Rabu, Januari 09, 2019

DUNIA HUJUNG USIA - Minda Siswa Siri 2



DUNIA HUJUNG USIA. 

1400 tahun dahulu, Nabi SAW telah memberi gambaran tentang situasi umat pada era akhir zaman ini :

عن ثَوْبَانَ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : ”يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَتَدَاعَى عَلَيْكُمْ؛ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إلَى قَصْعَتِهَا..."

Daripada Tsauban RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka..." [Riwayat Abu Daud]

Dunia tak pernah sunyi daripada khabar-khabar yang menggemparkan. Dan apabila diteliti, kebanyakannya menjurus kepada Islam dan umatnya sebagai sasaran utama.

Perhatikan isu penindasan Muslim Uyghur di Xinjiang, China. Masyarakat di sana ditindas sesuka hati hanya kerana beragama Islam malah mereka dipaksa untuk murtad dan menganut kepercayaan komunis. Ketika masyarakat dunia hari ini beria-ia melaungkan slogan hak asasi dan menuntut kebebasan, mengapa etnik kecil ini dinafikan untuk mendapat perkara yang sama?

Di Malaysia juga, tidak dapat dinafikan gerakan liberalisasi sedang bergerak pantas dalam diam. Satu-persatu isu yang dimainkan di media menampakkan belang golongan ini sedikit demi sedikit; isu LGBT, feminisme, doktrin pluralisme, penghinaan terhadap institusi diraja dan terbaru, usaha untuk meratifikasi ICERD. Rantaian isu ini membawa impak negatif terhadap kedudukan istimewa Melayu dan agama Islam itu sendiri. Belum sedarkah kita betapa gentingnya situasi umat Islam sekarang?

Umat akhir zaman jumlahnya begitu ramai, tapi sayang, maruahnya mudah diinjak-injak dan dipermainkan. Ibarat hidangan makanan, tersedia untuk diratah sesuka hati. Nabi kemudian menutup hadis di atas dengan menyatakan punca umat Islam berkeadaan sedemikian adalah kerana wabak ‘Al-Wahn’, cintakan dunia dan takutkan kematian.

Akibat leka membiarkan diri hanyut dalam arus materialisme ciptaan Barat, umat semakin lemah ketahanan imannya malah kurang deria waspadanya. Natijahnya, jati diri Muslim semakin gersang lalu ikatan Islam terurai satu demi satu.

Dalam mendepani gelombang fitnah hari ini, Nabi SAW telah meninggalkan pesanan yang amat penting buat kita semua iaitu :

"تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللهِ وَ سُنَّةَ نَبِيِّهِ"

"Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya : iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Nabi-Nya." [Riwayat Malik]

Istiqamah menggenggam al-Quran dan sunah. Dua sumber ini bukan sekadar bacaan penambah pahala malah yang lebih utama, intipati wahyu itu perlu ditadabur dan dihayati sebaiknya. Moga kita semua tergolong dalam kelompok yang sentiasa menzahirkan kebenaran walaupun dunia semakin dikuasai kebatilan.


“Mahasiswa Berilmu Mendepani Isu”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Siti Hawa binti Mohamad Maarof
Fasilitator BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan