SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, Jun 29, 2018

BERTERUS-TERANG MENEGAKKAN KEBENARAN - Nukilan Siswa Siri 19



"Maka sesiapa yang tidak percayakan taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali yang kukuh, yang tidak akan putus. Dan ingatlah Allah itu Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Allah itu pelindung bagi orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya iman, dan orang-orang kafir itu penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya iman kepada kegelapan kufur. Mereka itulah ahli-ahli neraka dan mereka kekal di dalamnya." (Surah Al-Baqarah : ayat 256-257)

Perlu difahami oleh pendokong-pendokong perjuangan Islam, bahawa berterus-terang dengan hakikat aqidah ini dengan dasar-dasarnya, dan menegakkan segala tuntutannya adalah penting.

Lantaran sikap berterus-terang seperti itu menggoncangkan hati yang lalai, menggerakkan kebekuan perasaan, menilai kebenaran dan kebatilan. Adapun sikap menyembunyikan kebenaran hanyalah menggalakkan golongan taghut dan menutup kesedaran berfikir di kalangan umat islam. Maka sikap begitu bukanlah cara yang betul di dalam Harakah Islamiyyah.

Sesungguhnya inilah yang berlaku di Mekah ketika Rasulullah SAW berterus terang di dalam dakwahnya. Tetapi bagi orang-orang musyrikin suatu kesulitan yang dirasai di dalam tindakan mereka ialah apabila berdepan dengan seorang yang sangat benar, sangat amanah, sangat mulia akhlaknya iaitu Rasulullah SAW yang tiada sepertinya di dalam sejarah nenek moyang mereka dan sejarah bangsa di dunia. Oleh itu terpaksalah mereka berhempas pulas mengerahkan cara bertindak menghadapinya. Walaupun di dalam kebingungan jahiliyyah, mereka terus berdegil untuk menentang Rasul yang sangat mulia itu.

Bukanlah kerja Islam itu berdamai dengan tasawwur jahiliyyah yang ada di atas muka bumi ini (meskipun di mana jahiliyyah itu berada), kerana jahiliyyah tetap jahiliyyah dan Islam itu tetap Islam.

Kita menganggap walau apa pun namanya, jahiliyyah itu tetap terpesong daripada 'ubudiyyah yang hanya kepada Allah SWT dan terpesong daripada ajaran Tuhan dalam segala aspek kehidupan.

Mereka mengambil sistem-sistem, peraturan dan undang-undang, adat resam dan sikap menilai sesuatu di dalam kehidupan daripada sumber yang lain daripada sumber Illahi. Islam itu tetap dengan peranannya menyelamatkan manusia dengan memindahkan mereka daripada jahiliyyah kepada Islam.

Itulah dia makna berterus-terang yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga menggoncangkan seluruh struktur jahiliyyah.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli,
Ketua Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Isnin, Jun 25, 2018

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM | KESATUAN ANAK SELANGOR DITUBUHKAN



25 Jun 1965, Kaherah : Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi seluruh anak-anak Selangor di pelembahan Nil apabila tertubuhnya satu kesatuan anak-anak Selangor di Mesir.

Hari ini merupakan ulang tahun penubuhan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).

BKASM yang lahir daripada 'rahim' PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) ditubuhkan atas inisiatif mahasiswa dan mahasiswi Selangor yang belajar di sini.

Antara kejayaan terbesar BKASM adalah keterlibatannya dalam mewujudkan asrama dan penempatan bagi anak-anak Selangor di sini iaitu Asrama Rumah Selangor di Rabaah dan Hayyu Asyir.

Sejak penubuhannya, BKASM yang dinaungi oleh Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor terus terjamin. BKASM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyalurkan kebajikan kepada ahli-ahlinya.

Walaupun pernah dibekukan pada tahun 2005, BKASM terus melangkah bagi memastikan risalah Islam sampai kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pelajaran di sini.

Kini, Ustaz Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi merupakan Yang Dipertua BKASM kali yang ke-38 yang diamanahkan bagi menakhodai bahtera BKASM ini.

Semoga dengan ulangtahun BKASM kali yang ke-53 ini menjadikan BKASM terus matang membawa agenda Islam dalam memastikan mahasiswa dan mahasisiwi Selangor khususnya, terus berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang pendakwah Islam.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Jun 21, 2018

PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK BERMANHAJ



Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan daripada segi rohani dan sahsiah.

Sempena berakhirnya peperiksaan fasa dua, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2017/2018 menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Bermanhaj pada 22 Jun 2018.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Bermanhaj serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dalam melaksanakan aktiviti ini.


"Muslim Berkualiti Mahasiswa Rabbani"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Jun 20, 2018

[ IHTIRAM '18 & CERIA '18 | TARBIAH DAN UKHUWAH MENGUKUHKAN KEBERSAMAAN AHLI BKASM ]



17 Mei - 17 Jun 2018, Kaherah - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2017/2018 telah berjaya mengadakan dua program mega iaitu Ihya' Tarbawi Ramadan 2018 (IHTIRAM '18) dan Celebration of Aidilfitri 2018 (CERIA '18).

IHTIRAM '18 yang dijalankan disepanjang bulan Ramadan lalu, telah menyusun beberapa aktiviti bagi meningkatkan tarbiah dan thaqafah ahli. Dalam menghadapi musim peperiksaan yang berlangsung, IHTIRAM '18 menyusun program sebaiknya supaya ahli-ahli BKASM terus menumpukan pencapaian akademik disamping menyertai program-program yang telah disusun.

Antara program-program IHTIRAM '18 yang berjaya dilaksanakan ialah Muhadarah Ammah, Sahur dan Iftar Jamaie, aktiviti gotong-royong dan Solat Tarawih di masjid berdekatan, bacaan ilmiah berkaitan puasa, aktiviti Juadah Mahabbah, Kempen Ruhban Fillail, tadarus dan Majlis Khatam Al-Quran.

Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama unit dan lajnah dalam BKASM antaranya Bicara Ramadan dan aktiviti Syantoh dan Hibbah Ramadan. Kedua-dua aktiviti ini dijayakan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan. Selain itu, Diskusi Kitab pula dilaksanakan dengan kerjasama Unit Thaqafah. Manakala Tayangan Ilmiah telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Unit Biah Solehah dan Unit Nadi Ukkaz. Kesemua aktiviti-aktiviti ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ahli sekalipun dalam fasa peperiksaan.

Pada 14 Jun 2018, Majlis Penangguhan IHTIRAM '18 dan Perasmian CERIA '18 telah berjaya diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Ustz Mohd. Yasser bin Abdul Ghani, Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Program CERIA '18 dimulakan dengan program ambang iaitu "Talkshow : Cinta Antara Dua Bulan" yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Badrul Annuar bin Mahbob, Ustazah Siti Fadilah binti Sulaiman. Manakala Ustaz Muhammad Irsyad bin Abd Ghaffar sebagai moderator.

Antara program yang menarik yang diadakan dalam program CERIA '18 ini ialah Baraan Takbir Raya, Ziarah Mahabbah, rewang raya, pertandingan Pelamin Raya dan Riadah Anak Selangor. Turut diadakan Majlis Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Majlis Penutupan CERIA '18 telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Nazim bin Bahnan, Penasihat BKASM sesi 2017/2018 yang diadakan di Dataran Hayyu Asyir. Majlis diakhiri dengan persembahan daripada kumpulan nasyid BKASM, Sufy's Rythm dan lakonan daripada mahasiswa USMB sesi 2018/2019.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKASM. Disamping itu juga, ahli dapat meningkatkan tarbiah dan thaqafah di dalam diri dengan menghadiri program-program yang dianjurkan.


"Ibrah Ramadan Inspirasi Perjuangan"
"Sunnah Diteladani Aidilfitri Disyukuri"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha,
IHTIRAM '18 dan CERIA '18,
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM