Khamis, November 26, 2020

[ MINDA SISWA | SIRI 8 : KESYUMULAN ISLAM ]

[ MINDA SISWA | SIRI 8 ]

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

KESYUMULAN ISLAM

Firman Allah SWT :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata." (Surah al-Baqarah : ayat 208)

Berdasarkan seruan dan perintah daripada ayat Allah di atas, perlulah kita faham bahawa membentuk diri kita dengan acuan Islam pada seluruh aspek kehidupan adalah satu kewajipan dan bukan sekadar laungan semata.

Dunia hari ini telah banyak dibentangkan dengan pelbagai ideologi yang dicipta dari musuh Islam. Dan apa yang kita dapat lihat pada realiti akhir zaman, terdapat segelintir umat Islam sendiri yang telah termasuk ke dalam permainan ideologi-ideologi ini. 

Umat Islam yang sebenar, seharusnya mempunyai prinsip yang tegas terhadap aqidah Islam dan bukannya mudah menggadaikan agama demi kepentingan serta keuntungan dunia sahaja. 

Jika musuh Islam mengenalkan tentang Pluralisme, maka umat Islam sendiri perlu mengangkat Islam sebagai agama yang telah diredhai Allah SWT.  Dan jika musuh Islam mengenalkan tentang Liberalisme, maka umat Islam perlulah mengikat kebebasan kehidupan berdasarkan apa yang telah dihadkan didalam al-Quran.

Islam menuntut manusia untuk sentiasa mengamalkan cara hidup berpandukan apa yang telah diwahyukan Allah, manakala musuh Islam pula menawarkan kepada manusia dengan kehidupan yang bebas dari keterikatan agama dan melakukan sesuatu atas rasional akal semata-mata. 

Rasulullah SAW bersabda :

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

Maksudnya : “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Maka tetap teguhlah berpegang pada ajaran Islam walaupun kita semakin asing dengan dunia kerana realiti hari ini, kita hidup pada zaman yang dipenuhi dengan fitnah. Dan seharusnya kita sebagai umat Islam perlu sentiasa mempersiapkan diri  dengan benteng keimanan dan ketakwaan.

Semoga Allah SWT memelihara iman kita dan meyelamatkan diri kita daripada segala fitnah serta mengurniakan kita kesabaran yang tinggi untuk menghadapi zaman ini. 


"Mahasiswa Berkualiti Penerus Legasi"
"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"

Disediakan oleh :
Ustazah Nur Aziera binti Mohd Razib
(Timbalan Ketua Lajnah Pendidikan BKASM sesi 2019/2020)


#BersamaBersatu
#BersatuBerbakti
#KitaKeluargaBKASM
#SetiaBersamaUkhuwah
#SambutanJubliZamrud55TahunBKASM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan