Rabu, Januari 02, 2019

TARBIAH, INI JALAN KITA - Minda Siswa Siri 1



TARBIAH, INI JALAN KITA. 

Firman Allah SWT :
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiya’ : ayat 107)

            Rasulullah SAW menghadapi alam remajanya dengan tarbiah sehingga menjadikan dirinya tidak bergantung kepada orang lain. Kehilangan satu demi satu insan kesayangan Baginda SAW membuktikan bahawa tiada gangguan manusia dalam proses pentarbiahannya melainkan dari Allah SWT. Sebagai tambahan, Baginda SAW juga pernah menjadi seorang pengembala kambing sewaktu usia kecil lagi. Begitulah Allah mentarbiah nabi-nabiNya. Kekentalan jiwa menjadi bekalan utama di dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah.

            Di samping itu, Rasulullah SAW sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dari segi ketinggian peribadi dan akhlaknya sehingga tidak dipengaruhi oleh persekitaran buruk remaja-remaja di zamannya. Ketinggian maruah dan kemurnian akhlaknya menjadi buah mulut penduduk Mekah. Baginda SAW juga adalah seorang manusia yang ada kemahuan dan keinginan seperti manusia yang lain, namun kesan daripada pentarbiahan tersebut Baginda SAW terhindar daripada arus jahiliah yang melanda masyarakat pada masa itu.

            Dalam lingkungan usia 14 atau 15 tahun, Rasulullah SAW telah menyertai peperangan al-Fajar, iaitu peperangan di antara Quraisy dengan Qais. Baginda SAW menyertai peperangan tersebut dengan memungut anak-anak panah musuh untuk bapa saudaranya. Pengalaman ini sangat penting dalam membentuk diri Baginda SAW dengan sifat kepahlawanan dan kesabaran di medan perang.

            Kekuatan rohani Rasulullah SAW pula dibuktikan ketika Baginda SAW menjadi orang yang paling tabah menghadapi ujian, sama ada ujian tekanan atau ujian kemewahan. Ketika menghadapi musuh dan segala ancaman, baginda orang yang paling berani dan kuat. Ketika Islam menang, kekuatan rohnya telah memelihara dirinya tidak cenderung atau terpengaruh oleh sesiapapun supaya tunduk kepada kebendaan. Hati Baginda SAW bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT.

            Segala yang berlaku pada dirinya tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun. Oleh itu, benarlah bahawa Baginda SAW ialah rasul pilihan Allah SWT yang menjadi hadiah untuk manusia sejagat. Kelahiran Baginda menjadi rahmat kepada seluruh alam. Akhir sekali, kita selaku umat akhir zaman mestilah berterusan mendalami perjalanan hidup Baginda SAW dan menjadikannya panduan dalam meneruskan kehidupan di zaman penuh kekeliruan antara hak dan batil.


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Syukri bin Rosli
Setiausaha Agung
BKASM sesi 2018/2019.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM



Tiada ulasan:

Catat Ulasan