Sabtu, Mac 31, 2018

TARBIAH : PILIHAN ATAU KEWAJIPAN? - Nukilan Siswa siri 15



إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا ۖ وَلَا تُسْأَلُ عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka."
(Surah Al-Baqarah : ayat 119)

Nabi Muhammad SAW ialah Rasul akhir zaman yang diutuskan untuk menyempurnakan akhlak Islamiah. Dalam usaha untuk menjadikan Islam sebagai syiar agama, banyak tentangan yang diperoleh baginda dan para sahabat sehingga sanggup menjadikan nyawa sebagai benteng pertahanan akhir.

Namun, semua itu dilalui dengan proses tarbiah, yang mengajar dan membentuk peribadi seorang hamba agar tidak tersasar dari landasan agama. Melalui tarbiah, kita dididik untuk menjadi manusia yang sentiasa ikhlas untuk bekerja sehingga sanggup mengorbankan jiwanya demi agama.

Hari ini, tarbiah dikatakan mengongkong kehidupan serta tidak bebas dalam melakukan apa-apa perkara, sedangkan mereka terlupa bahawa hawa nafsu yang tidak dikawal adalah punca rosaknya umat. Dunia hari ini membuktikan betapa banyak kerosakan yang dilakukan hasil dari tangan manusia. Namun angkuhnya manusia kerana sering menganggap dirinya telah melakukan banyak kebaikan.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi," mereka menjawab: "Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan."
(Surah Al-Baqarah : ayat 11)

Ketahuilah, bahawa kerosakan yang makin merebak ini disebabkan kurangnya kesedaran kita dalam menyampaikan seruan amar makruf dan nahi mungkar. Tarbiah yang kurang dititikberatkan akan menyebabkan ketandusan iman sehingga akhirnya membawa kepada perpecahan dalam menjayakan kesatuan Islam.

Kehidupan ini, penuh dengan ujian. Setiap golongan yang menerima tarbiah pasti akan diuji keikhlasannya. Maka, tetaplah istiqamah di jalan Allah dalam menggerakkan agenda kesatuan Islam dan menjadikan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) sebagai medan utama sehingga kematian menjemput kita.

انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."
(Surah At-Taubah : ayat 41)


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :

Khairun Nisa binti Khairulzamal
Timbalan Setiausaha Agung II
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan