Selasa, Julai 02, 2019

[ TREMCO IMTIHAN : TERUS KOMITED MENJAGA KEBAJIKAN AHLI ]

25 MEI - 27 JUN 2019, KAHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 di bawah Lajnah Sambutan dan Rehlah dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir masih meneruskan penyediaan perkhidmatan Tremco Imtihan bersempena peperiksaan fasa dua yang telah berakhir pada beberapa hari yang lalu. Perkhidmatan Tremco Imtihan ini disediakan khusus buat seluruh ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.

Antara objektif perkhidmatan Tremco Imtihan ini disediakan ialah memudahkan perjalanan ahli untuk ke kuliah sepanjang musim peperiksaan serta mengeratkan ukhuwah dan sikap cakna sesama ahli. Selain itu, dapat memberi semangat kepada ahli BKASM yang menghadapi peperiksaan di samping menjayakan pembawaan BKASM pada sesi ini iaitu 'Mengukuhkan Kebajikan Tunjang Kesatuan'.

Perkhidmatan Tremco Imtihan yang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi Pengajian Islam dan Ulum Islamiah ini telah berlangsung sebanyak dua sesi dalam bulan Ramadan dan tiga sesi pada bulan Syawal. Sesi pertama pada jam 7.00 pagi dan sesi kedua pada jam 10.00 pagi seterusnya sesi ketiga khusus buat akhawat pada jam 12.30 tengah hari yang bertempat sepenuhnya di Asrama Rumah Selangor Hayyu Asyir.

Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pihak, Tremco Imtihan fasa dua kali ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Justeru itu, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penggerak Tremco Imtihan sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakannya sepanjang musim peperiksaan. Semoga dengan adanya kemudahan perkhidmatan Tremco Imtihan ini serba sedikit dapat membantu ahli dan mudah-mudahan dapat diteruskan lagi pada sesi akan datang.

Akhirnya, semoga imtihan pada tahun ini menatijahkan kejayaan kepada seluruh ahli Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir.


"Mengukuhkan Kebajikan Tunjang Kesatuan"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Lajnah Sambutan dan Rehlah
BKASM sesi 2018/2019 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan