Ahad, Julai 08, 2018

JANGAN BERDIAM DIRI TERHADAP KEMUNGKARAN - Nukilan Siswa Siri 20



Rasulullah SAW pernah bersabda :
“Perumpamaan bagi orang yang mendirikan hukum-hukum Allah dan orang yang melanggarnya seperti sekelompok orang yang menumpangi sebuah kapal. Sebahagian mereka berada di bahagian atas dan sebahagian yang lain berada di bahagian bawah. Jika orang-orang  di bawah ingin mendapatkan air, mereka harus melewati orang yang di atas mereka. Lalu mereka berkata: ‘seandainya kita lubangi sahaja (kapal ini) kita tentu tidak akan menyusahkan orang-orang yang di atas’. Jika hal tersebut dibiarkan oleh orang-orang yang diatas, padahal mereka tidak menghendakinya, nescaya binasalah mereka semua, sekiranya mereka mencegah, maka selamatlah semuanya.” (HR Bukhari)

Sudah menjadi satu fenomena saat ini yang menjadi pegangan golongan “Amar Mungkar Nahi Makruf” iaitu membiarkan kemungkaran terus berleluasa, malah menyekat pula usaha-usaha kebaikan. Berbagai alasan ditimbulkan antaranya, “untuk menjaga aib si pelaku, maka tidak perlu diperbesarkan hal tersebut, cukup sekadar pihak yang berkenaan mengambil tindakan”, ada juga yang berhujahkan “ibarat membuka pekung di dada”, dan pelbagai kenyataan yang tidak berasaskan syariat serta tidak boleh diterima akal yang waras.

Firman Allah SWT :
“Dan peliharalah diri kalian dari fitnah (dosa) yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab siksa-Nya.” (Surah Al-Anfal : ayat 25)

Jelaslah bahawasanya Allah memerintahkan orang-orang beriman supaya tidak membiarkan kemungkaran yang kelihatan di hadapan mereka. Jika berlaku demikian maka mereka terpalit bersama terhadap azab siksa-Nya. Lalu seandainya kita sebagai umat yang diperintahkan Allah untuk mencegah kemungkaran hanya melihat, kita seolah-olah membuka seluasnya ruang dan peluang kemaksiatan yang berlaku tanpa memikirkan pencegahan untuk kemaslahatan bersama. Jika kita berterusan mendiamkan diri, seolah-olah mengundang kemurkaan Allah di muka bumi ini.

IDEOLOGI TERSEBAR LUAS TANPA SEKATAN

Sebagaimana yang diamati, kehidupan umat Islam hari ini semakin hilang arah daripada tujuan asal penciptaan mereka. Manusia semakin tidak taat dengan perintah Tuhan, bahkan mereka sibuk membuat kerja Tuhan dengan menyeleweng perkara thawabit lalu menghukum sesuatu perkara berdalilkan pegangan dan akal cetek mereka. Ideologi-ideologi yang masuk ke dunia Islam kini, bagai ‘cendawan yang tumbuh selepas hujan’ tidak dapat dibendung lagi sehingga menjadi ancaman besar terhadap dakwah Islam.

Firman Allah SWT :
 “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-An’am : ayat 82)

Oleh kerana itu, segala bentuk ideologi tidak boleh disebatikan dalam urusan agama Islam apatah lagi untuk diamalkan serta dilaksanakan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Pemikiran golongan liberal yang meletakkan kebebasan secara mutlak dengan kaedah penafsiran semula al-Quran dan penafsiran semula hadis. Tujuan utama mereka adalah untuk tidak mahu mentaatinya apatah lagi untuk melaksanakannya.

Kesimpulannya, ideologi liberal amat bertentangan dengan ajaran Islam kerana ianya menuntut kebebasan tanpa adanya keterikatan dengan Allah. Sedangkan kita umat Islam merupakan hamba Allah dan sifat hamba Allah ialah taat hukum Allah tanpa sebarang pertikaian.

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Disediakan oleh:
Nur Hazirah bt Ahmad Din
Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan,
BKASM sesi 2017/2018

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan