SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Jumaat, September 21, 2018

PIALA BKASM 2018 : SEMARAK KESUKANAN MENJALIN PERPADUAN



13 & 15 SEPTEMBER 2018, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 telah mengadakan Kejohanan Sukan Piala BKASM 2018 bertempat di Wafa El Amal, Nadi Zahra dan Nadi Syabab, Musallas. Program ini disertai oleh seluruh ahli BKASM yang hadir dan turut memberikan sokongan.

Program ini bertujuan untuk menyuntik semangat kesukanan dalam diri semua ahli melalui sukan yang dipertandingkan di samping mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli BKASM.

Futsal dan bola tampar adalah dua acara yang dipertandingkan dalam kejohanan sukan ini bagi kategori ikhwah. Bagi sukan futsal  penyertaannya dibuka kepada semua ahli BKASM dan BKAN Taakhi. Sukan bola tampar pula penyertaannya dibuka khusus buat ahli BKASM. Kedua-dua sukan tersebut mendapat sambutan hangat daripada semua ahli BKASM.

Bagi melicinkan lagi perjalanan program, pihak penganjur telah menjemput barisan pengadil daripada BKAN lain iaitu daripada BKAN Perak, Pahang, Pulau Pinang dan PERUBATAN Cawangan al-Azhar yang membantu perjalanan program. Pasukan Kesihatan juga dijemput daripada Persatuan PERUBATAN bagi menjaga kebajikan ahli melalui aspek kesihatan dan keselamatan.

Seterusnya, sukan bagi kategori akhawat pula, terdiri daripada empat acara yang dipertandingkan seperti badminton, pingpong, bola jaring dan bola tampar dalam kejohanan sukan ini. Istimewanya program pada kali ini adalah berkonsepkan rumah sukan. Terdapat empat buah rumah sukan iaitu Nilam, Ruby, Zamrud dan Akik. Selain itu, turut diadakan persembahan kontinjen kawad kaki. Ahli kontinjen tersebut terdiri daripada wakil setiap rumah sukan.

BKASM sentiasa mempraktikkan nilai-nilai Islam dan menjaga batasan syarie walapun dalam bersukan. Semoga pelaksanaan program seperti ini dapat mencungkil bakat-bakat baru sekaligus mengasah bakat-bakat yang sudah sedia ada dalam bidang sukan seterusnya mengeratkan lagi jalinan ukhuwah sesama ahli BKASM.


"Semarak Kesukanan Menjalin Perpaduan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Kejohanan Sukan Piala BKASM 2018
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBesatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM