Isnin, September 14, 2020

[ ZIARAH MAHABBAH BKASM BERSAMA TIMBALAN MUFTI SELANGOR ]


 

[ ZIARAH MAHABBAH BKASM BERSAMA TIMBALAN MUFTI SELANGOR ]

 

10 SEPTEMBER 2020, KHAMIS, SHAH ALAM - Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sesi 2019/2020 yang diwakili oleh beberapa orang Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) telah mengadakan Ziarah Mahabbah bersama Sahibus Samahah Dato’ Dr Haji Anhar bin Haji Opir, Timbalan Mufti Selangor bertempat di Pejabat Jabatan Mufti Negeri Selangor, Tingkat 7, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam.

 

Ziarah Mahabbah ini telah diketuai oleh Ustaz Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar, selaku Timbalan Setiausaha Agung I BKASM sesi 2019/2020 bersama beberapa wakil AJKT dan penasihat BKASM. Ziarah Mahabbah ini diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan BKASM bersama Jabatan Mufti Negeri Selangor di samping meminta nasihat tentang cabaran masa kini di negeri Selangor sebagai persediaan mahasiswa khususnya.

 

Beberapa nasihat dan pesanan yang telah dikongsikan oleh SS. Dato’ Timbalan Mufti Selangor :


1. Dunia kepimpinan sebenarnya mengajar kita melatih ketahanan diri dan bersama membimbing rakan-rakan ke arah kebenaran.

2. Ilmu merupakan aspek penting dalam mendepani sesebuah pertembungan dan masalah.

3. Mahasiswa perlu kreatif mengambil peluang untuk mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan.

4. Keperluan individu dalam mengukuhkan pegangan akidah bagi menangkis ajaran sesat dan ideologi yang salah.

5. Mahasiswa perlu berinteraksi dengan suasana realiti dan fleksibel dalam kelangsungan sesebuah gerak kerja.

6. Mahasiswa perlu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan manfaatkan segala ilmu yang diperoleh kepada masyarakat.

 

Ziarah Mahabbah ini diakhiri dengan penyerahan cenderahati daripada peringkat BKASM kepada Jabatan Mufti Negeri Selangor.  Pihak Jabatan Mufti juga telah menghadiahkan beberapa buah buku keluaran Jabatan Mufti Negeri Selangor kepada BKASM sebagai rujukan dan sebuah plak sebagai kenangan bagi aktiviti Ziarah Mahabbah yang telah diadakan.

 

Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Timbalan Mufti Selangor atas kesudian menerima Ziarah Mahabbah ini. Semoga hubungan di antara BKASM dan Jabatan Mufti Negeri Selangor terus terjalin kukuh dan agama Islam di negeri Selangor terus diperkasakan Insya-Allah.



"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"



Disediakan oleh :

Jabatan Setiausaha Agung (JASA)

BKASM sesi 2019/2020



#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

#JubliZamrud55TahunBKASM


Isnin, September 07, 2020

[ COVID-19 : BANTUAN BEKALAN MAKANAN ASASI | FASA KETIGA ]

 [ COVID-19 : BANTUAN BEKALAN MAKANAN ASASI | FASA KETIGA ]

22 MEI - 5 SEPTEMBER 2020, KAHERAH : Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor telah mengambil inisiatif untuk memberi bantuan bekalan makanan asasi kepada semua anak Selangor di Mesir berikutan penularan wabak COVID-19 ini. 

Alhamdulillah, edaran fasa ketiga kali ini berjalan dengan lancar dengan diwakili oleh setiap wakil rumah sewa ikhwah mahupun akhawat yang masih lagi berada di Mesir. Edaran ini juga melibatkan kawasan sekitar Walidain, Gamek, Bawabat, Sabiek dan juga Darrasah bermula dari tarikh 22 Mei sehingga 5 September 2020. Turut terlibat bersama Ustaz Muhamad Ariff bin Noorzali, Warden Asrama Rumah Selangor dan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) BKASM dalam aktiviti edaran tersebut. 

Firman Allah SWT : 

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ.

Maksudnya : "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan permusuhan." (Surah al-Maidah : ayat 2)

Alhamdulillah, ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan khususnya Pejabat Atase Pendidikan Selangor, bagi memastikan kebajikan anak-anak Selangor di Mesir sentiasa terjaga dalam berhadapan dengan wabak COVID-19 ini. Semoga segala kebaikan dibalas oleh Allah SWT.

Semoga dengan bantuan ini dapat membantu meringankan sedikit sebanyak beban semua anak Selangor dalam memastikan bekalan makanan asasi mencukupi sepanjang tempoh ini. 

Akhirnya, kita semua diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri di samping berdoa semoga Allah SWT mengangkat wabak ini daripada kita semua Insya-Allah.


“Kukuh Kebajikan Teguh Kesatuan”

“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan”


Jabatan Setiausaha Agung (JASA) BKASM sesi 2019/2020 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Selangor


#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

#JubliZamrud55tahunBKASM