Isnin, Ogos 19, 2019

[ SAEIDHA ’19 : PENGORBANAN MANIFESTASI KETAATAN ]





[ SAEIDHA ’19 : PENGORBANAN MANIFESTASI KETAATAN ]

10 - 14 OGOS 2019, KAHERAH - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019
telah menganjurkan Sambutan Eidul Adha 2019 (SAEIDHA ’19) dengan jayanya. Program ini telah berlangsung selama 5 hari, padat dengan aktiviti yang disusun oleh SAEIDHA ‘19.

Pada hari pertama, 10 Ogos 2019 di sebelah petang, Program Sambutan Eidul Adha 2019 telah dimulakan dengan slot Ambang SAEIDHA '19 iaitu pengisian yang berbentuk Muhadharah Ammah. Slot ini telah membedah sebuah kitab bertajuk 'Al Ilmu Fil Islam' yang dikarang oleh Sheikh Ali Abdul Basit Muzid dan disampaikan oleh Sheikh Ali Abdul Basit Muzid sendiri.

Program diteruskan dengan jamuan Iftar Jamaie selepas Mahgrib sebelum diteruskan dengan Majlis Perasmian. Majlis Perasmian telah dimulakan dengan ucapan Pengarah SAEIDHA’19 iaitu Ustaz Amirol Akmal bin Mat Jelani dan diserikan lagi dengan ucapan Perasmian daripada Yang Dipertua BKASM Ustaz Nabil Rusyaidi bin Ramli.

Hari kedua, 11 Ogos 2019, program dimulakan dengan Solat Sunat Aidiladha di Suq Sayyarat. Aktiviti pagi raya dimeriahkan lagi dengan Ziarah Raya SAEIDHA '19, Korus ke Asrama bagi ikhwah dan Asrama ke Korus bagi akhawat.

Hari ketiga, 12 Ogos 2019, program diteruskan dengan Kursus Tajhiz Jenazah yang dikelolakan oleh Lajnah Dakwah dan Tarbiah dengan kerjasama SAEIDHA '19. Kursus ini mengandungi slot teori dan praktikal dan mendapat sambutan yang sangat baik. Seterusnya, pada pukul 2 petang, satu pengisian kesihatan telah diadakan yang berbentuk Bicara Santai bertajuk “Pengenalan 3 Penyakit Serangkai : Apa Kata Doktor?” yang disampaikan oleh Doktor Mohamad Naqieb bin Mohammad, Ketua Jabatan Setiausaha Perubatan Cawangan Al-Azhar sesi 2019/2020. Seterusnya, selepas solat Isya’, telah diadakan Persiapan Gotong-Royong Korban dan Melapah seperti mendirikan khemah, persiapan tempat untuk melapah dan memotong.

Hari keempat, 13 Ogos 2019, seawal jam 5.45 pagi telah diadakan Taklimat Gotong-Royong Korban dan Melapah. Aktiviti diteruskan lagi dengan Gotong Royong Korban dan Melapah serta aktiviti memasak. Pada sebelah petang, telah diadakan Jamuan Ringan serta agihan daging korban dan gotong-royong pembersihan.

Hari kelima, 14 Ogos 2019, program hampir melabuhkan tirainya dengan meneruskan Majlis Penutupan SAEIDHA ’19 yang dirasmikan oleh Pegawai Atase Pendidikan Selangor Ustaz Hj. Mohd Yasser bin Abdul Ghani serta sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan “Create Your Caption” bagi ikhwah dan akhawat yang telah diadakan sepanjang SAEIDHA ’19. Program berakhir pada jam 6.00 petang, dengan jamuan raya yang telah dihadiri oleh ahli BKASM, wakil daripada Badan Kebajikan Anak Negeri, delegasi Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri serta delegasi Pegawai Atase Pendidikan Negeri beersama Pegawai Education Malaysia Egypt (EME).

Akhir kalam, semoga penganjuran Sambutan Eidul Adha 2019 (SAEIDHA ’19) pada tahun ini bukan sahaja menjadi wasilah dalam memupuk ukuwah Islamiah dalam kalangan ahli BKASM, bahkan ia juga memberi satu nilai yang positif dari pelbagai sudut kepada setiap ahli. Di samping itu juga, moga program ini dapat mengisi rohani setiap ahli dalam memahami dan menghayati konsep pengorbanan yang sebenar dalam Islam.


“Pengorbanan Manifestasi Ketaatan”
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Sambutan Eidul Adha 2019 (SAEIDHA '19)
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Khamis, Ogos 15, 2019

[ KURSUS PENGURUSAN JENAZAH | ILMUAN BERBAKTI PENERUS LEGASI ]


[ KURSUS PENGURUSAN JENAZAH | ILMUAN BERBAKTI PENERUS LEGASI ]

12 OGOS 2019, Kaherah - Lajnah Dakwah dan Tarbiah di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 dengan kerjasama Sambutan Eidul Adha 2019 (SAEIDHA’19) telah mengadakan ‘Kursus Pengurusan Jenazah’ untuk semua ahli BKASM bertempat di Musolla Darul Ehsan.

Kursus ini dilaksanakan bagi menambah thaqafah ahli di samping melahirkan ahli yang mahir dalam pelbagai aspek pengurusan terutamanya pengurusan jenazah. Sudah sedia maklum bahawa hukum menguruskan jenazah adalah fardu kifayah yang menjadi kewajipan kepada mereka yang masih hidup untuk menguruskan jenazah dari awal hingga proses pengebumian.

Kursus bermula sekitar jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 1.00 petang, dimulakan dengan ‘Teori Pengurusan Jenazah’ yang disampaikan oleh Ustaz Luqmanulhafiz bin Mohd Amir, Ketua Unit Thaqafah BKASM sesi 2018/2019. Pengisi menerangkan hukum-hukum dan perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika seorang pesakit hampir meninggal lalu menjelaskan kewajipan-kewajipan yang utama dalam menguruskan jenazah. Kursus diteruskan lagi dengan ‘Praktikal Pengurusan Jenazah’ yang diketuai oleh pengisi kursus ini sendiri dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mustafid bagi sebelah ikhwah. Manakala Ustazah Nuramalina Anas binti Razak bersama Ustazah Nurul Saadah binti Ramdzan mengetuai praktikal pengurusan jenazah bagi sebelah akhawat.

Setelah selesai slot praktikal, pengisi membuka sesi soal jawab kepada semua peserta berkaitan permasalahan pengurusan jenazah, hukum-hukum fiqh dan isu semasa yang berkaitan. Setelah selesai sesi soal jawab, pihak penganjur dengan penuh rasa takzimnya menjemput ustaz Nabil Rusyaidi bin Ramli selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 untuk menyampaikan cenderahati kepada pengisi. Kursus diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta secara berasingan. Hal ini bagi melestarikan ‘Biah Solehah’ yang subur dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di sini.

Harapan kami, semoga melalui kursus yang dijalankan ini dapat memberikan impak yang baik kepada semua ahli demi menambah thaqafah bagi melahirkan generasi yang bersedia terutamanya dalam memenuhi tuntutan masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

“Bertolong-tolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong- tolong dalam membuat dosa dan bertakwalah kepada Allah.”


"Ilmuan Berbakti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemkiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Kursus Pengurusan Jenazah
Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM