Rabu, Mac 06, 2019


PERISTIWA AHZAB : ANTARA IMAN DAN KUFUR


Firman Allah SWT :
إِذۡ جَآءُوكُم مِّن فَوۡقِكُمۡ وَمِنۡ أَسۡفَلَ مِنكُمۡ وَإِذۡ زَاغَتِ ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلۡقُلُوبُ ٱلۡحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠.
Maksudnya : “Ketika itu mereka datang kepadamu dari belah hulur dan dari belah hilir (tempat pertahanan) kamu, dan ketika penglihatanmu terpana dan hatimu resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab : ayat 10)
     Ayat di atas menerangkan keadaan umat Islam ketika berlakunya peperangan Ahzab. Tentera Islam diserang dari pelbagai sudut oleh musuh daripada golongan musyrikin dan munafikin. 
     Peperangan ini berasaskan pengkhianatan golongan Yahudi yang memberi peransang kepada orang-orang Musyrikin. Pengkhianatan berlaku bukan sahaja di kalangan Bani Nadir, tetapi disertai oleh Bani Quraizah dan mempunyai perjanjian kesetiaan dengan negara Islam namun mereka bertindak mengkhianati perjanjian tersebut. Perkara yang berlaku memberi pengajaran kepada kita betapa orang-orang Yahudi terkenal dengan sifat khianat bukan sahaja kepada manusia, bahkan terhadap Allah SWT.
     Dalam peperangan Ahzab, Rasulullah SAW menerima cadangan Salman al-Farisi supaya menggali parit. Ini menunjukkan bahawa Rasullulah SAW seorang pemimpin yang sentiasa melazimi syura dan menerima ilmu dunia yang bermanfaat.
       Penyertaan Rasulullah SAW ketika menggali parit dengan memberi sumbangan tenaga, titik peluh dan semangat. Perbezaan Rasulullah SAW dengan tokoh biasa yang lain adalah kebanyakan mereka hanya memerhati dari jauh, atau hanya berada di dalam pejabat-pejabat mewah. Penyertaan tersebut melahirkan ukhuwah yang erat antara Baginda SAW dengan para sahabat di samping melahirkan perasaan bertanggungjawab menegakkan agama Allah dan mempertahankannya.
     Peristiwa Ahzab menumpukan kepada peperangan saraf dan semangat kerana tidak banyak pertempuran bersenjata secara berdepan, akan tetapi serangan berbentuk tekanan jiwa yang sangat dahsyat di mana tentera muslimin dikepung dari pelbagai arah diikuti pula dengan berita-berita yang sampai ke telinga tentera muslimin. Ujian-ujian tersebut telah berhasil menambahkan iman dalam jiwa orang-orang beriman, menggugat kedudukan orang-orang munafik serta mendedahkan pengkhianatan orang-orang Yahudi. Firman Allah SWT :
وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا.
Maksudnya : “Dan ketika orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kita.” Dan benarlah Allah dan RasulNya. Dan yang demikian, bertambahlah keimanan dan keislaman mereka.” (Surah Al-Ahzab : ayat 22)


“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Muhammad Basyiruddin bin Mohd Ahsan
Ketua Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


0 comments:

Catat Ulasan