Selasa, Julai 30, 2019

[ ROADSHOW '19 | PEMUDA RABBANI PENERUS GENERASI ]

8-17 JULAI 2019 - Selangor, Malaysia : Program Baktisiswa Mesir 2019 (ROADSHOW '19) merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) untuk memberikan pendedahan awal berkenaan Al-Azhar dan Mesir kepada pelajar-pelajar STAM. Bagi tahun 2019, beberapa buah sekolah yang mempunyai calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) adalah menjadi sasaran.

ROADSHOW '19 yang diketuai oleh saudara Muhammad Syukri bin Rosli ini bertujuan untuk berkongsi ilmu tentang kaedah penggunaan bahasa Arab yang baik melalui aktiviti yang dijalankan selain memberi motivasi melalui perkongsian pengalaman belajar di Al-Azhar dan Mesir dalam meningkatkan semangat dan kecemerlangan pelajar.

Tema program pada kali ini adalah "Pemuda Rabbani Penerus Generasi" serta berkonsepkan "motivasi". Dua slot utama disediakan untuk para pelajar bagi menjayakan dua objektif utama program.

Slot pertama adalah 'Maan Nanjah'. Para pelajar diberikan pendedahan kaedah membaca teks selain teknik-teknik menguasai tatabahasa Arab. Manakala slot kedua 'Ardhul Kinanah' berbentuk bual bicara bersama para mahasiswa dan graduan al-Azhar dengan memberi motivasi serta galakan menuju kecemerlangan berdasarkan pengalaman mereka sendiri belajar di Al-Azhar.

Program ini juga meletakkan aktiviti Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) sebagai medan untuk menjayakan lagi objektif yang telah dinyatakan. Tidak ketinggalan, pihak program ada menyediakan pameran berkenaan Universiti Al-Azhar serta BKASM sendiri untuk memberikan gambaran kehidupan sebagai mahasiswa Al-Azhar di Perlembahan Nil.

Alhamdulillah, dengan izin Allah ROADSHOW ‘19 berkesempatan menghadiri tujuh buah sekolah agama bagi menjalankan program ini. Sekolah-sekolah yang terlibat pada kali ini ialah :

1. Sekolah Agama Menengah Muhammadiah, Pekan Sabak pada 8 Julai 2019.

2. Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Batu 38, Sabak Bernam pada 9 Julai 2019.

3. Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sabak Bernam pada 10 Julai 2019.

4. Sekolah Agama Menengah Jeram, Batu 20, Kuala Selangor pada 11 Julai 2019.

5. Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 15 Julai 2019

6. Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Sekolah Kluster Kecemerlangan, Kampong Jawa, Klang pada 16 Julai 2019.

7. Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Sg Manggis, Banting pada 17 Julai 2019.

Kedatangan kami juga disambut baik oleh pihak sekolah dengan harapan agar program ini dijalankan lagi pada tahun seterusnya supaya dapat meningkatkan semangat dan motivasi dalam diri para pelajar STAM untuk mencapai kejayaan seterusnya melanjutkan pengajian ke Mesir.

Akhir kata, pihak penganjur merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan Program Baktisiswa Mesir 2019 pada tahun ini. Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada pihak sekolah, para penggerak serta pelajar-pelajar STAM yang membantu menjayakan program pada kali ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga usaha kita bersama diredhai dan diberkati Allah SWT serta mendapat ganjaran daripada-Nya.


“Pemuda Rabbani Penerus Generasi”
“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Disediakan oleh :
Setiausaha
Program Baktisiswa Mesir 2019 (ROADSHOW '19)
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan