Khamis, Ogos 15, 2019


[ KURSUS PENGURUSAN JENAZAH | ILMUAN BERBAKTI PENERUS LEGASI ]

12 OGOS 2019, Kaherah - Lajnah Dakwah dan Tarbiah di bawah Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2018/2019 dengan kerjasama Sambutan Eidul Adha 2019 (SAEIDHA’19) telah mengadakan ‘Kursus Pengurusan Jenazah’ untuk semua ahli BKASM bertempat di Musolla Darul Ehsan.

Kursus ini dilaksanakan bagi menambah thaqafah ahli di samping melahirkan ahli yang mahir dalam pelbagai aspek pengurusan terutamanya pengurusan jenazah. Sudah sedia maklum bahawa hukum menguruskan jenazah adalah fardu kifayah yang menjadi kewajipan kepada mereka yang masih hidup untuk menguruskan jenazah dari awal hingga proses pengebumian.

Kursus bermula sekitar jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 1.00 petang, dimulakan dengan ‘Teori Pengurusan Jenazah’ yang disampaikan oleh Ustaz Luqmanulhafiz bin Mohd Amir, Ketua Unit Thaqafah BKASM sesi 2018/2019. Pengisi menerangkan hukum-hukum dan perkara-perkara yang perlu dilakukan ketika seorang pesakit hampir meninggal lalu menjelaskan kewajipan-kewajipan yang utama dalam menguruskan jenazah. Kursus diteruskan lagi dengan ‘Praktikal Pengurusan Jenazah’ yang diketuai oleh pengisi kursus ini sendiri dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Hazim bin Mustafid bagi sebelah ikhwah. Manakala Ustazah Nuramalina Anas binti Razak bersama Ustazah Nurul Saadah binti Ramdzan mengetuai praktikal pengurusan jenazah bagi sebelah akhawat.

Setelah selesai slot praktikal, pengisi membuka sesi soal jawab kepada semua peserta berkaitan permasalahan pengurusan jenazah, hukum-hukum fiqh dan isu semasa yang berkaitan. Setelah selesai sesi soal jawab, pihak penganjur dengan penuh rasa takzimnya menjemput ustaz Nabil Rusyaidi bin Ramli selaku Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 untuk menyampaikan cenderahati kepada pengisi. Kursus diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta secara berasingan. Hal ini bagi melestarikan ‘Biah Solehah’ yang subur dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di sini.

Harapan kami, semoga melalui kursus yang dijalankan ini dapat memberikan impak yang baik kepada semua ahli demi menambah thaqafah bagi melahirkan generasi yang bersedia terutamanya dalam memenuhi tuntutan masyarakat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

“Bertolong-tolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu bertolong- tolong dalam membuat dosa dan bertakwalah kepada Allah.”


"Ilmuan Berbakti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemkiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Setiausaha
Kursus Pengurusan Jenazah
Lajnah Dakwah dan Tarbiah
BKASM sesi 2018/2019


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

0 comments:

Catat Ulasan