antara aktiviti yang diadakan adalah Outdoor Games, Malam Dakwah Kreatif, Talkshow bertajuk “Kerana Dirimu Begitu Berharga”, Medteam “Beauty Inside and Outside”, Fashion Show dan pelbagai lagi. HELWAH ’17 di peringkat akhawat ditutup dengan Majlis Penutup dan Persembahan Nasyid yang dipersembahkan khas untuk semua dengan tujuan untuk memberi ketenangan sambil mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli BKASM.

       HELWAH’17 dilihat telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Diharapkan semua ahli dapat terus meribat ukhuwah yang telah terbina ini dan mengekalkan kebersamaan kita hingga ke akhirnya. Semoga dengan penganjuran HELWAH ’17 ini mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah S.W.T

 “Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Setiausaha
Hari Lestari Ukhuwah BKASM (HELWAH’17)
BKASM sesi 2016/2017




#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti

          

Khamis, Februari 09, 2017

JADILAH GOLONGAN YANG BEKERJA Nukilan Siswa Siri 13


“Jika dulu engkau membeliku untuk kepentingan dirimu sendiri, maka engkau berhak menahanku. Tapi jika engkau telah memerdekakanku kerana Allah, maka biarkanlah aku bebas menuju kepadaNya”

            Jawapan yang dilontarkan Saidina Bilal bin Rabah kepada Khalifah Pertama Islam, Saidina Abu Bakar R.A tatkala beliau ragu untuk membenarkan Bilal menyertai jentera peperangan ke negeri Syam. Lalu dengan rela hati, Saidina Abu Bakar mengizinkannya.

Sudah pastinya Saidina Bilal beriman dengan ayat Allah dalam surah Ali-Imran ayat ke-142;

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk ke syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang Yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”

            Jika iman itu hanya terbukti dengan amal ibadah sahaja, pastinya Saidina Bilal terus berada di Madinah. Tapi mengapa beliau memilih untuk berjihad?. Sudah pasti untuk membuktikan keimanan dan kecintaanya kepada Allah dan Rasul Nya. Kerana beliau cukup mengerti, Islam yang dianuti bukan sahaja untuk dirinya semata-mata malah perlu memastikan manusia lain turut merasakan rahmat dan nikmatnya hidup berlandaskan syariat. Maka tidak hairanlah beliau memilih untuk berjihad, dan bekerja untuk memastikan urusan manusia ditadbir dengan Islam.

Cukuplah kita menyedari peranan kita yang sebenar, tatkala membaca bait-bait syair yang dihantar oleh Imam Abdullah bin Mubarak sebagai satu teguran kepada Syeikh Fudhail bin Iyadh :

                “Wahai ahli Ibadah di dua tanah haram, jika kamu melihat kami,
                        Kamu akan dapati bahawa kamu sedang bermain-main dalam ibadah kamu.
            Orang-orang itu membasahi lehernya dengan air mata,
                        Sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah.
            Dia memenatkan kudanya dengan sia-sia,
                        Sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan.
Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami,
Adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan peperangan.”


“Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh:
Nabil Rusyaidi bin Ramli
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

Khamis, Februari 02, 2017

ISLAM ITU ZAHIR Nukilan Siswa Siri 12



Menjadi sunatullah bahawasanya kebenaran itu akan mengalahkan kebatilan. Islam datang membawa cahaya membebaskan manusia dari kegelapan jahiliyah . Kemenangan itu adalah pasti. Seperti firman Allah di dalam surah Al Isra’ ayat 81 :

                   “ Dan katakanlah : Kebenaran telah datang dan kebatilan akan lenyap. Sesungguhnya kebatilan itu (pasti) akan lenyap. “

Kehidupan itu seperti roda. Ada masa di atas dan ada masa di bawah. Menyingkap kembali sejarah silam, yang mana Islam telah mendapat tempat dan menjadi pilihan penduduk Quraisy dan masyarakat sejagat. Islam terus tersebar dari satu kawasan ke satu kawasan dan banyak kemenangan umat Islam tercatat di dalam Al Quran. Namun berubahnya zaman, selepas sepeninggalan Rasulullah diikuti kematian para sahabat al-Rasyidin, kehilangan tabi’ dan tabi’in umat Islam semakin lemah dan goyah. Zaman terus berlalu, pemerintahan Umaiyah mendahului dengan pelbagai konflik sehingga digulingkan oleh pemerintahan Abbbasiyah yang terlampau terbuka dalam bab keilmuan tanpa tapisan, akhirnya jatuh di tangan Tatar.

Dua rahsia umat Islam dahulu kuat berbanding sekarang :

                  1 – Umat Islam dahulu berpegang kuat pada agama.
                  2 – Hubungan persaudaraan yang erat.

Disebabkan pegangan agama yang kuat sehingga sebarang pertelingkahan tidak membawa sikap pandang ringan pada agama dan membolehkan golongan yang munafiq mencuri peluang.

Menjadi satu kepelikan kepada manusia yang cuba mengurangkan dan memudah-mudahkan syariat Allah kerana setiap tindakan di ukur dengan rangka syariat. Apabila mengetepikan Al quran dan sunnah sebagai sumber rujukan atau memilih salah satu,sudah pasti manusia itu lemas dengan ujian kehidupan.Satu kalam Imam Said  Hawwa : Hakikat Islam itu zahir dan wajib dizahirkan.

Maka menjadi satu kewajipan kepada umat Islam berpegang setiap apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan larangan Nya serta perlu sebarkan kepada orang lain.Terdapat 3 kategori ummah berdasarkan firman Allah di dalam surah Al - Imran ayat 104  :

                    1 – Ummah Dakwah ( golongan non muslim / sasaran dakwah )
                    2 – Ummah ‘ Ijabah ( golongan lalai / orang yang tiada fahaman islam menyeluruh )
                    3 – Ummah Ittiba’ ( golongan yang faham dan mengamalkan amar makruf nahi mungkar )

Menjadi ummah Ittiba' adalah sebaik - sebaik ummah yang disebut oleh Allah, sesuai dengan sifat kita sebagai hamba kepada tuannya Allah S.W.T.

‘’ Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan”

Disediakan oleh :

Norshafikah binti Abd Nasir
Timbalan Ketua Fasilitator
BKASM sesi 2016/2017

#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti


Rabu, Februari 01, 2017

HANDBALL : MELAHIRKAN SRIKANDI YANG AKTIF


28 JANUARI 2017, KAHERAH -Lajnah Kesenian dan Sukan (LKS) Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2016/2017 telah mengadakan Srikandi Handball Game yang bertempat di Nadi As-Salab, Zahra'.

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli BKASM khususnya mahasiswi selain menjadikan sukan sebagai medan ahli untuk beriadah. Program ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran ahli tentang penjagaan kesihatan dan keseimbangan antara jasmani dan rohani.

Program ini telah berlangsung pada pukul 9.00 pagi sehingga 11.30 pagi. Aktiviti ini telah mendapat sambutan yang baik daripada ahli BKASM. Program ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua 2 iaitu Saudari Aisyah bt Mhd Shukeri.

Semoga program yang dijalankan ini dapat meribat ukhuwah dan memperkukuh kesatuan serta kebersamaan antara ahli BKASM khususnya mahasiswi bertepatan dengan objektif yang dicapai.


"Memurnikan Pemikiran Meribat Kebersamaan"


Disediakan oleh :

Setiausaha
Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2016/2017


#KITAPMRAM
#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti