Khamis, April 11, 2019

TARBIAH GENERASI SAHABAT - Minda Siswa Siri 10






TARBIAH GENERASI SAHABAT

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.(Surah Al-Anfal : ayat 2)

Rasulullah SAW telah melahirkan generasi pelapis dalam kalangan para sahabat yang cukup luar biasa. Keimanan para sahabat terhadap Allah dan Rasul-Nya begitu menggunung, keseluruhan hidup diserahkan untuk memakmurkan Islam di atas muka bumi. Umum mengetahui, Rasulullah SAW diutuskan di tengah masyarakat jahiliah. Kesesatan akidah yang jelas punca mereka jauh dari fitrah iman dan Islam. Maka Rasulullah SAW telah memulakan strategi dakwah Baginda dengan memantapkan akidah para sahabat terlebih dahulu. Kesan pemantapan akidah ini memudahkan pelaksanaan syariat Islam di samping melahirkan generasi sahabat yang berprinsip. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :
“Katakanlah : “Hai orang-orang kafir!  Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. (Surah Al-Kafirun : ayat 1-2)

Sejarah perjuangan Islam dipenuhi dengan pengorbanan para sahabat, hasil tarbiah imaniah oleh Rasulullah SAW. Mereka memanifestasikan keimanan dengan  membelanjakan harta dan menyerahkan jiwa mereka semata-mata untuk perjuangan Islam. Maka lahirlah para sahabat seperti  Abu Bakar, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi yang kita ketahui akan pengorbanan mereka dalam meninfakkan harta mereka untuk Islam. Pepatah arab ada mengatakan :

“Tiada dakwah kecuali dengan perjuangan, dan tiada perjuangan kecuali dengan pengorbanan.”

Hasil tarbiah yang diberikan Rasulullah SAW inilah yang menjadikan para sahabat generasi awal sebagai teras utama dan tulang belakang kepada perjuangan Islam. Mereka tetap istiqamah memperjuangkan Islam menentang musuh-musuh Islam sehingga akhir hayat mereka dan menjadi pewaris kepada gerak kerja Nabi SAW.

Rasulullah mengiktiraf kemuliaan mereka di dalam sabdanya kepada Imran bin Husain RA :
Maksudnya : Sebaik-sebaik  umatku  adalah mereka yang hidup di zamanku (iaitu sahabat). Kemudian mereka (iaitu tabi’in) yang hidup mengikuti (manhaj hidup) sahabatku, kemudian mereka (iaitu tabi’ tabi’in) yang hidup selepas tabi’in. [Riwayat Bukhari]

Meneliti realiti hidup siswa kini, sungguh kita sangat jauh dari hakikat hidup sebagai pejuang Islam. Cara hidup Islam hilang entah kemana, ideologi rosak berleluasa. Maka perlu kepada satu kesedaran dalam diri kita khususnya pelajar Pengajian Islam untuk kita hidupkan kesedaran Islam melalui pentarbiahan seperti generasi-generasi terdahulu.

Disediakan oleh :

Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar
Ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2018/2019.

#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan