SELAMAT DATANG KE LAMAN RASMI

BADAN KEBAJIKAN ANAK SELANGOR MESIR SESI 2016/2017

" "

Selasa, Jun 25, 2019

HARI INI DALAM SEJARAH BKASM | KESATUAN ISLAM BKASM YANG SUDAH BERUSIA 54 TAHUN

25 Jun 1965, Kaherah : Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi seluruh anak-anak Selangor di pelembahan Nil apabila tertubuhnya satu kesatuan Islam anak-anak Selangor di Mesir.

Hari ini merupakan ulang tahun penubuhan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).

BKASM yang lahir daripada 'rahim' PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) ditubuhkan atas inisiatif mahasiswa dan mahasiswi Selangor yang belajar di sini.

Antara kejayaan terbesar BKASM adalah keterlibatannya dalam mewujudkan asrama dan penempatan bagi anak-anak Selangor di sini iaitu Asrama Rumah Selangor di Rabaah dan Hayyu Asyir.

Sejak penubuhannya, BKASM yang dinaungi oleh Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi Selangor terus terjamin. BKASM juga menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyalurkan kebajikan kepada ahli-ahlinya.

Walaupun pernah dibekukan pada tahun 2005, BKASM terus melangkah bagi memastikan risalah Islam sampai kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pelajaran di sini.

Kini, Ustaz Nabil Rusyaidi bin Ramli merupakan Yang Dipertua BKASM kali yang ke-39 yang diamanahkan bagi menakhodai bahtera BKASM ini.

Semoga dengan ulangtahun BKASM kali yang ke-54 ini menjadikan BKASM terus matang membawa agenda Islam dalam memastikan mahasiswa dan mahasisiwi Selangor khususnya, terus berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang pendakwah Islam.


"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Penerangan dan Penerbitan
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Isnin, Jun 17, 2019


[ IHTIRAM '19 & FITRI '19 | INJEKSI TARBIAH DAN UKHUWAH SIMULASI WEHDAH ]

4 MEI - 5 JUN 2019, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 telah berjaya mengadakan dua program mega iaitu Ihya' Tarbawi Ramadan 2019 (IHTIRAM '19) dan Indahnya di Aidilfitri 2019 (FITRI '19).

IHTIRAM '19 yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan lalu, telah menyusun beberapa aktiviti berfokuskan peningkatan tarbiah dan thaqafah ahli. Kelainan Ramadan pada tahun ini disambut bersama musim peperiksaan bagi fasa ke-2. IHTIRAM '19 menyusun program sebaiknya supaya ahli-ahli BKASM terus menumpukan pencapaian akademik tanpa mengabaikan kelebihan Ramadan sebagai madrasah tarbiah melalui penyertaan program-program yang telah disusun.

Antara program-program IHTIRAM '19 yang berjaya dilaksanakan ialah Muhadarah Ammah, Sahur dan Iftar Jamaie, Solat Tarawih di masjid berdekatan, bacaan ilmiah berkaitan puasa, aktiviti Juadah Mahabbah, Kempen Ruhban Fillail, tadarus dan Majlis Khatam Al-Quran.

Terdapat beberapa aktiviti yang dijalankan dengan kerjasama unit dan lajnah dalam BKASM antaranya Bicara Ramadan dan aktiviti Syantoh dan Hibbah Ramadan. Kedua-dua aktiviti ini dijayakan dengan kerjasama Lajnah Kebajikan. Manakala Tayangan Ilmiah telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Unit Biah Solehah dan Unit Nadi Ukkaz. Kesemua aktiviti ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ahli sekalipun dalam fasa peperiksaan.

Pada 5 Jun 2019, Majlis Penangguhan IHTIRAM '19 dan Perasmian FITRI '19 telah berjaya diadakan. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam & Pendidikan.

Program FITRI '19 dimulakan dengan program ambang raya iaitu "Kembara Musa : Panduan dari Al-Kahfi" yang disampaikan oleh saudara Muhammad Afham bin Sahrom, mahasiswa kuliah Bahasa Arab.

Antara program yang menarik yang diadakan dalam program FITRI '19 ini ialah Ziarah Mahabbah dan rewang raya. Turut diadakan Majlis Rumah Terbuka BKASM dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Majlis Penutupan FITRI '19 telah disempurnakan oleh saudara Muhammad Nazim bin Mohd Sahaimi, Penasihat BKASM sesi 2018/2019 yang diadakan di Musolla Darul Ehsan. Majlis diakhiri dengan persembahan nasyid daripada beberapa ahli BKASM dalam kalangan USMB.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini dapat meningkatkan ukhuwah dan kebersamaan ahli BKASM. Di samping itu  ahli juga dapat meningkatkan tarbiah dan thaqafah di dalam diri dengan menghadiri program-program yang dianjurkan.


"Madrasah Ramadan Ditelusuri Meraih Ketakwaan Hakiki"
"Sinar Lebaran Nikmat Perjuangan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha,
IHTIRAM '19 dan FITRI '19,
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Jumaat, Jun 14, 2019

PARIT KEMENANGAN UMAT ISLAM - Minda Siswa Siri 15


        PARIT KEMENANGAN UMAT ISLAM

Firman Allah SWT : “ Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan hilir (tempat pertahanan) kamu, dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah serta hati kamu resah gelisah, dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat”.
(Surah al-Ahzab : ayat 10 -11)

Perang Ahzab menggambarkan kepada kita situasi genting yang dihadapi Rasulullah SAW dan umat Islam dalam mepertahankan kedaulatan Islam. Kelompok Ahzab disertai oleh golongan yahudi yang merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah SAW, mereka turut mendapat sokongan oleh orang munafik yang benci dengan perjuangan Islam. 
Situasi ini mengingatkan kita bahawa Islam kini juga ditekan oleh pelbagai situasi sebagai contoh peperangan yang berlaku di Palestin, Syria dan sekitarnya malah kita juga diserang oleh serangan ideologi seperti sekularisme, liberalisme, pluralisme dan lain–lain. 

Peperangan ini menunjukkan kebijaksanaan ketua dan sokongan ahli dalam menyelesaikan masalah. Kita dapat menyaksikan Rasulullah SAW dan para sahabat berusaha untuk mempertahankan Islam dengan membuat kubu disekeliling Madinah hasil daripada cadangan Salman al-Farisi yang telah disepakati bersama melalui syura.

Seterusnya, ketokohan seorang ketua Islam dalam membantu ahli dalam susah dan senang digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika bersama-sama dengan para sahabat dalam menggali parit. Ini membezakan Rasulullah SAW dengan tokoh biasa yang hanya melihat daripada jauh atau hanya berada di bilik–bilik gerakan. Oleh yang demikian, ukhuwah umat Islam menjadi lebih erat dan mereka menjadi lebih semangat untuk memberi sumbangan kepada Islam walau diuji dengan pelbagai ancaman. 

Umat Islam kini perlu mengambil iktibar daripada kisah–kisah sejarah yang pernah melanda umat Islam pada suatu ketika dahulu. Watak kisah akan berubah kerana telah bertukar zaman tetapi perwatakan akan kembali berulang. Moga kita menjadi anak panah Islam yang setia mempertahankan Islam dikala Islam di bawah atau di atas.

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Nurul Hafizah binti Haron
Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM