Khamis, Oktober 08, 2020

[ MINDA SISWA | SIRI 7 : MENELADANI TARBIAH RASULULLAH SAW KEPADA PARA SAHABAT ]


 

[ MINDA SISWA | SIRI 7 ]


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


MENELADANI TARBIAH RASULULLAH SAW KEPADA PARA SAHABAT 


Firman Allah SWT :


الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِنْدَ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ 


Maksudnya : "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah, dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan."

(Surah At-Taubah : ayat 20)


Di dalam Kitab Tafsir Jalalain menerangkan bahawa orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah SWT dengan harta dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya iaitu kududukannya di sisi Allah SWT daripada orang yang selain mereka dan itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan.


Sirah Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyebarkan Islam menjadi tauladan yang dapat kita jadikan tamsilan, bahawa tarbiah dan keimanan yang kukuh mampu meninggalkan harta benda semata-mata untuk menyebarkan Islam ke serata pelusuk dunia.


Dengan pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh para sahabat adalah sebuah kejayaan hasil tarbiah daripada Rasulullah SAW. Mereka memanifestasikan keimanan dengan membelanjakan harta dan menyerahkan jiwa mereka semata-mata untuk menyebarkan Islam. Maka, melalui tarbiah inilah lahirnya para sahabat seperti Abu Bakar RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman bin Affan RA, Ali bin Abi Talib RA dan ramai lagi para sahabat yang kita ketahui akan pengorbanan mereka dalam menginfakkan harta dan jiwa mereka untuk Islam.


Pentingnya tarbiah dalam diri kita adalah supaya dapat membentuk diri kita dalam memberi peranan dan melaksanakan tanggunggjawab sebagai seorang muslim yang baik. Jika kita mengabaikan tarbiah yang telah dianjurkan oleh Islam, maka dengan mudah kita akan hanyut oleh perkara-perkara yang tidak baik bahkan mungkin perkara yang tiada beza sama sekali dengan perbuatan orang kafir.


Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah." (Surah Al-Anfal : 2)


Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menerangkan tentang ciri-ciri orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Ganjaran untuk orang yang benar-benar beriman amatlah besar di sisi Maha Pencipta. Maka, kita sebagai hamba yang bercita-cita tinggi mestilah sentiasa berusaha untuk mencapai tahap iman yang sempurna agar Allah SWT memberi nikmat yang serba indah itu kepada kita. Ketahuilah bahawa untuk mencapai suatu tahap apabila disebut nama Allah SWT akan bergetar hati itu adalah sesuatu yang sukar tetapi ia hanya sekadar sukar dan  bukannya mustahil. Hal ini menjadi sukar kerana ianya memerlukan usaha yang gigih dan berterusan, ia juga bukanlah perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Bukti betapa sayangnya Allah SWT pada hamba-Nya, Allah SWT telah mendatangkan beberapa panduan untuk kita ikut agar terus berjaya menempuh onak duri ujian-Nya. Namun, kita sahaja yang sering alpa dengan nikmat dunia. Tarbiahlah diri mengikut telunjuk agama agar terus berjaya di dunia dan di akhirat.


Seorang mujahid agama, Syeikh Mustafa Masyhur pernah menyebut yang bermaksud : "Tarbiah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiah."


Oleh itu, kita perlulah bersyukur kerana telah dipilih oleh Allah SWT untuk berada di medan tarbiah. Suatu medan yang kita harapkan untuk membina kefahaman dan keyakinan terhadap Islam yang merupakan anugerah Allah SWT yang terbesar di dalam diri kita sejak azali lagi.



"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"

"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"



Disediakan oleh : 

Ustaz Mohamad Syamil Akmal bin Zakaria

Ketua Lajnah Penempatan dan Perumahan 

BKASM sesi 2019/2020



#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

#JubliZamrud55TahunBKASM

Sabtu, Oktober 03, 2020

[ KUNJUNG HORMAT BKASM BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS) ]

 


[ KUNJUNG HORMAT BKASM BERSAMA KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS) ]


28 SEPTEMBER 2020, ISNIN, SHAH ALAM – Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir telah mengadakan satu kunjung hormat bersama  Tuan Haji Saipolyazan bin Mat Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor di  Pejabat Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. 


Pertemuan ini telah diketuai oleh Ustaz Aiman Syahmi bin Azhari, Bendahari Kehormat BKASM sesi 2019/2020 bersama beberapa wakil AJKT dan penasihat BKASM. Pertemuan ini turut  dihadiri oleh Dr. Hjh. Adibah binti Abdul Wahab, Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf dan beberapa ahli jawatankuasa Lembaga Zakat Selangor.


Pertemuan ini dimulakan dengan sesi taaruf di antara wakil BKASM dan ahli Lembaga Zakat yang turut hadir. Seterusnya, pengenalan ringkas mengenai Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM).


Tujuan Kunjung Hormat ini diadakan bagi memperkenalkan dan menjalinkan hubungan baik antara BKASM dengan Lembaga Zakat Selangor. Selain itu, ia juga sebagai medium meminta pendapat dan nasihat dalam penambahbaikan untuk persatuan BKASM di bumi Mesir.


Di akhir pertemuan, Tuan Haji Saipolyazan bin Mat Yusop, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor menyatakan ucapan terima kasih dan berbesar hati dengan pertemuan yang diadakan. Peringkat BKASM telah bertukar cenderahati dengan peringkat LZS sebagai tanda peringatan dan penghargaan atas pertemuan yang telah dilaksanakan. 


Pihak BKASM mengucapkan jutaan terima kasih kepada wakil ahli Lembaga Zakat Selangor yang bersama-sama dalam pertemuan ini. Semoga hubungan rasmi ini dapat diteruskan lagi bagi menjamin kelangsungan BKASM dan Lembaga Zakat Selangor dalam memastikan anak-anak Selangor terus diberikan kebajikan. Semoga Lembaga Zakat Selangor terus dikurniakan rahmat dan keredaan Allah SWT dalam memberi kebajikan dan bantuan kepada seluruh masyarakat Selangor.



“Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan“



Disediakan oleh :

Jabatan Setiausaha Agung (JASA)

BKASM sesi 2019/2020



#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

#JubliZamrud55TahunBKASM