Sabtu, Oktober 26, 2019




[ MARJAN ’19 l GENERASI PERMATA ISLAM ]

17 OKTOBER 2019, KHAMIS dan 19 OKTOBER 2019, SABTU – KAHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) buat julung-julung kalinya telah mengadakan satu program mega gabungan antara Haflah Najihin dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-44 di bawah satu nama iaitu MARJAN ’19.

Program yang telah diadakan pada 17 Oktober 2019 bermula dengan Haflah Najihin yang bertempat di Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabi’. Program ini diadakan bertujuan meraikan kejayaan para graduan dan graduanita pengajian Islam BKASM serta mahasiswa dan mahasiswi cemerlang pengajian Islam dan Perubatan di samping menyuntik semangat para mahasiswa dan mahasiswi untuk sentiasa komited dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu sehingga menatijahkan kejayaan untuk Islam.

Program berlangsung dengan pengisian Muhadharah Ammah oleh Syeikh Habibullah Hassan Ahmad yang bertajuk “Peranan Pemuda dan Mahasiswa dalam Masyarakat Muslim." Program yang sudah dilaksanakan sebanyak empat sesi ini sentiasa mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada seluruh ahli BKASM dengan penyertaan seramai 125 mahasiswa dan mahasiswi cemerlang pengajian Islam dan Perubatan serta 48 graduan dan graduanita pengajian Islam.

Program kemudian diteruskan dengan ucapan daripada wakil graduan dan graduanita BKASM. Antara intipati ucapan yang disampaikan adalah sentiasa bersungguh dalam menuntut ilmu di samping berusaha melaksanakan gerak kerja persatuan supaya seimbang amal Islami yang dituntut sebagai mahasiswa Islam.

Seterusnya, penyampaian hadiah oleh Lajnah Pendidikan sebagai tanda penghargaan buat guru tutor, mentor Huffaz dan ketua syukbah. Program diakhiri dengan slot penyampaian Anugerah Khas oleh Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-44 kepada penerima Anugerah Sultan Muhammad al-Fateh dan Saidatina Fatimah binti Muhammad (Tunas Harapan), Anugerah Muaz bin Jabal dan Saidatina ‘Aisyah RA (Ilmuwan Muda), serta Anugerah Abu Ayub al-Ansori dan Nusaibah binti Ka’ab (Aktivis).

19 OKTOBER 2019, KAHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir sesi 2018/2019 telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-44 yang telah diadakan di Dewan American Future School, Hayyu ‘Asyir. Program yang pertama kalinya diadakan di luar ini telah melibatkan seluruh ahli BKASM yang berada di Kaherah mahupun Muhafazah dengan jumlah kehadiran ahli seramai 239 akhwat dan 168 ikhwah.

Antara objektif program ini dilaksanakan adalah untuk memperkasakan kebersamaan ahli dan pimpinan melalui medium menyuarakan pandangan, cadangan dan muhasabah demi kelangsungan BKASM serta dapat menambah thaqafah melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan di samping memanfaatkan mesyuarat sebagai wasilah tarbiah bagi pimpinan dan juga ahli.

Sebelum berlangsungnya MAT kali ke-44, beberapa aktiviti Ambang MAT telah berjaya dilaksanakan antaranya pengisian Tazkirah Subuh Khas yang bertajuk "Amar Makruf Nahi Mungkar Tanggungjawab Bersama" oleh Ustaz Mohd Sharul bin Malek yang bertempat di Musolla Darul Iman, Asrama Rumah Terengganu dengan kerjasama Biro dakwah KPT dan Lajnah Dakwah dan Tarbiah BKASM sesi 2018/2019, munajat MAT kali ke-44 dengan pelaksanaan solat hajat dan bacaan hizib bahar.

Ketika hari berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-44, majlis dimulakan dengan persembahan khas iaitu Dikir Zikir daripada wakil ahli BKASM. Di samping itu, turut diselitkan dengan pengisian berkaitan sejarah dan perlembagaan BKASM yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Auzaie bin Roslan.

Agenda besar mesyuarat seperti pengesahan Minit Mesyuarat kali ke-43 oleh Jabatan Setiausaha Agung, pembentangan laporan bagi setiap Lajnah dan Jabatan BKASM, pembentangan dan perbahasan usul, serta muhasabah dan cadangan umum daripada ahli kepada BKASM telah mendapat respons yang cemerlang daripada seluruh ahli mesyuarat.

Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada wakil pengarah program mega BKASM dan wakil AJKT BKASM bagi sesi 2018/2019. Sebelum pengumuman AJKT baru daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya BKASM 2019 (SPR BKASM 2019), ucapan penutupan daripada wakil penasihat, YDP dan TYDP II telah disampaikan bagi menutup tirai bahtera BKASM sesi 2018/2019.

Agenda yang dinantikan iaitu pengumuman AJKT baru daripada SPR BKASM 2019 yang disampaikan oleh ustaz Mohd Faiz bin Ismail Shah. Seramai 9 orang calon AJKT ikhwah dan 8 orang AJKT akhawat serta Yang Dipertua BKASM menang tanpa bertanding.

Mesyuarat Agung Tahunan BKASM kali ke-44 telah diakhiri dengan ucapan sulung daripada Ustaz Muhammad Syukri bin Rosli, Yang Dipertua BKASM sesi 2019/2020 beserta tayangan video program sepanjang sesi 2018/2019 dan nyanyian lagu Bersama Bersatu dan PMRAM.

Semoga pelaksanaan mesyuarat ini menatijahkan kesatuan ahli BKASM bagi meneruskan survival legasi pimpinan dan ahlinya di samping mempertahankan wadah kesatuan anak-anak Selangor di Mesir khususnya pada masa hadapan.


"Syura diberkati Kejayaan dihargai"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Setiausaha,
Haflah Najihin dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-44,
MARJAN ’19,
BKASM sesi 2018/2019.


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan