Khamis, April 25, 2019

ILMU : ALAT UNTUK TAAT




ILMU : ALAT UNTUK TAAT

 Ketika mana Nabi Adam AS diciptakan, agenda pertama yang Allah susun untuknya adalah ilmu. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Barqarah ayat 31,

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ
صَادِقِينَ
Maksudnya : “Dan Ia (Allah) telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman : “Terangkanlah kepadaKu nama benda-bendanya ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”

 Sejarah banyak menceritakan kisah-kisah golongan-golongan yang tinggi ilmunya. Ada yang diberi hidayah oleh Allah SWT dan ada yang terus berada dalam kesesatan. Antara golongan berilmu yang diberi hidayah oleh Allah SWT adalah para nabi, para sahabat dan yang mengikuti jalan mereka. Dan di antara golongan berilmu yang sesat pula adalah iblis, ahli kitab dan mereka yang mengikuti jalan-jalan golongan seperti ini.

 Antara kisah yang diceritakan dalam al-Quran berkenaan golongan yang sesat dengan ilmunya adalah dialog antara iblis dengan Allah SWT. Iblis adalah makhluk yang tinggi ilmunya berdasarkan pandangan para ulama’, tetapi ingkar akan perintah Allah dan menggunakan hujah mengikut logik akal lalu jadilah ia perintis kepada pemikiran liberal.  Firman Allah SWT :

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ
Maksudnya : Allah berfirman : “Apakah yang menghalangimu daripada sujud ketika Aku perintahkan kepadamu?” Iblis menjawab : “Aku lebih baik dari dia (Adam), Engkau jadikan aku dari api sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah.” (Surah Al-A’raf : ayat 12)

 Kini, dapat kita saksikan pada hari ini dunia yang penuh dengan para ilmuwan dan ahli akademik, akan tetapi semakin berilmu semakin jauh dengan hidayah dari Allah SWT. Mereka mengalami masalah kepincangan pemikiran sehingga membawa kepada krisis identity, lalu wujudlah umat Islam yang bersikap prejudis terhadap Islam itu sendiri.

 Oleh itu, marilah sama-sama kita memperbaharui niat kita dalam menuntut ilmu iaitu semata-mata untuk mencari redha Allah SWT. Apabila niat diletakkan di tempat yang betul, maka Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan hamba-Nya dalam mencari kebenaran.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Irsyad bin Abd Ghaffar
Ketua Lajnah Pendidikan
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM


[ SUMBANGAN KEBAJIKAN ]


[ SUMBANGAN KEBAJIKAN ]

24 APRIL 2019, SELASA - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 diwakili oleh saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli selaku Yang Dipertua BKASM sesi 2018/2019 telah menyerahkan sumbangan kepada saudara Ahmad Luqman bin Zainal Abidin di atas kelahiran cahaya matanya yang pertama.

Moga mujahidah yang lahir ini menjadi harapan untuk ummah akan datang.


"Mengukuhkan Kebajikan Tunjang Kesatuan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Kebajikan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK AMALI ]

[ PEMAKLUMAN MUZAKARAH BERKELOMPOK AMALI ]

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sangat mementingkan unsur-unsur pentarbiahan serta keseimbangan akademik dan thaqafah. Penerapan unsur tarbiah juga merupakan satu keperluan bagi melahirkan generasi Islam yang mempunyai kekuatan dari segi rohani dan jasmani.

Sempena imtihan fasa dua yang bakal tiba tidak lama lagi, peringkat Jabatan Fasilitator (JATA) di bawah Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM telah menetapkan tarikh bermulanya Muzakarah Berkelompok Amali adalah pada 26 April 2019.

Semoga kita dapat menghidupkan suasana Muzakarah Berkelompok Amali serta dapat memanfaatkan sepenuh masa dan peluang dengan sebaiknya bagi menghadapi imtihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Semoga kita bersama-sama memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam imtihan kali ini.


Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar
(Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2018/2019)


"Mantap Tarbiah Unggul Sahsiah"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Rabu, April 24, 2019

KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA DUA


KENYATAAN PENANGGUHAN PROGRAM FASA DUA

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) adalah sebuah persatuan mahasiswa Islam yang sangat menitikberatkan perkara-perkara kebajikan ahli termasuk hal ehwal berkaitan pendidikan.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa kedua bagi sesi 2018/2019 sedang rancak berlangsung dalam tempoh menuju tarikh peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi. Mahasiswa dan mahasiswi juga sedang bertungkus lumus membuat persiapan dari pelbagai sudut seperti menghadiri kuliah, menghadiri kelas tutorial dan membuat ulang kaji pelajaran bagi mendapatkan kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, BKASM telah memutuskan tarikh 25 April 2018 adalah tarikh penangguhan bagi semua program di peringkat BKASM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, tarbiah dan motivasi sahaja dibenarkan berlangsung. Hal ini adalah untuk memberi peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk membuat persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Usaha dan tawakal itu kunci kepada kejayaan. Oleh yang demikian, diharapkan agar kita semua dapat mempertingkatkan prestasi dan berikan sepenuh usaha dalam menyiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan kerana kejayaan tidak datang bergolek dengan sendiri.

Disamping itu, kita juga mestilah menguatkan hubungan dengan Allah SWT kerana Dialah Yang Maha Berkuasa memberikan dan menentukan segalanya. Maka, teruskan bermunajat dan bertawakkal kepada-Nya.

Akhir kata, semoga semua mahasiswa dan mahasiswi dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan dan dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperolehi menjadi penyebab bertambahnya takwa kita kepada Allah SWT.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Muhammad Zulkhairi bin Dzulhasnan
Timbalan Yang Dipertua I (Lajnah Perancang I)
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, April 19, 2019

[ PERTEMUAN BERSAMA ATASE : MENERUSKAN KERJASAMA DALAM PENGURUSAN URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BARU SESI 2019/2020 ]




[ PERTEMUAN BERSAMA ATASE :
MENERUSKAN KERJASAMA DALAM PENGURUSAN URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BARU SESI 2019/2020 ]

18 April 2019, Khamis, Kaherah - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah membuat pertemuan bersama Ustaz Mohd. Yasser bin Abdul Ghani selaku Atase Pendidikan Selangor Mesir di Pejabat Atase Pendidikan Selangor.

Pertemuan ini bertujuan bagi membincangkan kerjasama dalam pengurusan Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru sesi 2019/2020 (USMB '19) yang diketuai oleh Yang Dipertua BKASM, saudara Nabil Rusyaidi bin Ramli bersama beberapa wakil AJKT dan Jabatan Pengarah Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru sesi 2019/2020 (USMB '19).

Alhamdulillah, perbincangan berjalan dengan lancar dan pihak BKASM sentiasa bekerjasama dengan Pejabat Atase Pendidikan Mesir dalam penghantaran mahasiswa dan mahasiswi baru di Mesir seperti tahun-tahun sebelum ini.

Perkara ini merupakan salah satu usaha bagi memastikan kebajikan sambutan mahasiswa dan mahasiswi baru yang hadir berjalan dalam keadaan baik dan selamat. Semoga perjalanan Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru sesi 2019/2020 (USMB '19) dipermudahkan oleh Allah SWT.

Semoga pertemuan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara peringkat BKASM dan pejabat dalam meneruskan kebajikan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Selangor di pelembahan Nil seterusnya mendapat keredaan daripada Allah SWT.


"Mengukuhkan Kebajikan Tunjang Kesatuan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, April 11, 2019

TARBIAH GENERASI SAHABAT - Minda Siswa Siri 10






TARBIAH GENERASI SAHABAT

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.(Surah Al-Anfal : ayat 2)

Rasulullah SAW telah melahirkan generasi pelapis dalam kalangan para sahabat yang cukup luar biasa. Keimanan para sahabat terhadap Allah dan Rasul-Nya begitu menggunung, keseluruhan hidup diserahkan untuk memakmurkan Islam di atas muka bumi. Umum mengetahui, Rasulullah SAW diutuskan di tengah masyarakat jahiliah. Kesesatan akidah yang jelas punca mereka jauh dari fitrah iman dan Islam. Maka Rasulullah SAW telah memulakan strategi dakwah Baginda dengan memantapkan akidah para sahabat terlebih dahulu. Kesan pemantapan akidah ini memudahkan pelaksanaan syariat Islam di samping melahirkan generasi sahabat yang berprinsip. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :
“Katakanlah : “Hai orang-orang kafir!  Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (Surah Al-Kafirun : ayat 1-2)

Sejarah perjuangan Islam dipenuhi dengan pengorbanan para sahabat, hasil tarbiah imaniah oleh Rasulullah SAW. Mereka memanifestasikan keimanan dengan  membelanjakan harta dan menyerahkan jiwa mereka semata-mata untuk perjuangan Islam. Maka lahirlah para sahabat seperti  Abu Bakar, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi yang kita ketahui akan pengorbanan mereka dalam meninfakkan harta mereka untuk Islam. Pepatah arab ada mengatakan :

“Tiada dakwah kecuali dengan perjuangan, dan tiada perjuangan kecuali dengan pengorbanan.”

Hasil tarbiah yang diberikan Rasulullah SAW inilah yang menjadikan para sahabat generasi awal sebagai teras utama dan tulang belakang kepada perjuangan Islam. Mereka tetap istiqamah memperjuangkan Islam menentang musuh-musuh Islam sehingga akhir hayat mereka dan menjadi pewaris kepada gerak kerja Nabi SAW.

Rasulullah mengiktiraf kemuliaan mereka di dalam sabdanya kepada Imran bin Husain RA :
Maksudnya : Sebaik-sebaik  umatku  adalah mereka yang hidup di zamanku (iaitu sahabat). Kemudian mereka (iaitu tabi’in) yang hidup mengikuti (manhaj hidup) sahabatku, kemudian mereka (iaitu tabi’ tabi’in) yang hidup selepas tabi’in. [Riwayat Bukhari]

Meneliti realiti hidup siswa kini, sungguh kita sangat jauh dari hakikat hidup sebagai pejuang Islam. Cara hidup Islam hilang entah kemana, ideologi rosak berleluasa. Maka perlu kepada satu kesedaran dalam diri kita khususnya pelajar Pengajian Islam untuk kita hidupkan kesedaran Islam melalui pentarbiahan seperti generasi-generasi terdahulu.

Disediakan oleh :

Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2018/2019.

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, April 04, 2019

SEJAUH MANAKAH KITA - Minda Siswa Siri 9




SEJAUH MANAKAH KITA?

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

Dan kami telah ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, untuk memelihara kamu dalam peperanganmu: maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah).
(Surah Al-Anbiya : ayat 80)

Ayat di atas jelas menunjukkan salah satu mukjizat yang diterima oleh Nabi Daud AS adalah penguasaan besi, dan sirah juga ada merakamkan antara orang yang terawal yang mampu menguasai besi ini sendiri adalah Nabi Daud AS. Dalam al-Quran juga ada merakamkan tentang kekekuatan dan kehebatan besi yang boleh kita ambil manfaat darinya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud :

“…kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan yang hebat dan banyak manfaat bagi manusia, dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya …”
(Surah Al-Hadid : ayat 25)

Realiti pada hari ini, kemahiran besi dan teknologi ini banyak dikuasai oleh orang bukan Islam atau orang barat. Yang mana dengan besi ini mereka mampu mencipta pelbagai alatan dan kenderaan untuk berperang melawan umat Islam itu sendiri. Seperti yang sedang berlaku di Gaza sejak kebelakangan ini, banyak darah umat Islam ditumpahkan dengan begitu mudah sekali dengan menggunakan teknologi-teknologi yang mereka kuasai. Sedangkan kalau kita soroti kisah para nabi terdahulu, umat Islam terlebih dahulu menguasai besi dan teknologi-teknologi yang lain.

Seperti contoh, teknologi optik yang satu ketika dahulu diciptakan oleh Ibnu Al-Haitham dan ramai lagi tokoh-tokoh  dan ilmuan Islam. Tetapi malangnya, kesemua kemahiran itu banyak dikuasai oleh orang bukan Islam pada hari ini.

Mengapa perkara sebegini boleh berlaku? Tepuk dada tanya iman?

Sejauh manakah kita mengambil ibrah atau ilmu yang pernah diwariskan kepada kita?

Sejauh manakah keinginan atau kemahuan kita dalam mengkaji dan membaca sejarah-sejarah Islam? 

Sejauh manakah kita ingin bertindak untuk mengembalikan Islam ditampuk pemerintahan yang agung

Semua jawapan itu terletak pada diri kita!

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengkaji sirah dan mengambil ibrah daripadanya, serta berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah di samping bergerak dalam kesatuan Islam supaya dapat mengembalikan keagungan Islam.

Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan

Disediakan oleh :
Nazatul Nabilah binti Nazri
Timbalan Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan
BKASM sesi 2018/2019

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM