SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Rabu, Mac 20, 2019

[ KELAS BAKERI ]

9 MAC 2019, SABTU, KAHERAH - Lajnah Kesenian dan Sukan di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 telah mengadakan kelas bakeri khusus untuk ikhwah dan akhawat.

Antara objektif kelas ini dijalankan adalah sebagai medium kepada ahli untuk menambah kemahiran dan mencungkil bakat dalam kemahiran pastri serta dapat mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

Kelas ini bertempat di Asrama Rumah Selangor bermula jam 1.00 petang sehingga 4.00 petang. Kelas ini dimulakan dengan penerangan membuat kek pisang oleh Ustaz Muhammad Ammar bin Makmor di sebelah ikhwah dan cara-cara membuat roti kopi dan 'cinnamon roll' oleh Ustazah Sheila Natasha binti Hassan di sebelah akhawat. Kemudian kelas diteruskan dengan praktikal daripada ahli.

Semoga kelas ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang dan dapat memberi manfaat kepada semua ahli yang terlibat seterusnya dapat menyumbang kepada agama Islam.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Unit Kesenian dan Kemahiran
Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Mac 13, 2019

[ PERJUANGKAN HAK BERPANDUKAN WAHYU ALLAH BUKANNYA NAFSU - Minda Siswa Siri 7 ]





Perjuangkan Hak Berpandukan Wahyu Allah Bukannya Nafsu.

Firman Allah SWT :  

                                                                                     جَعَلۡنٰكَ عَلٰى شَرِيۡعَةٍ مِّنَ الۡاَمۡرِ فَاتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ اَهۡوَآءَ الَّذِيۡنَ لَا يَعۡلَمُوۡنَ‏                                                                                                              
Maksudnya : “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)”.(Surah Al-Jathiyah : ayat 18)

Seorang muslim yang hidup berpandukan syariat banyak dinyatakan di dalam al-Quran. Tugas manusia selaku hamba-Nya adalah untuk memakmurkan muka bumi ini dengan agama Islam yang merupakan satu-satunya agama yang diredhai Allah. Mutakhir ini kita diperlihatkan dengan kemunculan segolongan manusia memperjuangkan hak berdasarkan ideologi liberalisme yang asalnya sering diperjuangkan di negara barat seterusnya merebak ke negara kita yang nyatanya hak-hak yang mereka cuba perjuangkan berlawanan dengan apa yang disyariatkan Allah. Firman Allah SWT :     
                                                     
                                                                          أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Maksudnya : "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya).” (Surah An-Naml : ayat 55)

Realiti yang berlaku pada hari ini telah mengingatkan kita kepada sirah kaum Nabi Lut iaitu pengamal homoseksual yang tidak pernah dilakukan oleh kaum-kaum sebelumnya. Kaum Nabi Lut ketika itu sedar bahawasanya perbuatan mereka menyimpang dari fitrah sebenar manusia tetapi mereka seakan-akan membenarkan malah membiarkan perkara mungkar itu terus dilaksanakan. Akhirnya kemurkaan Allah SWT terhadap mereka berkekalan sehingga ke hari ini kesan dari pengingkaran mereka terhadap ajaran dan peringatan daripada Nabi Lut AS.

Memberi pemahaman kepada masyarakat juga merupakan salah satu cabang dalam pelaksanaan “Amar Makruf Nahi Mungkar”. Pentingnya umat Islam pada hari ini bagi menyedarkan masyarakat tentang wabak yang kian melanda umat Islam pada hari ini termasuk isu Post Truth, Feminisme, Post Islamisme dan sebagainya. Apabila wabak ini tidak dicegah akan mengakibatkan normalisasi itu berlaku sehingga tiada lagi pencegahan seolah-olah kita menyegerakan azab berbanding rahmat Allah SWT.

 Hakikatnya segala yang terkandung di dalam wahyu Allah itulah merupakan hak sebenar asasi seorang manusia yang perlu dipenuhi tuntutannya dan diperjuangkan sehingga ke akhir zaman bukannya nafsu yang lebih menjurumuskan diri ke lembah kebinasaan sepertimana sirah kaum para nabi terdahulu.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Siti Fatimah Azzahra binti Zamrose
Kuliah Usuluddin, Al-Azhar, Mesir

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


Rabu, Mac 06, 2019


PERISTIWA AHZAB : ANTARA IMAN DAN KUFUR


Firman Allah SWT :
إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠.
Maksudnya : “Ketika itu mereka datang kepadamu dari belah hulur dan dari belah hilir (tempat pertahanan) kamu, dan ketika penglihatanmu terpana dan hatimu resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab : ayat 10)
     Ayat di atas menerangkan keadaan umat Islam ketika berlakunya peperangan Ahzab. Tentera Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh daripada golongan musyrikin dan munafikin. 
     Peperangan ini berasaskan pengkhianatan golongan Yahudi yang memberi peransang kepada orang-orang Musyrikin. Pengkhianatan berlaku bukan sahaja di kalangan Bani Nadir, tetapi disertai oleh Bani Quraizah dan mempunyai perjanjian kesetiaan dengan negara Islam namun mereka bertindak mengkhianati perjanjian tersebut. Perkara yang berlaku memberi pengajaran kepada kita betapa orang-orang Yahudi terkenal dengan sifat khianat bukan sahaja kepada manusia, bahkan terhadap Allah SWT.
     Dalam peperangan Ahzab, Rasulullah SAW menerima cadangan Salman al-Farisi supaya menggali parit. Ini menunjukkan bahawa Rasullulah SAW seorang pemimpin yang sentiasa melazimi syura dan menerima ilmu dunia yang bermanfaat.
       Penyertaan Rasulullah SAW ketika menggali parit dengan memberi sumbangan tenaga, titik peluh dan semangat. Perbezaan Rasulullah SAW dengan tokoh biasa yang lain adalah kebanyakan mereka hanya memerhati dari jauh, atau hanya berada di dalam pejabat-pejabat mewah. Penyertaan tersebut melahirkan ukhuwah yang erat antara Baginda SAW dengan para sahabat di samping melahirkan perasaan bertanggungjawab menegakkan agama Allah dan mempertahankannya.
     Peristiwa Ahzab menumpukan kepada peperangan saraf dan semangat kerana tidak banyak pertempuran bersenjata secara berdepan, akan tetapi serangan berbentuk tekanan jiwa yang sangat dahsyat di mana tentera muslimin dikepung dari pelbagai arah diikuti pula dengan berita-berita yang sampai ke telinga tentera muslimin. Ujian-ujian tersebut telah berhasil menambahkan iman dalam jiwa orang-orang beriman, menggugat kedudukan orang-orang munafik serta mendedahkan pengkhianatan orang-orang Yahudi. Firman Allah SWT :
وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا.
Maksudnya : “Dan ketika orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.” Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan yang demikian, bertambahlah keimanan dan keislaman mereka.” (Surah Al-Ahzab : ayat 22)


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Muhammad Basyiruddin bin Mohd Ahsan
Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


Rabu, Februari 27, 2019



NORMALISASI MAKSIAT FENOMENA TERKINI

Seorang muslim hendaklah melihat sesuatu dosa dengan pandangan untuk menghindarinya dan bukan dengan pandangan mesra-dosa. Membiasakan (normalisasi) diri dengan perbuatan dosa adalah sesuatu tindakan yang perlu dihindari. Seorang muslim tidak seharusnya membiarkan sesuatu dosa itu menjadi sebati di dalam diri dan berterusan bersangka baik dengan perkara dosa tersebut.

                Rasulullah SAW mendidik umat Islam supaya melihat perbuatan dosa itu adalah satu perbuatan yang salah. Sepertimana sabda Rasulullah SAW :

إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ فَقَالَ بِهِ هَكَذَا قَالَ أَبُو .شِهَابٍ بِيَدِهِ فَوْقَ أَنْفِهِ
"Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti ia duduk di pangkal gunung, ia risau gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu berbuat dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu ia terbang." Abu Syihab mengisyaratkan dengan tangannya di atas hidungnya. [HR Bukhari]

Zaman kini, umat Islam menghadapi pelbagai fitnah dan cabaran, antaranya adalah “Normalisasi Terhadap Maksiat”. Fenomena seperti berbohong, memungkiri janji, mengkhianati amanah, menganggap perkara ikhtilat tidak syarie adalah suatu perkara yang biasa dan banyak lagi perkara-perkara pelik yang berlaku pada realiti hari ini.

Ini semua terjadi apabila tiada kesedaran di dalam diri masing-masing, maka akhirnya masyarakat lali, terbiasa dan bersikap tidak mengambil peduli terhadap perkara tersebut. Jadi, kita sebagai mahasiswa Islam perlu sedar dan cakna berkaitan isu-isu semasa serta mencari solusi untuk menyelesaikannya.

Janganlah kita tergolong daripada golongan yang mengundang bala' Allah sebagaimana amaran yang diberikan oleh Allah kepada kita di dalam al-Quran yang bermaksud :

"Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."
(Surah Al-Anfal : ayat 25)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Simpulan-simpulan agama Islam akan terlucut satu persatu. Maka setiap kali terlucut, umat akan berusaha berpaut dengan simpulan yang lain. Yang paling awal terlucut adalah undang-undang dan yang terakhir adalah solat" [HR Ahmad]

Moga Allah membimbing kita semua ke arah kebenaran.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Amirol Akmal bin Mat Jelani
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM












Isnin, Februari 18, 2019

[ ISLAMIC ENTREPRENEURSHIP CARNIVAl 2019 (ICE ’19)
: MENJANA KEBAJIKAN MENGUKUH KESATUAN ]




Pada 8 hingga 14 Februari 2019, telah berlangsung dengan jayanya Program Islamic Entrepreneurship Carnival 2019 (ICE ’19) anjuran Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 dengan kerjasama Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Program yang berlangsung selama 5 hari ini padat dengan aktiviti yang menarik serta bermanfaat.

Pada 8 Februari 2019, Program Islamic Entrepreneurship Carnival 2019 (ICE ’19) telah dimulakan dengan aktiviti ambang iaitu Tazkirah Subuh Khas. Pengisiannya yang bertajuk “Muamalat Islam : Sebuah Garis Dasar” telah disampaikan oleh saudara Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan, Timbalan Yang Dipertua l BKASM sesi 2018/2019.

Hari kedua 11 Februari 2019, pada jam 8.00 malam telah diadakan aktiviti mendirikan khemah. Aktiviti ini mengambil masa selama 6 jam dengan kerjasama yang padu dari seluruh ahli BKASM yang bertungkus-lumus untuk mendirikan khemah.

Seterusnya, pada 12 Februari 2019, program telah bermula pada jam 12.30 tengahari dengan pembukaan bazar. ICE '19 telah menyusun satu aktiviti santai dan menambah thaqafah ahli terutama berkenaan ekonomi Islam iaitu Muamalat Interactive Game. Pada jam 6.30 malam, ICE '19 diteruskan lagi dengan Majlis Perasmian yang dimulakan dengan ucapan daripada saudara Tholhah bin Agung Biyadi selaku Pengarah  ICE ’19 diikuti ucapan daripada saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli  Yang Dipertua BKASM sesi 2018/2019. Seterusnya program kali ini lebih meriah dengan ucapan perasmian daripada saudara Mohammad Zaidun bin Misron, Yang Dipertua BKMIP sesi 2018/2019. Program diteruskan lagi dengan aktiviti Creative Chef yang telah disertai oleh ahli BKASM dan wakil dari BKAN taakhi iaitu BKMIP.

Pada hari keempat 13 Februari 2019, bazaria diteruskan seperti biasa. Antara program menarik pada hari tersebut ialah medical check up bagi akhawat, sembang santai bersama wakil Perubatan Cawangan Al-Azhar dan keluarga BKASM dan slot Talkshow yang bertajuk 'Hartawan Dua Zaman'. Slot ini telah menampilkan dua ahli panel iaitu saudara Muhamad Aiman bin Adnain, Jabatan Bendahari Kehormat & Jabatan Ekonomi sesi 2018/2019 serta saudara Khairul Naim bin Abd Razak, Timbalan Penyelaras 1 Majlis Gabungan BKAN ditemani oleh moderator saudara Luhamul Ashfia bin Slamet Bahrul Chayat. Seterusnya, pentomen yang bertemakan seruan Amar Makruf Nahi Mungkar telah dipersembahkan sebagai penutup program pada hari kedua bazar.

Kemudian, pada 14 Februari 2019, bazar diteruskan lagi dengan kemeriahan para pengunjung yang hadir dari pelbagai tempat. Turut diadakan sembang santai bersama wakil HISBAH yang telah dikongsikan oleh saudara Mohd Sharul bin Malek. Pada sebelah malam, telah diadakan aktiviti persembahan silat oleh wakil dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM). Acara diteruskan lagi dengan Majlis Penutupan yang telah  dirasmikan oleh  saudara Muhamad Nasrul bin Jamal, Penasihat BKASM sesi 2018/2019 serta penyampaian hadiah bagi anugerah yang telah diadakan oleh pihak ICE ’19. Sebelum berakhir, para pengunjung telah dipersembahkan dengan sedikit halwa telinga iaitu nasyid daripada kumpulan Al-Wadi.

Dengan penganjuran Islamic Entrepreneurship Carnival 2019 (ICE ’19) pada tahun ini moga-moga ia menjadi satu wasilah dalam memupuk ukhuwah Islamiah dan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli BKASM juga ahli BKAN yang lain sama ada mahasiswa lama ataupun baru seterusnya menjadikan  BKASM sebagai wadah dalam menjaga kebajikan ahlinya di bumi Mesir ini.

Sekian, terima kasih.


“Ekonomi Sejahtera Kebajikan Terpelihara”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Islamic Entrepreneurship Carnival 2019 (ICE '19)
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 15, 2019

15 FEBRUARI, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) bersama Pejabat Hal Ehwal Pelajar membantu dalam proses Evakuasi penghantaran pulang ke Malaysia dan pergi semula ke Mesir (OPS PIRAMID) pada 15 Februari 2011 yang merupakan penerbangan terakhir dari Kaherah.

BKASM telah berjaya mengumpulkan lebih 1300 orang mahasiswa dan mahasiswi Selangor di Mesir untuk dihantar pulang ke Malaysia semasa berlaku revolusi besar di Mesir.

BKASM bersama ILMAM mengambil peranan besar dalam membantu Kerajaan Negeri Selangor di Malaysia bagi membantu mengesan, mengumpul data dan menjayakan program SPIES Kerajaan Selangor setelah anak-anak Selangor dihantar pulang ke Malaysia.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Isnin, Februari 11, 2019

11 FEBRUARI, KEHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah ditubuhkan sejak tahun 1965 lagi.

Pada tahun 2016, BKASM telah berjaya mengadakan sambutan Jubli Emas BKASM yang bertemakan, "50 Tahun Memimpin Kesatuan".

Majlis perasmian telah disempurnakan di Dewan Solah Kamil, Hayyu Sadis. Pada awalnya, Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato' Seri Mohamed Azmin bin Ali dijadualkan untuk hadir ke Mesir bagi merasmikan sambutan ini. Namun, kunjungan beliau ke sini ditangguhkan.

Sambutan ini berjalan selama lapan hari bermula 8 hingga 16 Februari yang diisi dengan pelbagai aktiviti. Antaranya, Dakwah Kontemporari siri ke-5 yang menampilkan pengisi-pengisi dari Malaysia, talkshow yang bertajuk "BKASM The Untold Story", RISE (Riadah Sukan Anak-anak Selangor), dan aktiviti-aktiviti yang lain.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Februari 06, 2019


[ SEMINAR MIND 2019 : MELAHIRKAN MAHASISWA BERILMU DAN BERAMAL ]


29, 30 & 31 JANUARI 2019, KAHERAH –  Seminar MIND 2019 anjuran bersama Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) dan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019  telah diadakan di Dewan Kasr Ainy, Sayyedah Zainab.

Antara objektif utama program ini adalah :

1. Meningkatkan kefahaman dan kesedaran peserta mengenai akal dan pemikiran dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 3 objektif umum pengisian mencapai 100%.
2. Mengeratkan hubungan antara ahli PERUBATAN dan pengajian Islam dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 250 penyertaan daripada pelajar sains kesihatan dan 300 daripada pengajian Islam (BKASM).
3. Memberi pendedahan kepada peserta mengenai tanggungjawab masyarakat dengan menyentuh pengisian mengenai Islam adalah solusi bagi salah satu slot.
4. Menerapkan nilai profesionalisme dalam kalangan peserta dengan memastikan perjalanan program mengikut etika dan menjaga masa yang ditetapkan.

Pengisian selama tiga hari ini telah berjaya disempurnakan hasil gandingan dua pengisi hebat yang dijemput khas dari Malaysia iaitu Dr Mohd Zuhdi bin Marsuki, Rektor KUIZM dan Dr Mohd Ariff bin Mohd Noor, Ketua Perkhidmatan Psikiatri Negeri Kelantan.

Majlis bermula pada hari Selasa dengan kehadiran dan sesi pendaftaran oleh para peserta. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengarah, saudara Mohamad Naqieb bin Mohammad, seterusnya diteruskan dengan ucapan perasmian daripada saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2018/2019.

Para peserta memulakan penjelajahan ilmu pada hari pertama dengan slot berkenaan fenomena akhir zaman yang bertajuk 'Islam Jadi Tumpuan : Kebetulan atau Perancangan?' dan slot kedua yang bertajuk 'Brain and Mental Health'.

Seterusnya, pada hari kedua seminar, para peserta telah dibentangkan dengan tiga slot yang sangat penting dan menarik iaitu 'Negara Bangsa : Kesejahteraan atau kehancuran?', 'Menyingkap Fenomena Pasca Islamisme' dan 'Depresi : Antara Solusi dan Diskriminasi'.

Pada hari ketiga program yang merupakan hari terakhir bagi Seminar MIND 2019, para peserta didedahkan dengan pembentangan slot keenam, 'What's wrong with our rights?' dan slot ketujuh iaitu 'MIND : Ketika Akal dan Wahyu Bersatu'. Selain itu, turut peringkat program juga menyusun satu slot khas yang dinamakan 'Wacana 2 Minda' yang disediakan bertujuan memberi ruang kepada kedua-dua pengisi menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh peserta yang belum selesai dijawab ketika slot pengisian.

Slot Panel Akademik : 'Introspeksi dan Resolusi' juga diadakan bagi berkongsi hasil dapatan sepanjang seminar berlangsung dimana respon akan diutarakan oleh para peserta sendiri. Akhir sekali, Seminar MIND 2019 melabuhkan tirainya dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh saudara Ahmad Shahir bin Ahmad Jalaludin selaku Presiden PERUBATAN sesi 2018/2019.

Besar harapan daripada pihak penganjur semoga program Seminar MIND 2019 yang telah diadakan selama tiga hari ini dapat menyuntik semangat dalam kalangan ahli untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri masing-masing dan mengambil berat tentang isu semasa yang berlaku di akhir zaman ini.

Sekian, terima kasih.


“at-Taqwa, as-Syifa, ar-Rahmah”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Seminar MIND 2019
Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)


#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

EPISOD MUNGKIN BERULANG - Minda Siswa Siri 4





EPISOD MUNGKIN BERULANG

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan apabila Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah kampung, kami perintahkan terlebih dahulu orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat. Maka berhaklah negeri itu dibinasakan lalu kami menghancurkan sehancur-hancurnya.”  (Surah al-Isra : Ayat 16)

           Era kerajaan Abbasiyyah merupakan era kegemilangan Islam. Ketika ini kedaulatan umat Islam sampai kemuncak kemuliaan dalam pelbagai bidang. Selain itu, sumbangan umat Islam untuk peradaban dunia juga hasil cetusan minda para cendikiawan besar dan hebat yang lahir ketika era kerajaan Abbasiyyah.  
        
           Namun begitu, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitu juga yang terjadi kepada sebuah kerajaan yang agung seperti kerajaan Bani Abbasiyyah. Hanya dengan beberapa kemelut, kerajaan ini dapat digulingkan dengan sekelip mata. Beberapa faktor yang menyebabkan kejatuhan kerajaan ini antaranya adalah:-

                      I.        Kelemahan pemerintah yang tidak melakukan sebarang anjakan paradigma terhadap kerajaan.
                    II.        Polisi mengutamakan bangsa asing kerana kebanyakan dari menteri-menteri sultan bukan dari kalangan bangsa Arab.
                   III.        Serangan luar dari segenap penjuru yang telah menyusun strategi untuk menumpaskan kerajaan Abbasiyyah.

           Saidina Ali RA berkata : “Kebenaran yang tidak dirancang  akan dikalahkan oleh kebatilan yang dirancang.”

           Sejarah telah mengajar kita, bahawa dua faktor terbesar setiap kecelaruan yang berlaku dalam sesebuah kerajaan itu adalah kerana musuh yang membenci dan umat Islam yang dengki. Oleh itu setiap dari kita perlu sedar peranan masing-masing dari setiap perkara bagi memastikan sejarah tersebut tidak berlaku kembali di zaman pemerintahan kini sehingga tertegaknya khilafah Islamiyah di bumi Allah.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Sofia Humairah binti Mohamad Khalid
Timbalan Ketua Lajnah Kesenian dan Sukan
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Februari 01, 2019



[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK BERMANHAJ ]

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 sangat menitikberatkan agenda pentarbiahan bagi melahirkan generasi pelapis yang mempunyai kekuatan daripada segi rohani dan sahsiah.

Sempena berakhirnya peperiksaan fasa satu, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2018/2019 menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Bermanhaj pada 1 Februari 2019.

Semoga semua ahli di setiap peringkat dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Bermanhaj serta dapat menggunakan sepenuh masa dan peluang dalam melaksanakan aktiviti ini.


"Mantap Tarbiah Unggul Sahsiah"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar
Ketua Lajnah  Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


Rabu, Januari 16, 2019

ISTIQAMAH BERSAMA ISLAM - Minda Siswa Siri 3



ISTIQAMAH BERSAMA ISLAM.


ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا

Maksudnya : “(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tidak merasa takut kepada seorang pun selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.(Surah Al-Ahzab : ayat 39)

Rasulullah SAW merupakan nabi yang diutuskan untuk memperbaiki akhlak masyarakat dunia dengan menyampaikan risalah Islam yang syumul. Namun, sudah pasti banyak tentangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi Baginda SAW dan para sahabat demi meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sifat luar biasa yang dimiliki oleh Baginda SAW dan para sahabat tidak akan tercapai tanpa tarbiah yang berterusan. Tarbiah merupakan proses memelihara, mendidik seseorang agar menjadi lebih baik dalam kehidupannya. Maka, ia merupakan satu elemen yang penting dalam diri seorang muslim agar kefahaman Islam yang sebenar dapat dicapai. Melalui tarbiah juga akan membentuk jiwa yang tinggi nilai ikhlas dan pengorbanannya dalam beramal.

Malangnya, ramai yang beranggapan bahawa tarbiah ini seolah-olah mengongkong kehidupan mereka daripada menikmati kesenangan dunia. Mereka alpa bahawa rosaknya masyarakat kini akibat nafsu yang tidak dikawal dengan panduan agama. Kesannya, berlakulah pelbagai kerosakan di atas muka bumi seperti yang dapat kita saksikan hari ini.

Maka, dapat kita simpulkan bahawa kekurangan tarbiah dalam diri akan melahirkan fikiran dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan syarak. Tidak dinafikan bahawa sesiapa yang menjalani proses tarbiah pasti akan diuji keikhlasan mereka semata-mata untuk dinilai tahap keimanan mereka. Tuntasnya, tetaplah istiqamah bersama Islam hingga akhir hayat kita.

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا  

Maksudnya : “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).(Surah Al-Ahzab : ayat 23)


“Mantap Tarbiah Unggul Sahsiah”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Khairul Zaim bin Mohd Baharin
Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluarga BKASM


Rabu, Januari 09, 2019

DUNIA HUJUNG USIA - Minda Siswa Siri 2



DUNIA HUJUNG USIA. 

1400 tahun dahulu, Nabi SAW telah memberi gambaran tentang situasi umat pada era akhir zaman ini :

عن ثَوْبَانَ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : ”يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَتَدَاعَى عَلَيْكُمْ؛ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إلَى قَصْعَتِهَا..."

Daripada Tsauban RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka..." [Riwayat Abu Daud]

Dunia tak pernah sunyi daripada khabar-khabar yang menggemparkan. Dan apabila diteliti, kebanyakannya menjurus kepada Islam dan umatnya sebagai sasaran utama.

Perhatikan isu penindasan Muslim Uyghur di Xinjiang, China. Masyarakat di sana ditindas sesuka hati hanya kerana beragama Islam malah mereka dipaksa untuk murtad dan menganut kepercayaan komunis. Ketika masyarakat dunia hari ini beria-ia melaungkan slogan hak asasi dan menuntut kebebasan, mengapa etnik kecil ini dinafikan untuk mendapat perkara yang sama?

Di Malaysia juga, tidak dapat dinafikan gerakan liberalisasi sedang bergerak pantas dalam diam. Satu-persatu isu yang dimainkan di media menampakkan belang golongan ini sedikit demi sedikit; isu LGBT, feminisme, doktrin pluralisme, penghinaan terhadap institusi diraja dan terbaru, usaha untuk meratifikasi ICERD. Rantaian isu ini membawa impak negatif terhadap kedudukan istimewa Melayu dan agama Islam itu sendiri. Belum sedarkah kita betapa gentingnya situasi umat Islam sekarang?

Umat akhir zaman jumlahnya begitu ramai, tapi sayang, maruahnya mudah diinjak-injak dan dipermainkan. Ibarat hidangan makanan, tersedia untuk diratah sesuka hati. Nabi kemudian menutup hadis di atas dengan menyatakan punca umat Islam berkeadaan sedemikian adalah kerana wabak ‘Al-Wahn’, cintakan dunia dan takutkan kematian.

Akibat leka membiarkan diri hanyut dalam arus materialisme ciptaan Barat, umat semakin lemah ketahanan imannya malah kurang deria waspadanya. Natijahnya, jati diri Muslim semakin gersang lalu ikatan Islam terurai satu demi satu.

Dalam mendepani gelombang fitnah hari ini, Nabi SAW telah meninggalkan pesanan yang amat penting buat kita semua iaitu :

"تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ نَبِيِّهِ"

"Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya : iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya." [Riwayat Malik]

Istiqamah menggenggam al-Quran dan sunah. Dua sumber ini bukan sekadar bacaan penambah pahala malah yang lebih utama, intipati wahyu itu perlu ditadabur dan dihayati sebaiknya. Moga kita semua tergolong dalam kelompok yang sentiasa menzahirkan kebenaran walaupun dunia semakin dikuasai kebatilan.


“Mahasiswa Berilmu Mendepani Isu”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Siti Hawa binti Mohamad Maarof
Fasilitator BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Januari 02, 2019

TARBIAH, INI JALAN KITA - Minda Siswa Siri 1



TARBIAH, INI JALAN KITA. 

Firman Allah SWT :
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’ : ayat 107)

            Rasulullah SAW menghadapi alam remajanya dengan tarbiah sehingga menjadikan dirinya tidak bergantung kepada orang lain. Kehilangan satu demi satu insan kesayangan Baginda SAW membuktikan bahawa tiada gangguan manusia dalam proses pentarbiahannya melainkan dari Allah SWT. Sebagai tambahan, Baginda SAW juga pernah menjadi seorang pengembala kambing sewaktu usia kecil lagi. Begitulah Allah mentarbiah nabi-nabiNya. Kekentalan jiwa menjadi bekalan utama di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah.

            Di samping itu, Rasulullah SAW sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dari segi ketinggian peribadi dan akhlaknya sehingga tidak dipengaruhi oleh persekitaran buruk remaja-remaja di zamannya. Ketinggian maruah dan kemurnian akhlaknya menjadi buah mulut penduduk Mekah. Baginda SAW juga adalah seorang manusia yang ada kemahuan dan keinginan seperti manusia yang lain, namun kesan daripada pentarbiahan tersebut Baginda SAW terhindar daripada arus jahiliah yang melanda masyarakat pada masa itu.

            Dalam lingkungan usia 14 atau 15 tahun, Rasulullah SAW telah menyertai peperangan al-Fajar, iaitu peperangan di antara Quraisy dengan Qais. Baginda SAW menyertai peperangan tersebut dengan memungut anak-anak panah musuh untuk bapa saudaranya. Pengalaman ini sangat penting dalam membentuk diri Baginda SAW dengan sifat kepahlawanan dan kesabaran di medan perang.

            Kekuatan rohani Rasulullah SAW pula dibuktikan ketika Baginda SAW menjadi orang yang paling tabah menghadapi ujian, sama ada ujian tekanan atau ujian kemewahan. Ketika menghadapi musuh dan segala ancaman, baginda orang yang paling berani dan kuat. Ketika Islam menang, kekuatan rohnya telah memelihara dirinya tidak cenderung atau terpengaruh oleh sesiapapun supaya tunduk kepada kebendaan. Hati Baginda SAW bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

            Segala yang berlaku pada dirinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Oleh itu, benarlah bahawa Baginda SAW ialah rasul pilihan Allah SWT yang menjadi hadiah untuk manusia sejagat. Kelahiran Baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam. Akhir sekali, kita selaku umat akhir zaman mestilah berterusan mendalami perjalanan hidup Baginda SAW dan menjadikannya panduan dalam meneruskan kehidupan di zaman penuh kekeliruan antara hak dan batil.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli
Setiausaha Agung
BKASM sesi 2018/2019.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM