SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Rabu, Januari 16, 2019



ISTIQAMAH BERSAMA ISLAM.


ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا

Maksudnya : “(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tidak merasa takut kepada seorang pun selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.(Surah Al-Ahzab : ayat 39)

Rasulullah SAW merupakan nabi yang diutuskan untuk memperbaiki akhlak masyarakat dunia dengan menyampaikan risalah Islam yang syumul. Namun, sudah pasti banyak tentangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi Baginda SAW dan para sahabat demi meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Sifat luar biasa yang dimiliki oleh Baginda SAW dan para sahabat tidak akan tercapai tanpa tarbiah yang berterusan. Tarbiah merupakan proses memelihara, mendidik seseorang agar menjadi lebih baik dalam kehidupannya. Maka, ia merupakan satu elemen yang penting dalam diri seorang muslim agar kefahaman Islam yang sebenar dapat dicapai. Melalui tarbiah juga akan membentuk jiwa yang tinggi nilai ikhlas dan pengorbanannya dalam beramal.

Malangnya, ramai yang beranggapan bahawa tarbiah ini seolah-olah mengongkong kehidupan mereka daripada menikmati kesenangan dunia. Mereka alpa bahawa rosaknya masyarakat kini akibat nafsu yang tidak dikawal dengan panduan agama. Kesannya, berlakulah pelbagai kerosakan di atas muka bumi seperti yang dapat kita saksikan hari ini.

Maka, dapat kita simpulkan bahawa kekurangan tarbiah dalam diri akan melahirkan fikiran dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan syarak. Tidak dinafikan bahawa sesiapa yang menjalani proses tarbiah pasti akan diuji keikhlasan mereka semata-mata untuk dinilai tahap keimanan mereka. Tuntasnya, tetaplah istiqamah bersama Islam hingga akhir hayat kita.

مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا  

Maksudnya : “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).(Surah Al-Ahzab : ayat 23)


“Mantap Tarbiah Unggul Sahsiah”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Khairul Zaim bin Mohd Baharin
Bendahari Kehormat
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluarga BKASM


Rabu, Januari 09, 2019

DUNIA HUJUNG USIA - Minda Siswa Siri 2



DUNIA HUJUNG USIA. 

1400 tahun dahulu, Nabi SAW telah memberi gambaran tentang situasi umat pada era akhir zaman ini :

عن ثَوْبَانَ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : ”يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَتَدَاعَى عَلَيْكُمْ؛ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إلَى قَصْعَتِهَا..."

Daripada Tsauban RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka..." [Riwayat Abu Daud]

Dunia tak pernah sunyi daripada khabar-khabar yang menggemparkan. Dan apabila diteliti, kebanyakannya menjurus kepada Islam dan umatnya sebagai sasaran utama.

Perhatikan isu penindasan Muslim Uyghur di Xinjiang, China. Masyarakat di sana ditindas sesuka hati hanya kerana beragama Islam malah mereka dipaksa untuk murtad dan menganut kepercayaan komunis. Ketika masyarakat dunia hari ini beria-ia melaungkan slogan hak asasi dan menuntut kebebasan, mengapa etnik kecil ini dinafikan untuk mendapat perkara yang sama?

Di Malaysia juga, tidak dapat dinafikan gerakan liberalisasi sedang bergerak pantas dalam diam. Satu-persatu isu yang dimainkan di media menampakkan belang golongan ini sedikit demi sedikit; isu LGBT, feminisme, doktrin pluralisme, penghinaan terhadap institusi diraja dan terbaru, usaha untuk meratifikasi ICERD. Rantaian isu ini membawa impak negatif terhadap kedudukan istimewa Melayu dan agama Islam itu sendiri. Belum sedarkah kita betapa gentingnya situasi umat Islam sekarang?

Umat akhir zaman jumlahnya begitu ramai, tapi sayang, maruahnya mudah diinjak-injak dan dipermainkan. Ibarat hidangan makanan, tersedia untuk diratah sesuka hati. Nabi kemudian menutup hadis di atas dengan menyatakan punca umat Islam berkeadaan sedemikian adalah kerana wabak ‘Al-Wahn’, cintakan dunia dan takutkan kematian.

Akibat leka membiarkan diri hanyut dalam arus materialisme ciptaan Barat, umat semakin lemah ketahanan imannya malah kurang deria waspadanya. Natijahnya, jati diri Muslim semakin gersang lalu ikatan Islam terurai satu demi satu.

Dalam mendepani gelombang fitnah hari ini, Nabi SAW telah meninggalkan pesanan yang amat penting buat kita semua iaitu :

"تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ نَبِيِّهِ"

"Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya : iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya." [Riwayat Malik]

Istiqamah menggenggam al-Quran dan sunah. Dua sumber ini bukan sekadar bacaan penambah pahala malah yang lebih utama, intipati wahyu itu perlu ditadabur dan dihayati sebaiknya. Moga kita semua tergolong dalam kelompok yang sentiasa menzahirkan kebenaran walaupun dunia semakin dikuasai kebatilan.


“Mahasiswa Berilmu Mendepani Isu”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Siti Hawa binti Mohamad Maarof
Fasilitator BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, Januari 02, 2019

TARBIAH, INI JALAN KITA - Minda Siswa Siri 1



TARBIAH, INI JALAN KITA. 

Firman Allah SWT :
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’ : ayat 107)

            Rasulullah SAW menghadapi alam remajanya dengan tarbiah sehingga menjadikan dirinya tidak bergantung kepada orang lain. Kehilangan satu demi satu insan kesayangan Baginda SAW membuktikan bahawa tiada gangguan manusia dalam proses pentarbiahannya melainkan dari Allah SWT. Sebagai tambahan, Baginda SAW juga pernah menjadi seorang pengembala kambing sewaktu usia kecil lagi. Begitulah Allah mentarbiah nabi-nabiNya. Kekentalan jiwa menjadi bekalan utama di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah.

            Di samping itu, Rasulullah SAW sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dari segi ketinggian peribadi dan akhlaknya sehingga tidak dipengaruhi oleh persekitaran buruk remaja-remaja di zamannya. Ketinggian maruah dan kemurnian akhlaknya menjadi buah mulut penduduk Mekah. Baginda SAW juga adalah seorang manusia yang ada kemahuan dan keinginan seperti manusia yang lain, namun kesan daripada pentarbiahan tersebut Baginda SAW terhindar daripada arus jahiliah yang melanda masyarakat pada masa itu.

            Dalam lingkungan usia 14 atau 15 tahun, Rasulullah SAW telah menyertai peperangan al-Fajar, iaitu peperangan di antara Quraisy dengan Qais. Baginda SAW menyertai peperangan tersebut dengan memungut anak-anak panah musuh untuk bapa saudaranya. Pengalaman ini sangat penting dalam membentuk diri Baginda SAW dengan sifat kepahlawanan dan kesabaran di medan perang.

            Kekuatan rohani Rasulullah SAW pula dibuktikan ketika Baginda SAW menjadi orang yang paling tabah menghadapi ujian, sama ada ujian tekanan atau ujian kemewahan. Ketika menghadapi musuh dan segala ancaman, baginda orang yang paling berani dan kuat. Ketika Islam menang, kekuatan rohnya telah memelihara dirinya tidak cenderung atau terpengaruh oleh sesiapapun supaya tunduk kepada kebendaan. Hati Baginda SAW bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

            Segala yang berlaku pada dirinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Oleh itu, benarlah bahawa Baginda SAW ialah rasul pilihan Allah SWT yang menjadi hadiah untuk manusia sejagat. Kelahiran Baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam. Akhir sekali, kita selaku umat akhir zaman mestilah berterusan mendalami perjalanan hidup Baginda SAW dan menjadikannya panduan dalam meneruskan kehidupan di zaman penuh kekeliruan antara hak dan batil.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli
Setiausaha Agung
BKASM sesi 2018/2019.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM