Jumaat, Februari 09, 2018

RASULULLAH SAW SURI TELADAN UMAT SEPANJANG ZAMAN - Nukilan Siswa Siri 10



Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : ayat 21)

Seperti kata pepatah ‘sudah terang lagi bersuluh’ bukti yang disebutkan di dalam ayat al-Quran bahawasanya keperibadian dan kehidupan Rasulullah SAW umpama “manual” panduan untuk dilihat dan dijadikan ikutan oleh seluruh umat manusia di seantero dunia.

Tidak ternafi bahawa sejarawan barat juga telah meletakkan Rasulullah SAW pada kedudukan yang teratas dalam senarai 100 orang yang paling berpengaruh dalam sejarah manusia abad ini.

Telusuri satu kisah keperibadian unggul Rasulullah SAW sewaktu berhajat untuk mengganti pakaian yang satu-satunya dan ternyata sudah lusuh, baju yang setia menutup aurat baginda dengan wang sebanyak lapan dirham sahaja. Kemurahan hati dan sifat kesederhanaan baginda, wang lapan dirham dibelanjakan untuk kemaslahatan orang lain terlebih dahulu. Berkat jumlah angka lapan dirham tersebut, mampu memberi keamanan seorang budak dari ketakutan kerana menghilangkan wang majikannya, memberi pakaian pada si lelaki fakir yang sudah lusuh pakaian di badannya, dan telah membantu memerdekakan seorang budak dari tuannya.

Lihat betapa jauh bezanya kehidupan kita hari ini, berbelanja yang utamanya memenuhi keperluan diri sedang Rasulullah SAW yang terlebih dahulu dibelanjakan adalah untuk orang lain. Rezeki yang kita sangka hanya milik kita, sedang Rasulullah SAW rezeki yang diberikan hanyalah wasilah untuk disampaikan pada yang selayaknya.

Nasihat Rasulullah SAW supaya memiliki bekalan untuk menghadapi akhir zaman, disebutkan dalam sebuah hadis :

Rasulullah SAW telah bersabda : “Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu.” (HR. Bukhari)

Sebagai hamba Allah di muka bumi ini, tujuan utama kita diciptakan adalah untuk meraih keredaan Allah bukan mengejar kesenangan dan kebahagiaan semata di dunia yang fana ini, sebaliknya dunia adalah ladang tanaman buat orang-orang beriman mendapat tempat di syurga Allah yang paling tinggi di sana.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Nur Hazirah binti Ahmad Din
Timbalan Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan