Rabu, Julai 01, 2020

[ MINDA SISWA | SIRI 5 : HIKMAH DI SEBALIK UJIAN WABAK PANDEMIK COVID-19 ]


[ MINDA SISWA | SIRI 5 ]

HIKMAH DI SEBALIK UJIAN WABAK PANDEMIK COVID-19

Firman Allah SWT :

ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةٞ قَالُوٓاْ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ.

Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
(Surah Al-Baqarah : ayat 156)

Sebagai manusia kita semua tidak akan luput daripada ujian yang kecil mahupun besar. Namun, sebagai manusia yang waras akal fikirannya, kita mestilah mencari hikmah di setiap ujian yang menimpa kita.

Kini, dunia kita dilanda satu wabak yang baru dan sangat mencabar bagi kita untuk menghadapinya iaitu wabak COVID-19. Jadi, cara yang terbaik adalah dengan bersabar dan menerimanya dengan hati yang ikhlas.

Antara hikmah di sebalik ujian yang melanda dunia sekarang adalah Allah SWT ingin meningkatkan darjat dan keimanan kita sebagai hamba-Nya. Ada orang apabila ditimpa masalah, mereka semakin jauh dengan Allah SWT. Ada pula orang yang apabila datangnya ujian, dia akan mendekatkan lagi dirinya kepada Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita yakin bahawa tidak akan berlaku musibah itu kecuali dengan kehendak Yang Maha Pencipta.

Justeru, hakikat ujian yang menimpa diri kita ini adalah kerana sayangnya Allah SWT kepada kita semua. Allah SWT menurunkan sedikit ujian dan dugaan bagi menguji sejauh mana kita sanggup menghadapinya. Sekiranya kita bersyukur, maka Allah SWT akan hapuskan segala dosa-dosa kita semua dan sebaliknya.

Tidak lain dan tidak bukan adalah supaya kita tidak terus hanyut dengan maksiat dan dosa. Amat malang bagi kita sekiranya kita dibiarkan oleh Allah SWT begitu sahaja kerana sudah pasti kita akan mati dalam keadaan yang kufur, Na'uzubillahi min zalik.

Begitulah hebatnya Allah SWT mendidik jiwa hamba-Nya. Di sebalik ujian, dugaan dan musibah itu tersembunyi pelbagai hikmah dan rahmat yang besar. Hanya hati yang celik sahaja mampu melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.


"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Naqib bin Azhar
Ketua Lajnah Sambutan dan Rehlah BKASM sesi 2019/2020


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
#JubliZamrud55TahunBKASM

Tiada ulasan:

Catat Komen