Rabu, April 29, 2020

[ MINDA SISWA | SIRI 4 : CINTA DAN PEMBUKTIAN IMAN ]


[ MINDA SISWA | SIRI 4 ]

CINTA DAN PEMBUKTIAN IMAN

Belakangan ini tersebar di media sosial sebuah klip video tentang peribadi Ummul Mukminin Saidatina Aisyah RA. Lagu berdurasi lebih kurang 3 minit itu berjaya menarik minat ramai dalam kalangan kita, buktinya klip video tersebut mendapat carta ‘trending’ dalam tempoh yang singkat dan ribuan pendengar yang berkongsi video tersebut di laman sosial masing-masing. Tidak kurang juga komentar-komentar yang menyatakan kecintaan dan keterujaan mereka pada lagu tersebut.

Persoalannya, adakah sekadar itu nilai cinta kita? Sekadar di dalam alunan lagu..

Ketokohan Saidatina Aisyah RA

Puteri Abu Bakar As-Siddiq RA adalah antara tokoh utama dalam perjalanan dakwah Islam khususnya dari sudut ilmu. Beliau terlibat secara langsung dalam perkembangan ilmu pengajian Islam terutamanya dalam bidang tafsir, hadis dan fikah. Hasilnya, ilmu tersebut menjadi rujukan utama dalam mendapatkan solusi bagi permasalahan di sepanjang zaman. Imam ‘Atho’ bin Abi Rabah berkata : “Aisyah RA adalah di antara manusia yang paling faqih, paling alim dan memiliki pandangan yang terbaik.”

Sungguh, terlalu banyak pedoman dan tauladan yang wajib kita amati daripada sosok Ummul Mukminin ini, bacalah dan kenalilah!

Ibarat cinta Ahli Kitab

Seringkali kita dipesan bahawa rasa cinta hadir dengan tanggungjawab. Kecintaan yang diekspresikan melalui alunan bait lagu atau puisi adalah masih jauh dari tahap sempurna sehinggalah dibuktikan dengan amal dan tindakan.

Jangan jadi seperti ahli kitab, mereka mahir berkaitan biografi dan ciri-ciri istimewa yang terdapat dalam diri Rasulullah SAW tetapi enggan mengikuti ajaran Nabi SAW. Para sahabat RA yang mendahului kita telah memberi contoh terbaik dalam membuktikan kejujuran cinta dan kasih mereka kepada Baginda SAW. Peperangan demi peperangan, kesakitan demi kesakitan. Semuanya diredah dengan penuh kesabaran dan keimanan, kerana cinta mereka bukan hanya sekadar gimik.

Wahai yang beriman, hentikan angan-angan.. buktikan iman!

Antara penyakit kronik yang menimpa umat akhir zaman ialah panjang angan-angan. Mereka angan-angan untuk bertemu Nabi SAW dengan membiarkan pedoman al-Quran berlalu pergi. Berubahlah walau dengan merangkak.

Jadikan ungkapan sayang kita kepada Nabi SAW dan ahli keluarganya sepadan dengan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Hadis.

Nabi SAW bersabda : “Aku sangat bahagia sekiranya bertemu dengan ikhwan (saudara-saudara) ku.” Para sahabat bertanya “Bukankah kami adalah ikhwanmu?” Nabi SAW  menjawab, “Kalian adalah sahabat-sahabatku, akan tetapi ikhwanku adalah golongan yang beriman sungguh denganku, dan mereka tidak sempat bertemuku.” [Riwayat Ahmad]

Jadikan Ramadan titik perubahan

Ramadan hadiah buat setiap hamba. Ia memberi nafas baru kepada pendosa dan bekalan 'senjata' buat pendakwah, itulah antara pembuktian cinta Allah SWT kepada sekalian makhluknya.

Pesan Baginda SAW : "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala (reda Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.” [Riwayat Bukhari]

Moga Ramadan kali ini disambut dengan iman yang benar pada Allah SWT. Buktikan cinta kita dengan amal!


"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Ustazah A’isyah binti Wahidan
(Timbalan Yang Dipertua II BKASM sesi 2019/2020)


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah

Tiada ulasan:

Catat Komen