Jumaat, Julai 02, 2021

[ LAPORAN SEPANJANG SAMBUTAN JUBLI ZAMRUD 55 TAHUN BKASM & ULANG TAHUN BKASM KALI KE-56 ]


 [ LAPORAN SEPANJANG SAMBUTAN JUBLI ZAMRUD 55 TAHUN BKASM & ULANG TAHUN BKASM KALI KE-56 ]


25 JUN 2020 - 26 JUN 2021, KAHERAH: Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) telah mengadakan Sambutan Jubli Zamrud 55 Tahun BKASM. 


Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam tempoh satu tahun Sambutan Jubli Zamrud. Antara aktiviti awal yang telah dijalankan adalah pertandingan mencipta logo Jubli Zamrud dan pertandingan Penulisan Kreatif.


Selain itu, turut dilaksanakan Webinar Jubli Zamrud secara bersiri. Siri pertama telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohamad Fadzil, Pegawai Khas Exco Agama Kerajaan Negeri Perak dengan tajuk Krisis Identiti: Memilih Kemuliaan selain Islam. 


Siri webinar yang kedua diteruskan dengan tajuk, Muamalat Moden: "Antara Prinsip Islam dan Sistem Barat", telah disampaikan oleh Ustaz Zaharudin bin Muhammad, CEO UZM Sdn Bhd. 


Siri webinar diakhiri dengan pengisian daripada Dr. Azmil bin Zainal Abidin, selaku Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dengan tajuk Aplikasi Ilmu Kalam dalam Menangani Serangan Pemikiran Moden. 


Majlis penutup Sambutan Jubli Zamrud  telah dilaksanakan pada 24 Jun 2021, yang dimulakan dengan solat hajat secara berjemaah di rumah masing-masing selepas menunaikan solat fardhu maghrib. Kemudian aktiviti bacaan Yasin dan doa selamat telah dijalankan secara langsung di laman rasmi Facebook Media Penerangan BKASM bermula pada jam 9.00 malam. Siaran langsung diakhiri dengan ucapan perasmian penutup Sambutan Jubli Zamrud oleh Ustaz Ahmad Farhan bin Ahmad Azhar, Yang Dipertua BKASM sesi 2020/2021.


Program ini diteruskan lagi dengan Tazkirah Subuh Khas yang telah dijalankan secara langsung pada jam 4.30 pagi, dengan tajuk yang dibawa sempena ulang tahun BKASM iaitu, 56 tahun BKASM, Perjuangan Yang Tiada Noktah. Tazkirah Subuh Khas ini telah disampaikan oleh Ustaz Luqmanulhafiz bin Mohd Amir.


Selain itu, edaran cupcake juga telah dijalankan di sekitar kawasan rumah ahli BKASM iaitu di Hayyu Asyir, Hayyu Sabiek, Darrasah dan DMAK. Turut terlibat di dalam aktiviti edaran ini adalah, barisan Ahli Jawatan Kuasa Tadbir, barisan Fasilitator dan juga penggerak Sambutan Jubli Zamrud BKASM sesi 2020/2021.


Firman Allah SWT:



((وَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِی ٱلۡأَرۡضِ جَمِیعࣰا مَّاۤ أَلَّفۡتَ بَیۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَیۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِیزٌ حَكِیمࣱ)) 


Maksudnya:

"Dan (Dia lah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


(Surah Al-Anfal, Ayat 63). 

 

Alhamdulillah, ribuan terima kasih diucapkan kepada seluruh ahli BKASM yang turut sama menjayakan majlis penutup Sambutan Jubli Zamrud dan Sambutan Hari Lahir BKASM kali ke-56 ini. Semoga segala usaha menyatupadukan hati di antara kita mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT, kerana hakikatnya tiada yang dapat menyatupadukan hati manusia melainkan Allah SWT.


Akhirnya, semoga Allah SWT menjaga kesatuan Islam ini dan terus memandu langkah pimpinan dan ahlinya di dalam membuat keputusan seiring dengan kehendak Allah SWT dan juga kehendak rasulNya. Insya-Allah. 



"Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan"



Setiausaha

Sambutan Jubli Zamrud 

BKASM sesi 2020/2021



#BersamaBersatu

#BersatuBerbakti

#KitaKeluargaBKASM

#SetiaBersamaUkhuwah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan