SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Khamis, Oktober 25, 2018

[ MAT 43 : MENERUSKAN LEGASI PIMPINAN RABBANI ]

20 Oktober 2018, Kaherah : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-43 yang telah diadakan di Asrama Rumah Selangor. Program ini telah melibatkan seluruh ahli BKASM yang berada di Mesir sama ada di Kaherah mahupun muhafazah dengan kehadiran ahli yang sangat memberangsangkan iaitu seramai 252 ahli akhawat dan 178 ahli ikhwah.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk menjadikan mesyuarat salah satu medan tarbiah dalam memastikan kelangsungan BKASM sebagai wadah kesatuan serta menambah thaqafah ahli melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Sebelum berlangsungnya MAT 43, beberapa aktiviti Ambang MAT berjaya dijalankan antaranya pembentangan kitab, 'Tahadu Tahabu',  munajat MAT 43 bacaan doa selamat serta forum.

Ketika hari berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-43, majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran, ucapan daripada pengarah MAT kali ke-43, saudara Luqmanulhafiz bin Mohd Amir dan ucapan daripada Yang Dipertua BKASM, saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi serta diakhiri dengan ucapan perasmian oleh saudara Muhammad Auzaie bin Roslan.

Sejurus tamatnya majlis perasmian, seluruh ahli mesyuarat bergerak ke tempat mesyuarat mengikut tempat yang ditetapkan iaitu Musolla Darul Ehsan ditempatkan bagi ikhwah manakala akhawat di Sutuh Rumah Selangor.

Agenda besar mesyuarat yang telah dilaksanakan ialah pengesahan Minit mesyuarat kali ke-42 oleh Jabatan Setiausaha Agung, pembentangan laporan bagi setiap Lajnah dan Jabatan BKASM, pembentangan usul dan muhasabah dan cadangan umum daripada ahli kepada BKASM yang mendapat respon yang sangat baik daripada ahli mesyuarat.

MAT 43 seterusnya diteruskan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada ahli bagi anugerah khas iaitu Tunas Harapan, Aktivis BKASM dan Ilmuan Muda. Turut diadakan juga penyampaian sijil kepada wakil Pengarah Program Mega BKASM dan wakil AJKT BKASM bagi sesi 2017/2018. Sebelum pengumuman AJKT baru daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya BKASM 2018 (SPR 18), ucapan penutupan daripada wakil penasihat, YDP dan Raisah telah disampaikan bagi menutup tirai bahtera BKASM sesi 2017/2018.

Agenda yang dinantikan iaitu pengumuman AJKT baru daripada SPR 18 yang disampaikan oleh saudara  Mohd Faiz bin Ismail Shah. Seramai 8 orang AJKT akhawat telah memenangi pilihanraya manakala Yang Dipertua dan AJKT ikhwah menang tanpa bertanding.

Mesyuarat Agung Tahunan BKASM kali ke-43 telah diakhiri dengan ucapan sulung daripada Ustaz Nabil Rusyaidi bin Ramli, Yang Dipertua BKASM sesi 2018/2019 beserta tayangan video program sepanjang sesi 2017/2018 dan nyanyian lagu Bersama Bersatu dan PMRAM.

Semoga semua ahli dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita serta mendapat manfaat dan diharapkan program seperti ini dapat meneruskan survival legasi pimpinan dan ahli seterusnya menjaga kelangsungan BKASM pada masa hadapan.


“Musyawarah Perintis Kesatuan Ummah”


MAT 43
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Oktober 18, 2018

KURSUS KEPIMPINAN DAN RAMAH MESRA MB SELANGOR




11-13 Oktober 2018, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2017/2018 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah mengadakan Kursus Kepimpinan dan Majlis Pertemuan bersama Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor bersama delegasi kerajaan Negeri Selangor bersama pelajar-pelajar Selangor yang bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah.

Kursus kepimpinan yang bermula jam 1.00 petang telah berjaya mengumpulkan kira-kira 150 orang pelajar Selangor yang terdiri dari Pengajian Islam dan Sains Kesihatan. Kursus ini dikendalikan oleh dua orang penceramah iaitu S.S. Dato' Dr. Haji Anhar bin Opir, Timbalan Mufti Selangor dan Dr. Ahmad Zaki bin Haji Abd Latiff, Pengarah Pusat Islam, UNISEL.

Majlis Pertemuan bersama Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor bersama delegasi kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 12 Oktober bermula jam 7.00 malam telah dihadiri  kira-kira 600 orang pelajar Selangor di Pelembahan Nil. Majlis yang berakhir pada jam 9.00 malam ini berjalan dengan lancar dan menerima komitmen yang baik daripada semua mahasiswa dan mahasiswi Selangor.

Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari telah menyampaikan ucapan dengan harapan supaya semua pelajar dapat menumpukan perhatian dalam menuntut ilmu dan pendidikan untuk diaplikasikan di tanah air nanti. Di samping itu, Y.A.B Dato' Menteri Besar turut menyerahkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu pengurusan dan kelangsungan pendidikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor di Mesir.

Di kesempatan yang ada, Y.A.B Dato' Menteri Besar turut menziarahi penempatan asrama Selangor dan beramah mesra dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Majlis berakhir dengan penyampaian cenderamata daripada pihak Pejabat Atase Pendidikan Selangor dan BKASM kepada Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari.
Kursus kepimpinan diteruskan lagi pada tarikh 13 Oktober, ianya berakhir pada jam 11.45 pagi.

BKASM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.A.B Tuan Amirudin bin Shari, di atas kesudian untuk bersama dalam majlis ini. Terima kasih juga buat semua anak-anak Selangor yang sudi hadir memeriahkan majlis. Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Selangor di Pelembahan Nil amnya dan BKASM khususunya.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :

Setiausaha,
Sambutan Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitakeluargaBKASM

Ahad, Oktober 07, 2018

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM | BKASM MENERUSKAN PENGHANTARAN MAHASISWA BARU KE MESIR



 7 Oktober 2013 - KLIA, Malaysia : Umum mengetahui Mesir sekali lagi menghadapi konflik pemerintahan pada tahun 2013 sehingga menyebabkan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Mesir terpaksa dihantar pulang. Susulan daripada itu, sebahagian penghantaran pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir bagi pengajian sesi 2013/2014 terpaksa ditangguhkan.

BKASM mengambil tanggungjawab ini sebagai satu langkah bagi meneruskan kelangsungan penghantaran mahasiswa dan mahasiswi yang ingin melanjutkan pengajian mereka di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Hari ini menjadi hari yang bersejarah buat BKASM dan para pendokongnya bilamana dapat meneruskan penghantaran mahasiswa dan mahasiswi baru ke Mesir.

Bagi menjayakan misi ini, BKASM mengambil keputusan untuk menghantar beberapa wakil pimpinan ke Malaysia bagi menjalankan slot taklimat dan penerangan.

Antara yang terlibat pada waktu itu, saudara Abdul Mun'im bin Abd Shukor, Yang Dipertua BKASM, saudari Siti Nur Aisyah binti Ismail, Timbalan Yang Dipertua II BKASM dan saudara Anas bin Mohd Bukhari selaku Ketua Lajnah Pendidikan BKASM ketika itu.

Satu taklimat telah berjaya diadakan pada tarikh 29 September 2013, bertempat di Bilik Seminar, Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong. Penerangan dan pencerahan berkaitan misi ini disampaikan kepada ibu bapa pelajar dan lebih kurang 40 orang mahasiswa dan mahasiswi yang akan terbang ke Mesir.

Penerbangan mereka ke Mesir diiringi oleh AJKT BKASM. Kejayaan ini mendapat kerjasama daripada Pegawai Hal Ehwal Pelajar ketika itu, Ustaz Mohd Farid bin Mohd Zainal dan ILMAM Selangor. Tidak ketinggalan ibu bapa yang bersungguh-sungguh ingin melihat anak-anaknya menyambung pelajaran ke Mesir.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2017/2018


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM