SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Rabu, Julai 25, 2018

TEGUH BERSAMA ISLAM - Nukilan Siswa Siri 21



PERINGATAN UMAT YANG LALAI

"Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya." (Surah Al Anbiya' : ayat 1)

Manusia itu sedar bahawa setiap kehidupan itu pasti ada pengakhiran. Namun dek kerana kehidupan telah disulami dengan keseronokan, kelalaian, kemewahan dan kebebasan yang melampau telah membuatkan manusia lupa akan tiba hari perhitungan buat mereka di alam sana.

TERUS HANYUT

"Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan banyak kesesatan di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih (kiranya ia insaf dan bertaubat)."  (Surah Ibrahim : ayat 36)

Umat Nabi Ibrahim diantara umat manusia yang paling kuat menyembah berhala padahal mereka telah diutuskan seorang Nabi sebagai penunjuk kebenaran.

Hal ini sama seperti yang berlaku kepada manusia masa kini, lebih teruja dengan ideologi barat sehingga menjadikan ianya seolah-olah sembahan buat mereka. Bukan itu sahaja, malah merasakan 'up to date' sekiranya rujukan yang diguna pakai dalam mencorak kehidupan mereka itu diambil daripada sudut pandang orientalis lebih daripada al-Quran dan as-Sunnah.

TAJARRUD DARI SEMBAHAN MODEN

"(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat". (Surah Al Baqarah : ayat 38)

HANYA ISLAM YANG DIIKTIRAF

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam..." (Surah Ali Imran : ayat 19)

Ayat yang cukup jelas menerangkan kepada kita bahawasanya hanya Islam agama yang menjadi pengiktirafan dahulu, kini dan selamanya.
Lalu, mengapa kita perlu sombong sedangkan kehidupan kita juga dicipta?

KEKAL BERPRINSIP

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku". (Surah Al Kaafirun : ayat 6)

Sama ada Islam berada di puncak, atau Islam berada di landai, usah berpaling, tetaplah kita bersama Islam kerana mulia kita kerana Islam.

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan Oleh :
Nur Hidayah binti Mohd Ariff
Penasihat BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Julai 20, 2018

HTU '18 | MEMBINA KESATUAN DENGAN UKHUWAH DAN KEFAHAMAN




14 Julai - 15 Julai 2018, Kaherah - Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru 2018 (USMB '18) dibawah naungan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah mengadakan program Hari Tautan Ukhuwah 2018 (HTU '18) selama dua hari yang bertempat di Dewan Nadi Syabab, Hayyu Sadis dan Asrama Rumah Selangor, Hayyu Asyir.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhuwah dan memupuk nilai kesatuan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi baru serta menambah thaqafah dan kefahaman Islam yang sebenar kepada mereka disamping menerapkan tarbiah Islam dalam membentuk keperibadian muslim.

Program dimulakan dengan perasmian pembukaan yang dirasmikan oleh saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi, Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018.

Program ini telah diserikan dengan lima slot menarik dan diselitkan juga dengan Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) iaitu :

Hari pertama :
GKB : Ice Breaking
SLOT 1 : Diskusi Kitab Kewajipan Pemuda Islam
SLOT 2 : Nawwart Masr
SLOT 3 : Aku, Mesir dan al-Azhar
GKB : Modul Ukhuwah
SLOT 4 : Talkshow Membina Peribadi Mahasiswa Islam
GKB : Peribadi Muslim
GKB : Modul Kesatuan

Hari kedua :
SLOT 5 : Kita Keluarga BKASM dan Pengenalan AJKT BKASM sesi 2017/2018

Selepas itu, majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh saudari Ummi Aqilah binti Norlizam, Timbalan Yang Dipertua II BKASM sesi 2017/2018. Pada akhir program, majlis telah diserikan dengan persembahan nasyid yang dipersembahkan oleh kumpulan Sufy's Rythm.

Semoga dengan terlaksananya program ini dapat meribat kebersamaan dan membentuk kematangan dalam diri dari sudut pemikiran dan sahsiah sekaligus menjadikan ahli yang berjiwa rabbani.


"Generasi Rabbani Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Hari Tautan Ukhuwah 2018 (HTU '18)
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Julai 18, 2018

ROADSHOW '18 : MAHASISWA BERBAKTI PENERUS LEGASI



Julai 2018 - Selangor, Malaysia : Program Baktisiswa Mesir 2018 (ROADSHOW '18) merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) untuk memberikan pendedahan awal berkenaan al-Azhar dan Mesir kepada pelajar-pelajar STAM. Bagi tahun 2018, program ini kembali dengan menyasarkan beberapa buah sekolah terpilih di Selangor.

ROADSHOW '18 yang diketuai oleh saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli ini bertujuan untuk berkongsi ilmu tentang kaedah penguasaan bahasa Arab yang baik melalui aktiviti yang dijalankan selain memberi motivasi dalam menuju kecemerlangan berdasarkan pengalaman belajar di al-Azhar dan Mesir.
 Hadir dengan tema "Ilmu Dihayati Pemuda Berintegriti", program ini berkonsepkan "motivasi". Dua slot utama disediakan untuk para pelajar bagi menjayakan dua objektif utama program.

Slot pertama 'Kun Mustaiqizon', para pelajar diberikan pendedahan kaedah memahami teks selain teknik-teknik menguasai tatabahasa Arab. Manakala slot kedua 'Talkshow : Kembara Musa' bual bicara bersama para mahasiswa dan graduan al-Azhar dengan memberi motivasi serta galakan menuju kecemerlangan berdasarkan pengalaman mereka sendiri belajar di al-Azhar.

Program ini juga meletakkan aktiviti Gerak Kerja Berkumpulan (GKB)  sebagai medan untuk menjayakan lagi objektif yang telah dinyatakan. Tidak ketinggalan, pihak program ada menyediakan pameran berkenaan Universiti Al-Azhar serta BKASM sendiri untuk memberikan gambaran kehidupan sebagai mahasiswa al-Azhar di Pelembahan Nil.

ROADSHOW ‘18 berkesempatan menghadiri lapan buah sekolah agama untuk menjalankan program ini. Sekolah-sekolah tersebut ialah :

1.    Sekolah Agama Menengah Muhammadiah, Pekan Sabak pada 2 Julai 2018.

2. Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sabak Bernam pada 3 Julai 2018.

3.    Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Batu 38, Sabak Bernam pada 4 Julai 2018.

4. Sekolah Agama Menengah Jeram, Batu 20, Kuala Selangor pada 5 Julai 2018.

5. Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 9 Julai 2018.

6. Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Kampong Jawa, Klang pada 10 Julai 2018.

7. Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sg Manggis, Banting pada 11 Julai 2018.

8. Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Julai 2018.

Kedatangan kami juga disambut baik oleh pihak sekolah dengan harapan agar program ini dijalankan lagi pada tahun seterusnya supaya dapat meningkatkan semangat dan motivasi dalam diri pelajar STAM untuk mencapai kejayaan seterusnya melanjutkan pengajian ke Mesir.

Akhir kata, pihak penganjur merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan Program Baktisiswa Mesir 2018 pada tahun ini. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah, para penggerak serta pelajar-pelajar STAM yang membantu menjayakan program pada kali ini sama ada secara langsung mahupun sebaliknya. Semoga usaha kita bersama diredai dan diberkati Allah SWT serta mendapat ganjaran daripada-Nya.


“Ilmu Dihayati Pemuda Berintegriti”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Program Baktisiswa Mesir 2018 (ROADSHOW '18)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
Sesi 2017/2018 


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Ahad, Julai 08, 2018

JANGAN BERDIAM DIRI TERHADAP KEMUNGKARAN - Nukilan Siswa Siri 20



Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Perumpamaan bagi orang yang mendirikan hukum-hukum Allah dan orang yang melanggarnya seperti sekelompok orang yang menumpangi sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawah. Jika orang-orang  di bawah ingin mendapatkan air, mereka harus melewati orang yang di atas mereka. Lalu mereka berkata: ‘seandainya kita lubangi sahaja (kapal ini) kita tentu tidak akan menyusahkan orang-orang yang di atas’. Jika hal tersebut dibiarkan oleh orang-orang yang diatas, padahal mereka tidak menghendakinya, nescaya binasalah mereka semua, sekiranya mereka mencegah, maka selamatlah semuanya.” (HR Bukhari)

Sudah menjadi satu fenomena saat ini yang menjadi pegangan golongan “Amar Mungkar Nahi Makruf” iaitu membiarkan kemungkaran terus berleluasa, malah menyekat pula usaha-usaha kebaikan. Berbagai alasan ditimbulkan antaranya, “untuk menjaga aib si pelaku, maka tidak perlu diperbesarkan hal tersebut, cukup sekadar pihak yang berkenaan mengambil tindakan”, ada juga yang berhujahkan “ibarat membuka pekung di dada”, dan pelbagai kenyataan yang tidak berasaskan syariat serta tidak boleh diterima akal yang waras.

Firman Allah SWT :
“Dan peliharalah diri kalian dari fitnah (dosa) yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab siksa-Nya.” (Surah Al-Anfal : ayat 25)

Jelaslah bahawasanya Allah memerintahkan orang-orang beriman supaya tidak membiarkan kemungkaran yang kelihatan di hadapan mereka. Jika berlaku demikian maka mereka terpalit bersama terhadap azab siksa-Nya. Lalu seandainya kita sebagai umat yang diperintahkan Allah untuk mencegah kemungkaran hanya melihat, kita seolah-olah membuka seluasnya ruang dan peluang kemaksiatan yang berlaku tanpa memikirkan pencegahan untuk kemaslahatan bersama. Jika kita berterusan mendiamkan diri, seolah-olah mengundang kemurkaan Allah di muka bumi ini.

IDEOLOGI TERSEBAR LUAS TANPA SEKATAN

Sebagaimana yang diamati, kehidupan umat Islam hari ini semakin hilang arah daripada tujuan asal penciptaan mereka. Manusia semakin tidak taat dengan perintah Tuhan, bahkan mereka sibuk membuat kerja Tuhan dengan menyeleweng perkara thawabit lalu menghukum sesuatu perkara berdalilkan pegangan dan akal cetek mereka. Ideologi-ideologi yang masuk ke dunia Islam kini, bagai ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan’ tidak dapat dibendung lagi sehingga menjadi ancaman besar terhadap dakwah Islam.

Firman Allah SWT :
 “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-An’am : ayat 82)

Oleh kerana itu, segala bentuk ideologi tidak boleh disebatikan dalam urusan agama Islam apatah lagi untuk diamalkan serta dilaksanakan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Pemikiran golongan liberal yang meletakkan kebebasan secara mutlak dengan kaedah penafsiran semula al-Quran dan penafsiran semula hadis. Tujuan utama mereka adalah untuk tidak mahu mentaatinya apatah lagi untuk melaksanakannya.

Kesimpulannya, ideologi liberal amat bertentangan dengan ajaran Islam kerana ianya menuntut kebebasan tanpa adanya keterikatan dengan Allah. Sedangkan kita umat Islam merupakan hamba Allah dan sifat hamba Allah ialah taat hukum Allah tanpa sebarang pertikaian.

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Disediakan oleh:
Nur Hazirah bt Ahmad Din
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM