SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Jun 21, 2018

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK BERMANHAJ



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan daripada segi rohani dan sahsiah.

Sempena berakhirnya peperiksaan fasa dua, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2017/2018 menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Bermanhaj pada 22 Jun 2018.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Bermanhaj serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dalam melaksanakan aktiviti ini.


"Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Jun 20, 2018

[ IHTIRAM '18 & CERIA '18 | TARBIAH DAN UKHUWAH MENGUKUHKAN KEBERSAMAAN AHLI BKASM ]



17 Mei - 17 Jun 2018, Kaherah - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 telah berjaya mengadakan dua program mega iaitu Ihya' Tarbawi Ramadan 2018 (IHTIRAM '18) dan Celebration of Aidilfitri 2018 (CERIA '18).

IHTIRAM '18 yang dijalankan disepanjang bulan Ramadan lalu, telah menyusun beberapa aktiviti bagi meningkatkan tarbiah dan thaqafah ahli. Dalam menghadapi musim peperiksaan yang berlangsung, IHTIRAM '18 menyusun program sebaiknya supaya ahli-ahli BKASM terus menumpukan pencapaian akademik disamping menyertai program-program yang telah disusun.

Antara program-program IHTIRAM '18 yang berjaya dilaksanakan ialah Muhadarah Ammah, Sahur dan Iftar Jamaie, aktiviti gotong-royong dan Solat Tarawih di masjid berdekatan, bacaan ilmiah berkaitan puasa, aktiviti Juadah Mahabbah, Kempen Ruhban Fillail, tadarus dan Majlis Khatam Al-Quran.

Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama unit dan lajnah dalam BKASM antaranya Bicara Ramadan dan aktiviti Syantoh dan Hibbah Ramadan. Kedua-dua aktiviti ini dijayakan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan. Selain itu, Diskusi Kitab pula dilaksanakan dengan kerjasama Unit Thaqafah. Manakala Tayangan Ilmiah telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Unit Biah Solehah dan Unit Nadi Ukkaz. Kesemua aktiviti-aktiviti ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ahli sekalipun dalam fasa peperiksaan.

Pada 14 Jun 2018, Majlis Penangguhan IHTIRAM '18 dan Perasmian CERIA '18 telah berjaya diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Ustz Mohd. Yasser bin Abdul Ghani, Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Program CERIA '18 dimulakan dengan program ambang iaitu "Talkshow : Cinta Antara Dua Bulan" yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob, Ustazah Siti Fadilah binti Sulaiman. Manakala Ustaz Muhammad Irsyad bin Abd Ghaffar sebagai moderator.

Antara program yang menarik yang diadakan dalam program CERIA '18 ini ialah Baraan Takbir Raya, Ziarah Mahabbah, rewang raya, pertandingan Pelamin Raya dan Riadah Anak Selangor. Turut diadakan Majlis Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Majlis Penutupan CERIA '18 telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Nazim bin Bahnan, Penasihat BKASM sesi 2017/2018 yang diadakan di Dataran Hayyu Asyir. Majlis diakhiri dengan persembahan daripada kumpulan nasyid BKASM, Sufy's Rythm dan lakonan daripada mahasiswa USMB sesi 2018/2019.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKASM. Disamping itu juga, ahli dapat meningkatkan tarbiah dan thaqafah di dalam diri dengan menghadiri program-program yang dianjurkan.


"Ibrah Ramadan Inspirasi Perjuangan"
"Sunnah Diteladani Aidilfitri Disyukuri"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha,
IHTIRAM '18 dan CERIA '18,
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, April 25, 2018

KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN - Nukilan Siswa Siri 18






“Sesungguhnya agama yang benar dan diredai di sisi Allah adalah Islam." (Surah Ali-Imran : ayat 19)

Islam telah meletakkan beberapa panduan dalam memastikan seruan Islam itu sampai kepada seluruh umat. Tidak dinafikan bahawasanya sistem pemerintahan adalah salah satu wasilah yang menjadi kompenen terbesar dalam memastikan dakwah Islam terus berkembang ke seluruh alam. Hal ini kerana Islam adalah agama yang syumul mencakupi seluruh aspek kehidupan.

DAKWAH DALAM PEMERINTAHAN

“Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadap-Ku, dan datanglah kamu kepada-Ku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).”  (Surah An-Naml : ayat 31)

Di dalam pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman a.s., baginda mendapati terdapat sebuah kerajaan Saba’ yang diperintah oleh seorang Ratu perempuan. Akan tetapi, pemerintahan di bawah Ratu Saba’ bukan sebuah kerajaan Islam kerana Nabi Sulaiman mendapati Ratu Saba’ beserta kaumnya sujud kepada selain Allah ditambah dengan hasutan syaitan yang memperelokkan segala perbuatan syirik yang dilakukan oleh kerajaan Ratu Saba’. Sebagai seorang pemerintah Islam, Nabi Sulaiman a.s. telah mengajak kerajaan Ratu Saba’ kepada Islam dengan mengutus sepucuk surat.

TAWARAN MUSUH UNTUK MENOLAK ISLAM

“Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiahkepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita.” (Surah An-Naml : 35)

Setelah Ratu Saba’ menerima sepucuk surat daripada kerajaan Nabi Sulaiman a.s., dia bersama menteri-menterinya berfikir mencari  jalan supaya mereka dapat menarik kerajaan Nabi Sulaiman a.s. untuk bersama mereka. Akhirnya, Ratu Saba’ menghantar utusannya dengan memberi hadiah kepada kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

PEMIMPIN ISLAM TERUS BERPRINSIP

“Maka apabila (utusan pembawa hadiah) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman : “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu.” (Surah An-Naml : ayat 36)

Sebagaimana sabda Nabi SAW ketika baginda ditekan saat mengajak kaumnya kepada Islam : “Seandainya mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan agama ini, sama ada ia dimenangkan oleh Allah atau aku dibunuh dalam menegakkanya nescaya aku tidak akan meninggalkannya.”

CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM

“Iaitu mereka yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj : ayat 41)

Manusia diciptakan menjadi khalifah di atas muka bumi. Maka ulama menyebutkan antara tugas seorang khalifah adalah menegakkan agama dan mengurus tadbir dunia dengan agama. Oleh itu, antara ciri-ciri pemimpin yang di sebut di dalam ayat di atas ialah :
-Mendirikan solat
-Memberi zakat
-Menyuruh berbuat kebaikan
-Melarang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran

Kesimpulannya, apabila diamanahkan sebagai pemimpin, jadilah pemimpin yang bertakwa, apabila diposisikan sebagai pengikut jadilah pengikut yang bertakwa agar Islam terus dipelihara oleh golongan yang bertakwa.

Akhir sekali, telah berkata Saidina Umar r.a. “Tiada Islam kecuali dengan berjamaah, tiada jamaah kecuali dengan kepimpinan, dan tiada kepimpinan kecuali dengan ketaatan.”


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Nur Hidayah binti Mohd Ariff
Penasihat BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Selasa, April 17, 2018

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK AMALI



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat mementingkan unsur-unsur pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah. Penerapan unsur tarbiah juga merupakan satu keperluan bagi melahirkan generasi Islam yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan jasmani.

Sempena imtihan fasa dua yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 20 April 2018.

Semoga kita dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat memanfaatkan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Semoga kita bersama-sama memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini.


"Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, April 15, 2018

KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA DUA


Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah persatuan mahasiswa Islam yang sangat menitikberatkan perkara-perkara kebajikan ahli termasuk hal ehwal berkaitan pendidikan.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa kedua bagi sesi 2017/2018 sedang rancak berlangsung dalam tempoh menuju tarikh peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi. Mahasiswa dan mahasiswi juga sedang bertungkus lumus membuat persiapan dari pelbagai sudut seperti menghadiri kuliah, menghadiri kelas tutorial dan membuat ulang kaji pelajaran bagi mendapatkan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 12 April 2018 adalah tarikh penangguhan bagi semua program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Hal ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Usaha dan tawakal itu kunci kepada kejayaan. Oleh yang demikian, diharapkan agar kita semua dapat mempertingkatkan prestasi dan berikan sepenuh usaha dalam menyiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.

Disamping itu, kita juga mestilah menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana Dialah Yang Maha Berkuasa memberikan dan menentukan segalanya. Maka, teruskan bermunajat dan bertawakkal kepada-Nya.

Akhir kata, semoga semua mahasiswa dan mahasiswi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperolehi menjadi penyebab bertambahnya takwa kita kepada Allah SWT.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Khairul Adha bin Hamdzani
Timbalan Yang Dipertua I (Lajnah Perancang I)
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, April 13, 2018

KONSEP AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR - Nukilan Siswa siri 17



{لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ*
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ}

"Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan."
"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh."
(Surah Al-Ma'idah : ayat 78-79)

Semua orang mengaku bahawa antara tugas orang-orang yang beriman adalah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Akan tetapi persoalannya berapa ramaikah manusia yang betul-betul melaksanakan perintah Allah ini?

Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang mulia, Baginda dipercayai oleh seluruh orang Quraisy. Kelahiran Baginda disambut dengan begitu meriah sekali dan antara yang paling gembira ialah bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Jahal. Akan tetapi setelah Baginda mendapat wahyu daripada Allah untuk berdakwah kepada kaumnya supaya beriman kepada Allah dan meninggalkan berhala-berhala tradisi yang mereka sembah itu. Nabi Muhammad SAW serta merta dibenci, dikecam, dikeji, dicaci oleh kaum kerabatnya sendiri.

Apabila fitrah mereka dicabar, mereka akan menentang sedaya upaya sehingga apa yang mereka buat itu diterima dan tidak diganggu oleh orang lain. Syaitan berjaya menguasai diri , menjadikan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah itu sebagai perhiasan kepada mereka lalu menyebabkan mereka  lalai dengan dosa yang sudah sebati dengan diri.

Itulah hakikat pada zaman ini, ke arah revolusi kemodenan akan tetapi mundurnya dari segi akhlak dan sikap manusia itu sendiri terutamanya kes hisbah yang berlaku dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir. Peratusan kes ikhtilat tidak syar'ie kian meruncing dan meningkat bagaikan tiada noktah. Mereka tanpa segan silu melakukan kemungkaran secara terang-terangan. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak memahami batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syariat agama Islam demi menjaga kemaslahatan umat Islam. Dosa ikhtilat merupakan salah satu perkara mungkar yang wajib dicegah dengan segala kemampuan.

Konsep Amar Makruf Nahi Mungkar mesti selari berlandaskan garis pandu syariat agama Islam. Ramai beranggapan bahawa amar makruf sahaja yang perlu disebarkan supaya ramai orang lebih tertarik dengan keharmonian Islam dan tidak mengambil bahagian dalam kerja-kerja nahi mungkar kerana takut orang ramai menjauhi kita. Ujian Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan dakwah lebih dahsyat berbanding dengan kita. Baginda ingin mendidik umatnya supaya terus kuat dan tabah dalam berdakwah.

Perlu diingat bahawa kita melakukan Amar Makruf Nahi Mungkar ini adalah untuk mendapatkan keredaan Allah bukan keredaan manusia.  Musuh Islam tidak takut jika kita rajin beribadah siang dan malam, akan tetapi mereka sangat takut jika seluruh umat Islam bersatu untuk melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar . Justeru, marilah sama-sama kita menggerakkan segala usaha bagi melaksanakan tuntutan ini. Bersama kita mengekalkan dan menyebarkan biah solehah ini.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh,

Muhamad Hakim bin Mohd Nasir
Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, April 08, 2018

TAJARRUD DENGAN MANHAJ ISLAM - Nukilan Siswa siri 16


“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah Al-Baqarah : ayat 208)

Tajarrud bermaksud murni atau tulen, yakni tidak bercampur dengan sesuatu yang asing. Tajarrud membawa kefahaman kepada setiap umat Islam agar melihat, berfikir, beramal dengan Islam daripada sumbernya yang asli tanpa dipengaruhi atau difahami melalui percampuran unsur-unsur luar daripada Islam. Meyakini bahawa Islam sebagai satu-satunya penyelesaian bagi setiap masalah yang berlaku di muka bumi Allah ini dan bukannya salah satu penyelesaian. Jika tidak, ianya seakan ingin mengatakan ada juga penyelesaian lain selain Islam.

Satu teguran kepada Saidina Umar r.a. yang ingin mengambil sebahagian apa yang terkandung di dalam kitab Taurat. Perkara ini dihalang oleh Nabi SAW secara tegas. Islam yang sudah sempurna hujah dan prinsipnya, tidak perlu digabungkan ataupun disandarkan dengan apa-apa falsafah sekalipun.

Apa yang berlaku di akhir zaman ini, kita tidak memahami apa yang Islam gariskan terlebih dahulu. Hanya bilamana berlakunya sesuatu isu dan permasalahan, maka barulah kita mengkajinya mengikut perspektif Islam dalam masa yang sama kita membandingkannya dengan fahaman dan ideologi-ideologi yang lain. Seolah-olah Islam ini hanya salah satu pendapat bukannya satu ketatapan.

Sepatutnya bila ada isu yang berlaku sebagai contoh dalam bab hiburan, isu 'Panama Dance'. Kita perlu mengajar masyarakat bahawa pengharamannya bukan pada namanya tapi pada prinsip dan garis panduan Islam yang telah dilanggar. Maka, tarian zapin juga akan menjadi haram bilamana ianya melibatkan pecampuran lelaki dan perempuan serta menari dengan lenggok yang mengiurkan. Fahamilah garis panduan berdasarkan apa yang Islam telah tetapkan. Maka, walau apa jua nama tarian atau senaman yang datang selepas ini, mudah untuk kita menilainya sama ada ianya dibolehkan atau tidak oleh syarak.

Seluruh mahasiswa Islam perlu memainkan peranan ini. Mendalami Islam dan memberi peringatan kepada masyarakat tentang cara hidup Islam yang sebenar. Agar masyarakat Islam mampu mengasingkan dan tidak mencampur adukkan prinsip Islam dengan fahaman dan ideologi yang lain. Kita perlulah berusaha menampilkan kemampuan Islam menyelesaikan seluruh masalah dunia hari ini. Didiklah masyarakat berpegang teguh dengan prinsip dan manhaj Islam. Agar apa jua yang mendatang, kita dapat menghadapinya dengan hujah dan ketatapan ajaran Islam.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
Yang Dipertua,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Sabtu, Mac 31, 2018

TARBIAH : PILIHAN ATAU KEWAJIPAN? - Nukilan Siswa siri 15



إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۖ وَلَا تُسْأَلُ عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka."
(Surah Al-Baqarah : ayat 119)

Nabi Muhammad SAW ialah Rasul akhir zaman yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak Islamiah. Dalam usaha untuk menjadikan Islam sebagai syiar agama, banyak tentangan yang diperoleh baginda dan para sahabat sehingga sanggup menjadikan nyawa sebagai benteng pertahanan akhir.

Namun, semua itu dilalui dengan proses tarbiah, yang mengajar dan membentuk peribadi seorang hamba agar tidak tersasar dari landasan agama. Melalui tarbiah, kita dididik untuk menjadi manusia yang sentiasa ikhlas untuk bekerja sehingga sanggup mengorbankan jiwanya demi agama.

Hari ini, tarbiah dikatakan mengongkong kehidupan serta tidak bebas dalam melakukan apa-apa perkara, sedangkan mereka terlupa bahawa hawa nafsu yang tidak dikawal adalah punca rosaknya umat. Dunia hari ini membuktikan betapa banyak kerosakan yang dilakukan hasil dari tangan manusia. Namun angkuhnya manusia kerana sering menganggap dirinya telah melakukan banyak kebaikan.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi," mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan."
(Surah Al-Baqarah : ayat 11)

Ketahuilah, bahawa kerosakan yang makin merebak ini disebabkan kurangnya kesedaran kita dalam menyampaikan seruan amar makruf dan nahi mungkar. Tarbiah yang kurang dititikberatkan akan menyebabkan ketandusan iman sehingga akhirnya membawa kepada perpecahan dalam menjayakan kesatuan Islam.

Kehidupan ini, penuh dengan ujian. Setiap golongan yang menerima tarbiah pasti akan diuji keikhlasannya. Maka, tetaplah istiqamah di jalan Allah dalam menggerakkan agenda kesatuan Islam dan menjadikan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) sebagai medan utama sehingga kematian menjemput kita.

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah At-Taubah : ayat 41)


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Khairun Nisa binti Khairulzamal
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Mac 29, 2018

IFTAR MAHABBAH DAN RABITAH '18 : INJEKSI UKHUWAH DAN KEBERSAMAAN




26 MAC 2018, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT) telah mengadakan Iftar Mahabbah yang mengumpulkan semua ahli BKASM yang melibatkan Komuniti Rumah Sewa (KORUS) dan ahli yang tinggal di Asrama Rumah Selangor.

Antara objektif utama iftar ini diadakan adalah untuk memperkasakan tarbiah dan ukhuwah dalam kalangan ahli BKASM. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah tazkirah, solat berjemaah serta taaruf sesama ahli.

Menariknya lagi, Iftar Mahabbah kali ini diteruskan lagi dengan satu program yang penting iaitu Muhasabah Sepanjang Sesi atau dikenali sebagai Meribat Satu Hati (RABITAH '18).

RABITAH '18 diadakan bagi membuka peluang kepada ahli memberi muhasabah dan cadangan untuk penambahbaikan BKASM serta mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Selepas selesai solat Isyak, RABITAH '18 membuka tirainya dengan sesi taaruf AJKT, pembentangan laporan umum aktiviti BKASM diikuti sesi muhasabah dan cadangan ahli kepada BKASM. RABITAH '18 ditutup dengan jamuan ringan dan edaran cenderahati untuk seluruh ahli BKASM.

Semoga program yang telah dianjurkan ini memberi manfaat buat semua ahli BKASM terutamanya dalam memperkukuh tautan ukhuwah demi merealisasikan slogan “Kita Keluarga BKASM” pada sesi kali ini. Seterusnya menjadi medan untuk pimpinan dan ahli mendapatkan muhasabah dan cadangan bagi memperbaiki mutu gerak kerja yang akan datang.

Semoga ikatan ukhuwah yang didasari dengan iman dan akidah membawa kepada ikatan perpaduan dan menjauhi segala perpecahan.


"Muhasabah Membina Ukhuwah Terpelihara"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha,
Lajnah Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama RABITAH '18
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Mac 18, 2018

HEDONISME : BUAH CATUR PERANCANGAN MUSUH





Firman Allah SWT :

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ وَلَا نَصِيرٍ .


Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Surah Al-Baqarah : ayat 120)

Rasulullah SAW juga pernah mengingatkan umat Islam agar berwaspada dengan musuh Islam yang tidak putus asa dalam mengatur strategi menghancurkan umat Islam. Umat Islam perlu sentiasa berwasapada agar tidak mengikuti mereka dengan meniru  budaya orang kafir.

Hiburan yang melampaui batas dan menjauhkan umat dari agamanya adalah suatu perkara yang amat mendukacitakan apabila umat Islam mengikut budaya barat. Menjadikan artis sebagai kayu ukur pada setiap aspek, semuanya kelihatan normal kerana digunakan atas nama kemodenan dan mengikut arus zaman.

Fenomena pemikiran Hedonisme yang bertentangan dengan Islam. Satu ideologi yang mengukur sesuatu kebenaran itu melalui keseronokan. Sekiranya sesuatu perkara itu seronok, maka ia benar walaupun salah di sisi syarak dan begitulah sebaliknya. Hedonisme merupakan ancaman kepada perkembangan kebangkitan Islam kerana ideologi ini merebak dalam kalangan anak muda di mana anak muda merupakan pemain utama dalam menentukan jatuh bangunnya Islam.

Realiti di Malaysia, pelbagai hiburan yang disajikan, konsert dan pelbagai acara dilakukan yang tidak kena pada tempatnya. Tarian percampuran lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak mengikut syariat dan ditonton oleh umum. Hilang sifat malu dalam diri umat. Hal ini secara tidak langsung bercanggah dengan tatacara kita sebagai seorang Muslim.

Bagaimana jatuhnya Khilafah Abbasiyah, antara sebabnya hiburan yang berlebihan. Disebut oleh Ibnu Kathir di dalam kitab beliau “Bidayah wan Nihayah”, umat Islam diakhir pemerintahan Abbasiyah begitu teruk diserang dengan hiburan yang melampau. Fenomena ini merupakan satu penyakit yang dibuat oleh musuh Islam sendiri untuk melemahkan kekuatan umat Islam yang pada hari ini berkiblatkan budaya-budaya barat dalam kehidupan.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat.


Antaranya ialah :

1) Niat yang baik.

2) Tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

3) Tidak meninggalkan dan melalaikan kewajipan yang difardukan oleh Allah SWT.

4) Sentiasa menjaga adab-adab pergaulan.

5) Tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran.

6) Tujuannya hendaklah baik dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Justeru itu, Unit Biah Solehah (UBS) di bawah kelolaan Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sentiasa menjaga biah ahlinya sentiasa mengikuti syariat Islamiah. Pelbagai medium di sediakan dalam memastikan biah ahli terjaga. Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga biah solehah demi melahirkan "Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani."


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Norfarhani binti Ismail,
Timbalan ketua Lajnah Ekonomi
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Mac 16, 2018

ALWAN '18 : MEWARNAI UKHUWAH KELUARGA BKASM














8, 10-12 MAC 2018 – Kaherah : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah menganjurkan satu program yang berkonsepkan kekeluargaan iaitu Hari Warna-warni BKASM 2018 atau ALWAN '18. Tujuan ALWAN '18 diadakan adalah untuk menjalinkan roh kekeluargaan dalam kalangan ahli BKASM serta menanam nilai-nilai Islam dalam diri ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Program tersebut telah berlangsung selama dua hari pada tanggal 8 dan 10 hari bulan bertempat di Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir dan Safari Beach, Ain Sukhnah bagi mahasiswi Selangor. Manakala bagi mahasiswa, ianya berjalan di Theme Park, Obour City dan pada Hayyu Syabab, Musallas pada 11 dan 12 Mac.

Hari keluarga pada kali ini dihadiri hampir 400 orang ahli BKASM. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan ALWAN '18. Antaranya slot 'Sentuhan Kalbu', 'flash mob', sukaneka, pertandingan futsal dan bola tampar serta pelbagai lagi aktiviti bagi merealisasikan objektif kita pada kali ini.

Diharapkan agar program yang telah dianjurkan ini memberi manfaat buat semua ahli BKASM terutamanya dalam menjalinkan roh kekeluargaan antara ahli BKASM. Disamping itu, semoga ianya dapat menanam nilai-nilai Islam dalam diri ahli BKASM dan merealisasikan slogan 'Kita Keluarga BKASM' pada sesi kali ini.

Semoga ikatan ukhuwah antara ahli BKASM mendapat keberkatan daripada Allah dan dijauhkan daripada pepecahan.


"Ukhuwah Kekeluargaan Menjalin Kebersamaan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Setiausaha,
ALWAN '18,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Mac 09, 2018

SEJARAH MENGAJAR ERTI KEHIDUPAN




"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi rapat kepada setengahnya yang lain, dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu.  Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (Surah Al-Maidah : ayat 51)

Qabilah pertama yang menunjukkan permusuhan ialah Bani Qainuqa. Tinggal di sekitar negeri Madinah dan mereka merupakan Kabilah Yahudi paling kuat. Terjadinya peperangan Bani Qainuqa selepas Perang Badar.

     Qabilah ini mula menunjukkan belang setelah umat Islam memenangi Perang Badar. Mereka juga mempersendakan Islam dengan penganutnya, malah golongan muslimat juga sering menjadi sasaran mereka. Maka Rasulullah SAW mengambil tindakan dengan memberi nasihat dan amaran.

      Hakikatnya, kabilah ini tetap berdegil dan tidak mahu mendengar nasihat dan amaran daripada Rasulullah SAW. Sehingga menjadi satu peristiwa ketika mana orang-orang Yahudi cuba mengganggu seorang wanita Muslim dengan menarik tudung tersebut hingga terjatuh dan menampakkan auratnya. Maka wanita tersebut menjerit dan seorang lelaki Muslim yang berhampiran terus mendatangi tempat tersebut lalu membunuh Yahudi itu. Lalu, beberapa orang Yahudi yang lain telah menyerang lelaki Muslim tersebut sehingga beliau syahid.

     Justeru, perbuatan orang-orang Yahudi ternyata mencabul perjanjian dan mendedahkan pendirian jahat mereka terhadap Islam. Maka Rasulullah SAW mengambil tindakan dengan mengisytiharkan perang ke atas Yahudi Bani Qainuqa.

    Dalam peristiwa ini, ALLAH SWT telah mendedahkan sikap orang-orang munafik melalui pemimpin mereka Abdullah bin Ubai di mana sikap mereka amat berbeza dengan sikap orang Islam. Rayuan Abdullah bin Ubai langsung tidak dipedulikan oleh Rasulullah SAW, akan tapi rayuan demi rayuan yang dilakukan membuatkan Rasulullah SAW marah dan akhirnya bani qainuqa hanya di halau dari Madinah.

    Kesimpulannya, ketahuilah bahawa musuh Islam yang nyata adalah bangsa Yahudi dan Nasrani, sirah nabi dan al-Quran banyak beri kita pengajaran dan peringatan untuk kita jauhi daripada mereka ini. Kita juga perlu berhati-hati kepada golongan munafik yang mana mereka ini merupakan agen pemecah dalam jemaah itu sendiri. Ketahuilah azab bagi mereka yang dijanjikan oleh Allah SWT sangat pedih di akhirat kelak. Moga kita jadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan hidup kita sebagai seorang Muslim yang sejati.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan "


Disediakan oleh :
Muhammad Zuhair bin omar,
Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Mac 04, 2018

STRUKTUR ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA TADBIR BKASM SESI 2017/2018




Berikut adalah struktur organisasi Ahli Jawatankuasa Tadbir Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018.

Senarai Ahli Jawatankuasa Tadbir ikhwah :

Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi
(Yang Dipertua)

Khairul Adha bin Hamdzani
(Timbalan Yang Dipertua I)

Muhammad Faiz bin Othman
(Setiausaha Agung)

Nabil Rusyaidi bin Ramli
(Timbalan Setiausaha Agung I)

Muhamad Nasrul bin Jamal
(Bendahari Kehormat)

Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan
(Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah)

Muhammad Syukri bin Rosli
(Ketua Lajnah Pendidikan)

Luhamul Ashfia bin Slamet Bahrul Chayat
(Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan)

Luqmanulhafiz bin Mohd Amir
(Ketua Lajnah Kebajikan)

Khalif bin Idrus
(Ketua Lajnah Ekonomi)

Muhamad Hakim bin Mohd Nasir
(Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan)

Muhammad Hazman bin Zabil
(Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah)

Muhammad Zuhair bin Omar
(Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan)


Senarai Ahli Jawatankuasa Tadbir Akhawat :

Ummi Aqilah binti Norlizam
(Timbalan Yang Dipertua  II)

Khairun Nisa binti Khairulzamal
(Timbalan Setiausaha Agung II)

Nurul Syahirah binti Che Yusof
(Timbalan Bendahari Kehormat)

A’isyah binti Wahidan
(Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah)

Nur Hazirah binti Ahmad Din
(Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan)

Nur Farrah Ain binti Zaidi
(Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan)

Aida Afiqah binti Zawawi
(Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan)

Norfarhani binti Ismail
(Timbalan Ketua Lajnah Ekonomi)

Nur Dalilatul Husna binti Zainuddin
(Timbalan Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan

Eirdhina binti Mohd Shaharuddin
(Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah)

Nurul Hafizah binti Haron
(Timbalan Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan)


Senarai Ahli Lembaga Penasihat :

Muhammad Syafiq bin Amran
(Ketua Penasihat)

Mohd Nazim bin Bahnan

Aisyah binti Mhd Shukeri

Nur Hidayah binti Mohd Ariff


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Dikeluarkan oleh :
Jabatan Setiausaha Agung (JASA)
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Sabtu, Mac 03, 2018

IFTAR MAHABBAH : MENJAYAKAN TUNTUTAN UKHUWAH



 









26 FEBRUARI 2018, KAHERAH – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah (LDT) dengan kerjasama Lajnah Penempatan dan Perumahan (LPR) telah mengadakan Iftar Mahabbah.

Antara objektif utama iftar ini diadakan adalah untuk memperkasakan tarbiah dan ukhuwah dalam kalangan ahli BKASM. Program ini telah menyasarkan kepada semua ahli BKASM dan dilaksanakan di Komuniti Rumah Sewa (KORUS).

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah tazkirah, solat berjemaah serta taaruf sesama ahli rumah KORUS. Iftar Mahabbah pada kali ini adalah untuk mengikat tautan ukhuwah disamping melaksanakan penganjuran syariat dalam berukhuwah sesama muslim.

Diharapkan agar program yang telah dianjurkan ini memberi manfaat buat semua ahli BKASM terutamanya dalam memperkukuh tautan ukhuwah demi merealisasikan slogan “Kita Keluarga BKASM” pada sesi kali ini.

Semoga ikatan ukhuwah yang didasari dengan iman dan akidah membawa kepada ikatan perpaduan dan menjauhi segala perpecahan.


"Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Isnin, Februari 26, 2018

PERFORM ’18 : PENERUS LEGASI MULTIMEDIA TAAKHI



21-22 FEBRUARI 2018 – HAYYU ASYIR : PERFORM ’18 anjuran bersama Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM, BKMIP, BKKIMM dan DPM Tanta telah diadakan baru-baru ini bertujuan bagi
melahirkan pelapis dalam bidang multimedia dan bagi mengeratkan hubungan sesama ahli BKAN Taakhi di Mesir.

Program tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula jam 1.00pm-5.30pm
bertempat di Surau Kompleks Indera Mahkota, Hayyu Asyir. Program tersebut telah dihadiri oleh 60 orang peserta daripada tiga BKAN iaitu BKASM, BKMIP dan BKKIMM serta DPM Tanta dengan yuran penyertaan sebanyak LE 20 seorang.

Bagi hari pertama PERFORM ’18, majlis dimulakan dengan taklimat program yang disampaikan olehs saudaraMuhammad 'Afif Helmi bin Mohd Nawawi (Pengarah PERFORM ’18) dan diteruskan dengan asas-asas Adobe Photoshop yang telah dibentangkan oleh saudara Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan (Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM sesi 2017/2018). GKB juga diadakan yang dibantu oleh mentor yang dijemput khas daripada BKASM dan BKKIMM bagi membantu peserta dalam menguasai asas Adobe Photoshop dengan dibekalkan beberapa bahan daripada peringkat program.

Bagi hari kedua PERFORM ’18, program dimulakan dengan pembentangan berkiatan asas-asas Vegas Pro yang dibentangkan oleh saudara Ahmad Hakimi bin Ahmad Suhaimi (Mentor Trainer Kelab Karyawan Islam KPKM sesi 2017/2018). Peserta didedahkan dengan pengenalan asas Vegas Pro dan diteruskan dengan GKB yang dibantu oleh mentor bagi menyelesaikan tugasan yang disediakan
oleh peringkat program kepada peserta.

Program diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup PERFORM ’18 yang disempurnakan oleh wakil
Yang Dipertua, saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi (Setiausaha Agung BKMIP sesi 2017/2018) dan
penyampaian cenderahati kepada perasmi dan barisan mentor yang telah membantu
sepanjang program berlangsung.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Setiausaha,
Perfect Multimedia 2018 (PERFORM '18),
Anjuran bersama BKASM, BKMIP, BKKIMM dan DPM Tanta sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#SetiaBersamaTaakhi

Khamis, Februari 22, 2018

MUSLIM YANG BEKERJA - Nukilan Siswa Siri 12




Firman Allah yang bermaksud :

“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah"
(Surah Al-Anfal : ayat 60)

Melihat situasi dunia kita hari ini, persaingan sengit yang berlaku di antara kuasa Islam dan golongan yang kufur menuntut kita memperkasakan lagi usaha dan perjuangan dalam segenap aspek demi mencapai sebuah khilafah Islam.

Imam Hasan al-Banna telah menyusun sepuluh muwasafat tarbiah sebagai panduan dalam proses pembentukan individu muslim, antaranya adalah menjaga waktu dan sistematik. Dua sifat ini penting untuk diberi perhatian sebagai persediaan menghadapi arus dunia. Perlu kita ingat, tidak sedikit di kalangan umat Islam yang mendapat status ‘Khasirin’ dan ‘Nadimin’ di akhirat kelak dek kerana mengabaikan dua sifat tersebut.

Menyebut tentang waktu, umum mengetahui bahawa Allah SWT menghadiahkan 24 jam sehari kepada setiap hambaNya. Tiada yang lebih, dan tiada pula yang dikurangkan. Namun, kita dapat melihat bahawa ada sebahagian yang mampu melaksanakan pelbagai gerak kerja untuk manfaat diri dan masyarakat dengan tempoh masa yang diberi. Namun, sebahagian lain pula ada yang gagal menyusun masa dan urusan, lalu akhirnya hanya mampu mencipta beraneka alasan.
Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah cinta sekiranya seseorang melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh”. (Riwayat Tabrani)

Setiap kita mempunyai gaya tersendiri dalam merancang masa, dan secara asasnya adalah :
 
-Fikir
-Susun
-Buat
-Nilai

Akhirnya, muslim sebenar itu harus faham bahawa menjaga waktu dan sistematik dalam urusan adalah salah satu tarbiah Islamiah yang akan membentuk mukmin dalam dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja, bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT. Adalah menjadi harapan dan keyakinan setiap muslim bahawa masa depan adalah milik Islam, ketika saat itu tiba, moga kita dalam kalangan tentera yang telah bersedia memimpin dengan acuan Islam.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

A’isyah binti Wahidan
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Sabtu, Februari 17, 2018

FIESTA '18 : MENJANA EKONOMI MAHASISWA



8-12 Februari 2018, Kaherah : Program Festival Ekonomi Islam Selangor 2018 (FIESTA ’18) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah berlangsung dengan jayanya. Program ini telah berlangsung selama lima hari, padat dengan pelbagai pengisian dan aktiviti yang menarik.

Antara pengisian yang telah berjaya diadakan ialah, talkshow berkaitan ekonomi yang bertajuk "Ekonomi Islam vs Kapitalisme" dan talkshow berkaitan Unit Bait Muslim (UBM) yang bertajuk "Kuasa ar-Razzaq".

Pelbagai aktiviti bersama pengunjung juga diadakan seperti slot permintaan lagu dan ucapan (Flying Notes), Together With Me (slot mempromosikan gerai-gerai) dan pelbagai kuiz dan permainan seperti 'Cer Teka', 'indoor games' dan 'outdoor games' yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkunjung ke bazar pada kali ini.

Bazar FIESTA '18 juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan al-Wadi serta medical dan dental check up daripada ahli-ahli Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN).

Ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Selangor yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan program mega kita pada kali ini.


“Ekonomi Sejahtera Ukhwah Terbina”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha,
Festival Ekonomi Islam Selangor 2018 (FIESTA '18),
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Februari 15, 2018

KESERONOKAN YANG MENIPU - Nukilan Siswa Siri 11




وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
(Surah Al-An'am : ayat 32)

Definisi hedonisme adalah suatu pegangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Idea ini asalnya dikembangkan oleh Epicures dengan mengatakan tujuan hidup adalah untuk kesenangan dan kedamaian. Di dalam fahaman ini beliau menekankan bahawa kehidupan ini tidak mungkin dirasai kelazatannya sekiranya menolak unsur hiburan, kebiadaban, kekayaan dan sebagainya.

Secara fitrahnya kehidupan manusia lebih cenderung kepada keseronokan dan kebahagiaan. Melalui pelbagai cara untuk memperolehnya, manusia tidak akan memikirkan kesan baik atau buruk keinginan tersebut sehingga ia mampu membawa kepada kebinasaan yang sangat besar.

Realiti kehidupan masyarakat pada hari ini, meletakkan setiap sesuatu yang menyeronokkan itu adalah baik dan sesuatu yang membosankan dan tidak menyeronokkan itu sebagai suatu perkara yang  tidak baik. Sebagai contoh, pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batas, mendengar irama muzik yang terlalu rancak, bersikap kurang ajar, penggunaan bahasa-bahasa kesat, berpakaian dengan pakaian yang  tidak sopan dan sebagainya.

Pemikiran kehidupan seperti ini adalah salah dan sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya kita merujuk kepada al-Quran tidak ada suatu perkara pun yang menyebutkan hiburan dunia itu adalah baik melainkan sekadar suatu kesenangan dunia dan melalaikan.

Akan tetapi adakah islam melarang kita untuk berhibur dan berseronok?

Hiburan itu adalah harus dan ia perlulah dipandu dengan panduan Islam. Berpakaianlah dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat, pastikanlah tempat persembahan tidak itu mengundang kepada maksiat, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan juga perempuan, lagu yang dinyanyikan perlulah membawa kepada kebaikan, tidak mengganggu orang lain melakukan ibadah dan menggunakan bahasa-bahasa yang sopan ketika berbicara.


Justeru, untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar, kehidupan seseorang itu tidaklah sepenuhnya bergantung dengan hiburan duniawi semata akan tetapi ia juga perlu diisi dengan hiburan ukhrawi. Kerana inilah kemuncak kebahagiaan dan inilah yang selalu dimohon oleh hamba-hambaNya

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."
(Surah Al-Baqarah : ayat 201)

Moga-moga kita semua ditempatkan dalam kalangan orang  yang bahagia di dunia dan juga di akhirat.


“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Muhammad Hazman bin Zabil
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Februari 11, 2018

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM : SAMBUTAN JUBLI EMAS BKASM



11 FEBRUARI, KEHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah ditubuhkan sejak tahun 1965 lagi.

Pada tahun 2016, BKASM telah berjaya mengadakan sambutan Jubli Emas BKASM yang bertemakan, "50 Tahun Memimpin Kesatuan".

Majlis perasmian telah disempurnakan di Dewan Solah Kamil, Hayyu Sadis. Pada awalnya, Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali dijadualkan untuk hadir ke Mesir bagi merasmikan sambutan ini. Namun, kunjungan beliau ke sini ditangguhkan.

Sambutan ini berjalan selama lapan hari bermula 8 hingga 16 Februari yang diisi dengan pelbagai aktiviti. Antaranya, Dakwah Kontemporari siri ke-5 yang menampilkan pengisi-pengisi dari Malaysia, talkshow yang bertajuk "BKASM The Untold Story", RISE (Riadah Sukan Anak-anak Selangor), dan aktiviti-aktiviti yang lain.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 09, 2018

RASULULLAH SAW SURI TELADAN UMAT SEPANJANG ZAMAN - Nukilan Siswa Siri 10



Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : ayat 21)

Seperti kata pepatah ‘sudah terang lagi bersuluh’ bukti yang disebutkan di dalam ayat al-Quran bahawasanya keperibadian dan kehidupan Rasulullah SAW umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan ikutan oleh seluruh umat manusia di seantero dunia.

Tidak ternafi bahawa sejarawan barat juga telah meletakkan Rasulullah SAW pada kedudukan yang teratas dalam senarai 100 orang yang paling berpengaruh dalam sejarah manusia abad ini.

Telusuri satu kisah keperibadian unggul Rasulullah SAW sewaktu berhajat untuk mengganti pakaian yang satu-satunya dan ternyata sudah lusuh, baju yang setia menutup aurat baginda dengan wang sebanyak lapan dirham sahaja. Kemurahan hati dan sifat kesederhanaan baginda, wang lapan dirham dibelanjakan untuk kemaslahatan orang lain terlebih dahulu. Berkat jumlah angka lapan dirham tersebut, mampu memberi keamanan seorang budak dari ketakutan kerana menghilangkan wang majikannya, memberi pakaian pada si lelaki fakir yang sudah lusuh pakaian di badannya, dan telah membantu memerdekakan seorang budak dari tuannya.

Lihat betapa jauh bezanya kehidupan kita hari ini, berbelanja yang utamanya memenuhi keperluan diri sedang Rasulullah SAW yang terlebih dahulu dibelanjakan adalah untuk orang lain. Rezeki yang kita sangka hanya milik kita, sedang Rasulullah SAW rezeki yang diberikan hanyalah wasilah untuk disampaikan pada yang selayaknya.

Nasihat Rasulullah SAW supaya memiliki bekalan untuk menghadapi akhir zaman, disebutkan dalam sebuah hadis :

Rasulullah SAW telah bersabda : “Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu.” (HR. Bukhari)

Sebagai hamba Allah di muka bumi ini, tujuan utama kita diciptakan adalah untuk meraih keredaan Allah bukan mengejar kesenangan dan kebahagiaan semata di dunia yang fana ini, sebaliknya dunia adalah ladang tanaman buat orang-orang beriman mendapat tempat di syurga Allah yang paling tinggi di sana.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Nur Hazirah binti Ahmad Din
Timbalan Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 02, 2018

TIDAK AKAN SESAT MEREKA YANG SENTIASA MERUJUK AL-QURAN - Nukilan Siswa Siri 9



 عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Malik telah sampai kepadanya bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh dengan keduanya; Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya."

Kelemahan kita di saat dan zaman ini adalah ramainya golongan yang membaca al-Quran, namun terlupa untuk mentadabbur al-Quran. Membaca al-Quran tanpa mentadabburnya dengan cahaya iman seharusnya menjadi muhasabah ke atas diri kita. Apakah tujuan kita membaca al-Quran selama ini?.

Adakah sekadar mengejar tawaran pahala yang dijanjikan, atau kita membacanya sesuai dengan tujuan al-Quran yang diturunkan Allah SWT?. Ketahuilah, memfungsikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita adalah penting kerana ianya merupakan pemisah antara hak dan batil.

Syaitan sentiasa berusaha keras menyusun strategi untuk menjauhkan manusia daripada hidup beramal dengan al-Quran. Malah menghasut manusia agar terus berfikir seperti gaya syaitan yang kufur.

Hari ini ramai yang mengulas berkenaan cabaran yang dihadapi oleh Umat Islam sambil menafikan hubung kaitnya dengan Yahudi dan musuh Islam yang lain. Seolah-olah pertembungan yang berlaku hanya berpunca dari pertembungan ekonomi dan politik semata-mata. Kalau begitu, kita telah menafikan ancaman-ancaman daripada al-Quran. Cukuplah Surah Al-Fatihah mendedahkan kepada kita di sana ada musuh, al-Maghdub dan ad-Dhaallin. Ditafsirkan sendiri oleh Rasul SAW bahawa al-Maghdub itu ialah Yahudi dan ad-Dhaallin itu ialah Kristian yang ditipu oleh Yahudi.

Surah Al-Baqarah pula menceritakan sebahagian besar berkenaan kisah Bani Israel. Adalah kesilapan yang besar sekiranya kita beranggapan mereka bukan musuh utama yang mesti kita hadapi dengan persiapan yang rapi.

Sedangkan hakikat yang perlu kita ketahui adalah sebagaimana Nabi melahirkan pelapis, syaitan juga melahirkan pelapis. Maka di situlah persaingan antara hak dan batil.

Kembalilah kita kepada Islam. Al-Quran merupakan "road map" yang menyelamatkan kita daripada tersesat. Justeru al-Quran beserta mesej-mesejnya perlu disegarkan kembali dalam kehidupan kita. Wahyu yang menitikberatkan perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa.

Kini kita berada di zaman langit terbuka luas, tetapi hati dan minda manusia seakan tertutup rapat. Maka ia perlu disedarkan dengan cahaya Iman dan Islam. Orang beriman tenang menghadapi gelombang dunia berbekalkan janji Allah dan al-Quran.


Disediakan oleh :

Muhamad Nasrul bin Jamal,
Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Januari 28, 2018

SURAH AL ASR : MENJADI GOLONGAN YANG BERUNTUNG DI DUNIA DAN AKHIRAT- Nukilan Siswa Siri 8




“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-oramg yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. ( Surah Al-Asr : ayat 1-3 )


Dalam hidup yang singkat ini, ramai antara kita yang terlena dengan nikmat usia yang dimilikinya, seperti dalam pepatah Arab ada menyebutkan, “manusia itu tidak ubah seperti sekumpulan hari-hari". Setiap kali berlalu satu hari, akan berlalu pula sebahagian umur kita. Apabila telah berlalu sebahagian umur maka, semakin dekat usia kita menuju Alam Barzakh.


Daripada Surah Al-Asr ini terdapat petunjuk tentang manhaj kehidupan seorang muslim iaitu umat Islam perlulah mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang jelas di samping sedar akan kewajipan-kewajipan kita selaku khalifah di muka bumi. Bertepatan dengan kata-kata Imam As-Shahid Hassan Al-Banna “Kewajipan kita hari ini lebih banyak daripada masa". Maka, wajarlah bagi seorang pemuda itu memanfaatkan masa mudanya dengan perkara kebaikan dan kebajikan.


Sayyid Qutb di dalam tafsir Fi Dzilalil Quran ada menyebutkan “Dalam surah ini terkandung satu manhaj yang menyeluruh tentang kehidupan manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam”. Antara kriteria untuk menjadi manusia yang terselamat daripada kerugian dan mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat adalah dengan berilmu dan beramal, di samping berdakwah dan bersabar dalam menyampaikan pesanan dan peringatan.


Kesimpulannya, kehidupan kita di dunia hanya sementara. Jika dianalogikan kehidupan manusia ibarat sebuah perjalanan panjang lalu, berteduh sementara di bawah sepohon pokok. Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia mahupun akhirat serta menjadi golongan yang amanah dengan masa. Sesungguhnya masa tidak menunggu kita bahkan kita yang mengejarnya.



Disediakan Oleh :


Nur Farrah Ain binti Zaidi
Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Januari 25, 2018

PEMANTAPAN THAQAFAH MELALUI PROGRAM GABUNGAN BKAN



23 Januari 2018 (Selasa) - Perjumpaan Yang DiPertua Badan Kebajikan Anak Negeri telah diadakan di Asrama Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM), Hayyu Sabiek, Kaherah. Perjumpaan tersebut telah dipengerusikan oleh Yang DiPertua (BKPPPM) iaitu Ustaz Muhammad Safwan Bin Azzmi, perjumpaan ini diadakan bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti program yang berbentuk thafaqah diperingkat gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir.

Program yang bakal diadakan ini merupakan salah satu inisiatif di peringkat Badan Kebajikan Anak Negeri bagi meningkatkan thaqafah dan kefahaman kepada mahasiswa/wi berkenaan peranan seorang penunutut ilmu dalam mendepani kepelbagaian isu semasa. Di samping melaksanakan prinsip-prinsip yang telah digariskan syariat Islam.

Bertepatan dengan ayat al-quran yang menyebut berkenaan tanggunggjawab sebahagian daripada orang yang beriman itu bukan sahaja berjuang dalam menegakkan agama Allah SWT dengan berperang di jalan-Nya, akan tetapi, hendaklah ada sebahagian lain yang mendalami dan memahami ilmu agama agar mereka dapat memberi peringatan tentang batasan-batasan agama yang perlu diikuti.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tidak sepatutnya bagi orang yang beriman itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada setiap golongan dikalangan mereka itu, beberapa orang untuk mendalami ilmu pengetahuan tentang agama dan supaya mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang itu kembali kepada mereka. Mudah-mudahan mereka itu dapat menjaga diri mereka.”

(Surah At-Taubah : Ayat 122)

Perancangan yang telah disepakati ini adalah bagi mengisi masa cuti yang berbaki khususnya buat mahasiswa Al-Azhar setelah selesai menjalani peperiksaan fasa pertama.

Program gabungan ini akan dilaksanakan pada bulan Februari dengan tarikh yang akan dimaklumkan melalui media rasmi Badan Kebajikan Anak Negeri masing-masing.

Semoga kelangsungan program yang bakal dilaksanakan ini dapat memberi manfaat, semangat dan meningkatkan thaqafah dalam diri mahasiswa demi melahirkan ulama yang amilin (berkerja) di dalam medan masyarakat selari dengan pembawaan resolusi Kongres Badan Kebajikan Anak Negeri.

Turut Hadir,

YDP KPT
( AMIR SYAHIR BIN ABDULL AZIZ )

YDP KPIPM
( MOHAMAD BUKHARI RIDHA BIN MOHD BAKRI )

YDP BKASM
( MOHAMAD LUQMAN BIN MOHAMAD JASMI )

YDP BKMIP
( AMIR NORDIN BIN A. RAHIM )

YDP MKKK
( MUHAMMAD NOR SYAMIL BIN OMAR )

YDP BKPJM
( NORHALIM BIN LOKMAN )

YDP BKKIMM
( MUHAMMAD ANUAR BIN ABDULLAH )

YDP KPP
( MOHD HALIMIN BIN YAAKUB )

YDP BKPPPM
( MUHAMMAD SAFWAN BIN AZZMI )

YDP BKAWM
( AMIRUL HAKIM BIN MOHD RAZIB )

TIDAK HADIR,

YDP KPKM
( AHMAD MUHAIMIN BIN MOHD ZAIN )

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM : PEMBENTUKAN PERLEMBAGAAN JAWATANKUASA RUMAH SELANGOR



25 Januari 1978, Kaherah - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) berjaya mendapatkan Asrama Selangor yang pertama, bertempat di Rabaah, Kaherah, Mesir.

Pada tahun 1978, satu perlembagaan telah disusun oleh Kerajaan Negeri melalui agensinya, Yayasan Selangor bagi menguruskan asrama yang baru ini. Termaktub dalam perlembagaan tersebut bahawasanya, "Jawatankuasa Rumah Selangor adalah dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor daripada ahli-ahli yang dipilih oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dan memegang jawatan selama setahun melainkan jika dilantik semula".

Asrama Rabaah telah menjadi pusat pentadbiran BKASM yang pertama. Sepanjang BKASM beroperasi, urusan-urusan kepejabatan di antara BKASM dengan agensi-agensi luar telah dialamatkan di sini.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Januari 19, 2018

KEALPAAN UMAT ISLAM TENTANG ISU PALESTIN - Nukilan Siswa Siri 7



سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya : "Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan tanda-tanda kekuasaan Kami, bahawasanya Dia itu Maha Mendengar dan Maha Melihat".
(Surah Al-Isra : ayat 1)

Al-Quds adalah kota yang suci bagi umat Islam. Kota yang telah melahirkan beberapa utusan Allah dengan membawa misi ketauhidan serta menyeru umatnya ke arah kebenaran dan kebaikan.

Isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam di Palestin sahaja tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab ke atas semua umat Islam di dunia.

Kealpaan umat Islam sendiri telah menjadikan isu negara  Palestin dan Masjid Al-Aqsa hanya mendapat perhatian apabila berlaku serangan-serangan yang besar ke atas Gaza dan Tebing Barat, lalu menjadikan ia isu bermusim.

Kealpaan umat Islam juga berpunca dari umat Islam sendiri yang tidak tahu dan tidak mahu mengambil tahu mengenai isu Baitulmaqdis dan Masjid AlAqsa.

Sebagai mahasiswa dan mahasiswi Islam, tugas kita bukan sahaja belajar dan menuntut ilmu. Malah, sebagai seorang muslim, kita perlu mengambil tahu hal yang berlaku di sekeliling kita lebih-lebih lagi hal yang melibatkan umat Islam tidak kira dimana jua kita berada.

Disini saya mengajak kepada semua supaya lebih cakna dengan perkembangan umat Islam terutamanya di Palestin.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Eirdhina binti Mohd Shaharudin
Timbalan Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Selasa, Januari 16, 2018

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM : KERAJAAN NEGERI MENJADI PENAUNG BKASM



16 JANUARI 1984 : Dalam perlembagaan BKASM, pada fasal ke-3, menyatakan bahawa BKASM mempunyai penaung dan penasihat.

Pada tahun 1984, secara rasminya Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi penaung kepada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). Dato' Haji Ahmad Razali bin Haji Mohd Ali yang merupakan Menteri Besar Selangor pada waktu itu dilantik menjadi penaung BKASM pada sesi 1983/1984.

BKASM dan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menjalinkan hubungan baik bagi memastikan kebajikan mahasiswa-mahasiswi Selangor di Mesir terus terjamin. Antara kerjasama terbesar yang pernah dijayakan adalah pembelian asrama Selangor di Rabaah dan asrama kedua di Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.

Semoga hubungan baik di antara BKASM dan Kerajaan Negeri Selangor sentiasa utuh seterusnya bersama dalam menjaga kebajikan anak-anak Selangor di Mesir.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Januari 11, 2018

REHAT YANG TIADA KELAZATAN - Nukilan Siswa Siri 6



“Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepada-NYA, kemudian Allah (memberi taufik serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah, Dialah penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
(Surah At-Tawbah : ayat 118)

Tiga orang sahabat yang mengambil keputusan untuk tidak pergi berjihad kerana mengutamakan kerehatan, tidak mahu berpanas menjadi suatu pengajaran buat kita yang bergelar mukmin. Hari ini ramai yang berlepas diri dari tanggungjawab kerana memikirkan akan ada orang yang hadir membantu. Hari ini ramai yang mengetahui pentingnya melakukan kerja-kerja amal tetapi tidak sedar bahawa diri masih dalam keadaan belenggu dan membiarkan kerja tertunggak pada bahu yang lain.

Kepenatan, keletihan dan kesusahan dalam melakukan gerak kerja amal tidaklah menjadi penghalang untuk kita berehat. Namun, janganlah sehingga kita berhenti daripada melakukan sesuatu gerak kerja. Hadirkanlah dalam diri keikhlasan beramal, zahirkanlah kecintaan dalam melakukan kebaikan, jauhkanlah diri daripada sifat bermalas-malasan dan bertangguh dalam melakukan kerja. Bilamana wujudnya keikhlasan diri dalam melakukan kerja, kita tidak akan senang melihat orang lain bersusah payah. Kita akan merasakan kerehatan yang tiada kelazatan sekiranya melihat orang lain penat dan letih.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama dalam melakukan kebaikan dan bersama-sama untuk tidak memilih tiket menunggu tetapi segera merebut tiket menawarkan diri. Semoga Allah meredai setiap amal yang kita lakukan.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Khalif bin Idrus
Ketua Lajnah Ekonomi,
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Januari 04, 2018

KETULENAN ILMU TERAS KESATUAN UMMAH - Nukilan Siswa Siri 5



"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang) ; oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak diantara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka ; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah At-Taubah : ayat 122)

Dikala kita ralit menelaah kitab di musim peperiksaan, hadirkan dalam diri, semakin banyak ilmu yang dipelajari semakin taat kita dengan Allah. Adakah kita hanya memuntahkan segala yang dipelajari diatas kertas ujian atau sebaliknya?. Tepuk dada tanya iman.

Kefahaman ilmu yang tulen sangat didambakan oleh setiap hamba-Nya yang menginginkan hidupnya terpandu kearah mengenal Allah. Ketulenan ilmu yang dimaksudkan adalah bebas daripada anasir-anasir yang membawa kepada perpecahan. Penuntut ilmu perlu menjaga adab-adab dalam menuntut ilmu terutamanya daripada mana sumber ilmu itu diperolehi. Moga dengan asbab kita menjaga adab-adab tersebut, dapat melahirkan umat yang bersatu dibawah kefahaman yang sama.

Kesinambungan dua perkara ini sangat penting, iaitu menuntut ilmu dan melaksanakan gerak kerja dakwah. Ada yang menyangka ilmu perlu cukup di dada baru boleh berdakwah, ternyata tidak sama sekali. Bahkan perlu seiring antara keduanya. Kata-kata Imam Hasan Al-Basri, "Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan.”

Akhirnya, jadilah mahasiswa dan mahasiswi Islam yang sanggup menyumbang seluruh tenaga, jiwa dan harta untuk menegakkan kalimah-Nya ditempat tertinggi. Ingatlah, janji Allah itu pasti dengan kemenangan dan syurga yang menanti.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Aida Afiqah binti Zawawi
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Selasa, Januari 02, 2018

HUBUNGAN ANTARA BKASM DENGAN ILMAM SELANGOR SENTIASA DIPERKASA



Saban tahun, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dengan kerjasama Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Cawangan Selangor (ILMAM SELANGOR) menguruskan penghantaran mahasiswa dan mahasiswi baru Selangor ke Mesir.

Terbaru, ILMAM SELANGOR telah memberi sumbangan kepada BKASM bagi membantu salah seorang ahli BKASM yang telah ditimpa musibah.

BKASM mengucapkan ribuan terima kepada semua yang terlibat dalam menjaga kebajikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor di Mesir. Semoga Allah memberikan taufik dan inayat-Nya dalam usaha kita menjaga kebajikan mahasiswa yang menjadi tanggungjawab bersama ini.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Yang Dipertua,
BKASM sesi 2017/1018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM