SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Isnin, Februari 26, 2018

PERFORM ’18 : PENERUS LEGASI MULTIMEDIA TAAKHI



21-22 FEBRUARI 2018 – HAYYU ASYIR : PERFORM ’18 anjuran bersama Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM, BKMIP, BKKIMM dan DPM Tanta telah diadakan baru-baru ini bertujuan bagi
melahirkan pelapis dalam bidang multimedia dan bagi mengeratkan hubungan sesama ahli BKAN Taakhi di Mesir.

Program tersebut telah berlangsung selama dua hari bermula jam 1.00pm-5.30pm
bertempat di Surau Kompleks Indera Mahkota, Hayyu Asyir. Program tersebut telah dihadiri oleh 60 orang peserta daripada tiga BKAN iaitu BKASM, BKMIP dan BKKIMM serta DPM Tanta dengan yuran penyertaan sebanyak LE 20 seorang.

Bagi hari pertama PERFORM ’18, majlis dimulakan dengan taklimat program yang disampaikan olehs saudaraMuhammad 'Afif Helmi bin Mohd Nawawi (Pengarah PERFORM ’18) dan diteruskan dengan asas-asas Adobe Photoshop yang telah dibentangkan oleh saudara Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan (Ketua Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM sesi 2017/2018). GKB juga diadakan yang dibantu oleh mentor yang dijemput khas daripada BKASM dan BKKIMM bagi membantu peserta dalam menguasai asas Adobe Photoshop dengan dibekalkan beberapa bahan daripada peringkat program.

Bagi hari kedua PERFORM ’18, program dimulakan dengan pembentangan berkiatan asas-asas Vegas Pro yang dibentangkan oleh saudara Ahmad Hakimi bin Ahmad Suhaimi (Mentor Trainer Kelab Karyawan Islam KPKM sesi 2017/2018). Peserta didedahkan dengan pengenalan asas Vegas Pro dan diteruskan dengan GKB yang dibantu oleh mentor bagi menyelesaikan tugasan yang disediakan
oleh peringkat program kepada peserta.

Program diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutup PERFORM ’18 yang disempurnakan oleh wakil
Yang Dipertua, saudara Muhammad Hasbullah bin Suhaimi (Setiausaha Agung BKMIP sesi 2017/2018) dan
penyampaian cenderahati kepada perasmi dan barisan mentor yang telah membantu
sepanjang program berlangsung.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Setiausaha,
Perfect Multimedia 2018 (PERFORM '18),
Anjuran bersama BKASM, BKMIP, BKKIMM dan DPM Tanta sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#SetiaBersamaTaakhi

Khamis, Februari 22, 2018

MUSLIM YANG BEKERJA - Nukilan Siswa Siri 12




Firman Allah yang bermaksud :

“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dari pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah"
(Surah Al-Anfal : ayat 60)

Melihat situasi dunia kita hari ini, persaingan sengit yang berlaku di antara kuasa Islam dan golongan yang kufur menuntut kita memperkasakan lagi usaha dan perjuangan dalam segenap aspek demi mencapai sebuah khilafah Islam.

Imam Hasan al-Banna telah menyusun sepuluh muwasafat tarbiah sebagai panduan dalam proses pembentukan individu muslim, antaranya adalah menjaga waktu dan sistematik. Dua sifat ini penting untuk diberi perhatian sebagai persediaan menghadapi arus dunia. Perlu kita ingat, tidak sedikit di kalangan umat Islam yang mendapat status ‘Khasirin’ dan ‘Nadimin’ di akhirat kelak dek kerana mengabaikan dua sifat tersebut.

Menyebut tentang waktu, umum mengetahui bahawa Allah SWT menghadiahkan 24 jam sehari kepada setiap hambaNya. Tiada yang lebih, dan tiada pula yang dikurangkan. Namun, kita dapat melihat bahawa ada sebahagian yang mampu melaksanakan pelbagai gerak kerja untuk manfaat diri dan masyarakat dengan tempoh masa yang diberi. Namun, sebahagian lain pula ada yang gagal menyusun masa dan urusan, lalu akhirnya hanya mampu mencipta beraneka alasan.
Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah cinta sekiranya seseorang melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh”. (Riwayat Tabrani)

Setiap kita mempunyai gaya tersendiri dalam merancang masa, dan secara asasnya adalah :
 
-Fikir
-Susun
-Buat
-Nilai

Akhirnya, muslim sebenar itu harus faham bahawa menjaga waktu dan sistematik dalam urusan adalah salah satu tarbiah Islamiah yang akan membentuk mukmin dalam dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja, bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT. Adalah menjadi harapan dan keyakinan setiap muslim bahawa masa depan adalah milik Islam, ketika saat itu tiba, moga kita dalam kalangan tentera yang telah bersedia memimpin dengan acuan Islam.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

A’isyah binti Wahidan
Timbalan Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Sabtu, Februari 17, 2018

FIESTA '18 : MENJANA EKONOMI MAHASISWA



8-12 Februari 2018, Kaherah : Program Festival Ekonomi Islam Selangor 2018 (FIESTA ’18) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah berlangsung dengan jayanya. Program ini telah berlangsung selama lima hari, padat dengan pelbagai pengisian dan aktiviti yang menarik.

Antara pengisian yang telah berjaya diadakan ialah, talkshow berkaitan ekonomi yang bertajuk "Ekonomi Islam vs Kapitalisme" dan talkshow berkaitan Unit Bait Muslim (UBM) yang bertajuk "Kuasa ar-Razzaq".

Pelbagai aktiviti bersama pengunjung juga diadakan seperti slot permintaan lagu dan ucapan (Flying Notes), Together With Me (slot mempromosikan gerai-gerai) dan pelbagai kuiz dan permainan seperti 'Cer Teka', 'indoor games' dan 'outdoor games' yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkunjung ke bazar pada kali ini.

Bazar FIESTA '18 juga diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan al-Wadi serta medical dan dental check up daripada ahli-ahli Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN).

Ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Selangor yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan program mega kita pada kali ini.


“Ekonomi Sejahtera Ukhwah Terbina”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha,
Festival Ekonomi Islam Selangor 2018 (FIESTA '18),
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Februari 15, 2018

KESERONOKAN YANG MENIPU - Nukilan Siswa Siri 11




وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ ۖ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
(Surah Al-An'am : ayat 32)

Definisi hedonisme adalah suatu pegangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Idea ini asalnya dikembangkan oleh Epicures dengan mengatakan tujuan hidup adalah untuk kesenangan dan kedamaian. Di dalam fahaman ini beliau menekankan bahawa kehidupan ini tidak mungkin dirasai kelazatannya sekiranya menolak unsur hiburan, kebiadaban, kekayaan dan sebagainya.

Secara fitrahnya kehidupan manusia lebih cenderung kepada keseronokan dan kebahagiaan. Melalui pelbagai cara untuk memperolehnya, manusia tidak akan memikirkan kesan baik atau buruk keinginan tersebut sehingga ia mampu membawa kepada kebinasaan yang sangat besar.

Realiti kehidupan masyarakat pada hari ini, meletakkan setiap sesuatu yang menyeronokkan itu adalah baik dan sesuatu yang membosankan dan tidak menyeronokkan itu sebagai suatu perkara yang  tidak baik. Sebagai contoh, pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batas, mendengar irama muzik yang terlalu rancak, bersikap kurang ajar, penggunaan bahasa-bahasa kesat, berpakaian dengan pakaian yang  tidak sopan dan sebagainya.

Pemikiran kehidupan seperti ini adalah salah dan sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Sekiranya kita merujuk kepada al-Quran tidak ada suatu perkara pun yang menyebutkan hiburan dunia itu adalah baik melainkan sekadar suatu kesenangan dunia dan melalaikan.

Akan tetapi adakah islam melarang kita untuk berhibur dan berseronok?

Hiburan itu adalah harus dan ia perlulah dipandu dengan panduan Islam. Berpakaianlah dengan pakaian yang sopan dan menutup aurat, pastikanlah tempat persembahan tidak itu mengundang kepada maksiat, tiada pergaulan bebas antara lelaki dan juga perempuan, lagu yang dinyanyikan perlulah membawa kepada kebaikan, tidak mengganggu orang lain melakukan ibadah dan menggunakan bahasa-bahasa yang sopan ketika berbicara.


Justeru, untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar, kehidupan seseorang itu tidaklah sepenuhnya bergantung dengan hiburan duniawi semata akan tetapi ia juga perlu diisi dengan hiburan ukhrawi. Kerana inilah kemuncak kebahagiaan dan inilah yang selalu dimohon oleh hamba-hambaNya

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka."
(Surah Al-Baqarah : ayat 201)

Moga-moga kita semua ditempatkan dalam kalangan orang  yang bahagia di dunia dan juga di akhirat.


“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Muhammad Hazman bin Zabil
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Februari 11, 2018

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM : SAMBUTAN JUBLI EMAS BKASM



11 FEBRUARI, KEHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah ditubuhkan sejak tahun 1965 lagi.

Pada tahun 2016, BKASM telah berjaya mengadakan sambutan Jubli Emas BKASM yang bertemakan, "50 Tahun Memimpin Kesatuan".

Majlis perasmian telah disempurnakan di Dewan Solah Kamil, Hayyu Sadis. Pada awalnya, Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali dijadualkan untuk hadir ke Mesir bagi merasmikan sambutan ini. Namun, kunjungan beliau ke sini ditangguhkan.

Sambutan ini berjalan selama lapan hari bermula 8 hingga 16 Februari yang diisi dengan pelbagai aktiviti. Antaranya, Dakwah Kontemporari siri ke-5 yang menampilkan pengisi-pengisi dari Malaysia, talkshow yang bertajuk "BKASM The Untold Story", RISE (Riadah Sukan Anak-anak Selangor), dan aktiviti-aktiviti yang lain.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 09, 2018

RASULULLAH SAW SURI TELADAN UMAT SEPANJANG ZAMAN - Nukilan Siswa Siri 10



Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : ayat 21)

Seperti kata pepatah ‘sudah terang lagi bersuluh’ bukti yang disebutkan di dalam ayat al-Quran bahawasanya keperibadian dan kehidupan Rasulullah SAW umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan ikutan oleh seluruh umat manusia di seantero dunia.

Tidak ternafi bahawa sejarawan barat juga telah meletakkan Rasulullah SAW pada kedudukan yang teratas dalam senarai 100 orang yang paling berpengaruh dalam sejarah manusia abad ini.

Telusuri satu kisah keperibadian unggul Rasulullah SAW sewaktu berhajat untuk mengganti pakaian yang satu-satunya dan ternyata sudah lusuh, baju yang setia menutup aurat baginda dengan wang sebanyak lapan dirham sahaja. Kemurahan hati dan sifat kesederhanaan baginda, wang lapan dirham dibelanjakan untuk kemaslahatan orang lain terlebih dahulu. Berkat jumlah angka lapan dirham tersebut, mampu memberi keamanan seorang budak dari ketakutan kerana menghilangkan wang majikannya, memberi pakaian pada si lelaki fakir yang sudah lusuh pakaian di badannya, dan telah membantu memerdekakan seorang budak dari tuannya.

Lihat betapa jauh bezanya kehidupan kita hari ini, berbelanja yang utamanya memenuhi keperluan diri sedang Rasulullah SAW yang terlebih dahulu dibelanjakan adalah untuk orang lain. Rezeki yang kita sangka hanya milik kita, sedang Rasulullah SAW rezeki yang diberikan hanyalah wasilah untuk disampaikan pada yang selayaknya.

Nasihat Rasulullah SAW supaya memiliki bekalan untuk menghadapi akhir zaman, disebutkan dalam sebuah hadis :

Rasulullah SAW telah bersabda : “Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu.” (HR. Bukhari)

Sebagai hamba Allah di muka bumi ini, tujuan utama kita diciptakan adalah untuk meraih keredaan Allah bukan mengejar kesenangan dan kebahagiaan semata di dunia yang fana ini, sebaliknya dunia adalah ladang tanaman buat orang-orang beriman mendapat tempat di syurga Allah yang paling tinggi di sana.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Nur Hazirah binti Ahmad Din
Timbalan Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 02, 2018

TIDAK AKAN SESAT MEREKA YANG SENTIASA MERUJUK AL-QURAN - Nukilan Siswa Siri 9



 عَنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Dari Malik telah sampai kepadanya bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh dengan keduanya; Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya."

Kelemahan kita di saat dan zaman ini adalah ramainya golongan yang membaca al-Quran, namun terlupa untuk mentadabbur al-Quran. Membaca al-Quran tanpa mentadabburnya dengan cahaya iman seharusnya menjadi muhasabah ke atas diri kita. Apakah tujuan kita membaca al-Quran selama ini?.

Adakah sekadar mengejar tawaran pahala yang dijanjikan, atau kita membacanya sesuai dengan tujuan al-Quran yang diturunkan Allah SWT?. Ketahuilah, memfungsikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita adalah penting kerana ianya merupakan pemisah antara hak dan batil.

Syaitan sentiasa berusaha keras menyusun strategi untuk menjauhkan manusia daripada hidup beramal dengan al-Quran. Malah menghasut manusia agar terus berfikir seperti gaya syaitan yang kufur.

Hari ini ramai yang mengulas berkenaan cabaran yang dihadapi oleh Umat Islam sambil menafikan hubung kaitnya dengan Yahudi dan musuh Islam yang lain. Seolah-olah pertembungan yang berlaku hanya berpunca dari pertembungan ekonomi dan politik semata-mata. Kalau begitu, kita telah menafikan ancaman-ancaman daripada al-Quran. Cukuplah Surah Al-Fatihah mendedahkan kepada kita di sana ada musuh, al-Maghdub dan ad-Dhaallin. Ditafsirkan sendiri oleh Rasul SAW bahawa al-Maghdub itu ialah Yahudi dan ad-Dhaallin itu ialah Kristian yang ditipu oleh Yahudi.

Surah Al-Baqarah pula menceritakan sebahagian besar berkenaan kisah Bani Israel. Adalah kesilapan yang besar sekiranya kita beranggapan mereka bukan musuh utama yang mesti kita hadapi dengan persiapan yang rapi.

Sedangkan hakikat yang perlu kita ketahui adalah sebagaimana Nabi melahirkan pelapis, syaitan juga melahirkan pelapis. Maka di situlah persaingan antara hak dan batil.

Kembalilah kita kepada Islam. Al-Quran merupakan "road map" yang menyelamatkan kita daripada tersesat. Justeru al-Quran beserta mesej-mesejnya perlu disegarkan kembali dalam kehidupan kita. Wahyu yang menitikberatkan perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa.

Kini kita berada di zaman langit terbuka luas, tetapi hati dan minda manusia seakan tertutup rapat. Maka ia perlu disedarkan dengan cahaya Iman dan Islam. Orang beriman tenang menghadapi gelombang dunia berbekalkan janji Allah dan al-Quran.


Disediakan oleh :

Muhamad Nasrul bin Jamal,
Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM