Khamis, November 22, 2018

[ APRESIASI '18 : KEJAYAAN AHLI TERUS DIHARGAI ]


17 NOVEMBER 2018, SABTU, KAHERAH –  Anugerah Prestasi Kecemerlangan Siswa 2018 (APRESIASI '18) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir telah diadakan di Musolla Darul Ehsan, Hayyu Asyir. Antara objektif utama program ini adalah untuk meraikan kejayaan graduan dan kecemerlangan ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir dalam bidang pengajian Islam dan sains kesihatan di Mesir pada peperiksaan yang lalu. Selain itu, program ini dijayakan agar dapat meningkatkan kesedaran ahli BKASM untuk terus bersama menggembleng usaha dalam kecemerlangan ilmu dan amal.

Majlis bermula seusai solat asar dan bacaan al-Ma’thurat dengan kehadiran dan sesi pendaftaran oleh para peserta. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengarah, saudara Muhammad Irsyad bin Abdul Ghafar, seterusnya ucapan daripada Yang Dipertua BKASM sesi 2018/2019, saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli. Ucapan perasmian disempurnakan oleh penasihat BKASM sesi 2018/2019, saudara Mohamad Luqman bin Mohamad Jasmi.

Pengisian program diteruskan lagi dengan kalam Tausiah daripada Syeikh Rif'at Fauzi bin Abdul Mutalib berkaitan peranan penuntut ilmu dan resepi kejayaan. Sesi penyampaian anugerah kepada mahasiswa dan mahasiswi cemerlang serta graduan telah disempurnakan oleh Syeikh Rif'at Fauzi bin Abdul Mutalib. Majlis diteruskan lagi dengan kalam daripada dua orang wakil graduan dan diakhiri dengan tayangan video kalam taujihat daripada graduan Mesir yang berada di Malaysia.

Semoga program Anugerah Prestasi Kecemerlangan Siswa yang telah diadakan pada kali ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan ahli untuk meningkatkan prestasi akademik seterusnya menjayakan salah satu pembawaan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir pada sesi ini yang berbunyi "Ilmuwan Berbakti Penerus Legasi".

Sekian, terima kasih.


“Ilmuwan Dihargai Penerus Bakti”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Anugerah Prestasi Kecemerlangan Siswa 2018 (APRESIASI '18)
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


0 comments:

Catat Ulasan