Ahad, Januari 28, 2018

SURAH AL ASR : MENJADI GOLONGAN YANG BERUNTUNG DI DUNIA DAN AKHIRAT- Nukilan Siswa Siri 8




“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-oramg yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. ( Surah Al-Asr : ayat 1-3 )


Dalam hidup yang singkat ini, ramai antara kita yang terlena dengan nikmat usia yang dimilikinya, seperti dalam pepatah Arab ada menyebutkan, “manusia itu tidak ubah seperti sekumpulan hari-hari". Setiap kali berlalu satu hari, akan berlalu pula sebahagian umur kita. Apabila telah berlalu sebahagian umur maka, semakin dekat usia kita menuju Alam Barzakh.


Daripada Surah Al-Asr ini terdapat petunjuk tentang manhaj kehidupan seorang muslim iaitu umat Islam perlulah mempunyai matlamat dan tujuan hidup yang jelas di samping sedar akan kewajipan-kewajipan kita selaku khalifah di muka bumi. Bertepatan dengan kata-kata Imam As-Shahid Hassan Al-Banna “Kewajipan kita hari ini lebih banyak daripada masa". Maka, wajarlah bagi seorang pemuda itu memanfaatkan masa mudanya dengan perkara kebaikan dan kebajikan.


Sayyid Qutb di dalam tafsir Fi Dzilalil Quran ada menyebutkan “Dalam surah ini terkandung satu manhaj yang menyeluruh tentang kehidupan manusia sebagaimana yang dikehendaki Islam”. Antara kriteria untuk menjadi manusia yang terselamat daripada kerugian dan mendapatkan keuntungan dunia dan akhirat adalah dengan berilmu dan beramal, di samping berdakwah dan bersabar dalam menyampaikan pesanan dan peringatan.


Kesimpulannya, kehidupan kita di dunia hanya sementara. Jika dianalogikan kehidupan manusia ibarat sebuah perjalanan panjang lalu, berteduh sementara di bawah sepohon pokok. Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia mahupun akhirat serta menjadi golongan yang amanah dengan masa. Sesungguhnya masa tidak menunggu kita bahkan kita yang mengejarnya.



Disediakan Oleh :


Nur Farrah Ain binti Zaidi
Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan